Pergerakkan politik Malaysia sejak akhir-akhir ini amat menarik untuk diperhatikan. Ianya dilihat boleh mengubah situasi dan iklim politik Malaysia dengan drastik menjelang tahun 2020. Saya melihat tindakan-tindakan seperti perletakkan jawatan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, perletakan jawatan parti dan kerajaan oleh Nurul Izzah Anwar, tindakan melompat parti oleh wakil-wakil rakyat, kenyataan dan kritikan ahli-ahli politik kerajaan terhadap kepimpinan kerajaan dan parti komponen mereka dan lain-lain bukanlah sesuatu yang biasa atau normal dan tidak bersebab.
Begitu juga pelbagai kenyataan dan tindakan ‘trio’ Khairy Jamaluddin (KJ), Nurul Izzah dan Rafizi Ramli yang akhirnya memaparkan perjumpaan dan ‘lunch date’ mereka kepada umum. Akibatnya, pelbagai spekulasi telah timbul, di antaranya ialah mereka bakal menubuhkan sebuah parti politik untuk orang-orang muda. Namun kebenarannya hanya di tangan mereka.
Sejak UMNO masih berkuasa, ramai pemerhati politik mengulas tentang sikap dan idea KJ yang lebih cenderung ke arah ideologi PKR berbanding UMNO. Kenyataan Nurul Izzah akhir-akhir ini pula dikatakan menggambarkan beliau kurang senang dengan suasana politik semasa; begitu juga kenyataan Rafizi, terkini tentang populariti Tun Dr. Mahathir dan harga minyak yang menimbulkan pelbagai persoalan dan andaian.