Pas Tidak Layak Pertikai Islam Hadhari

Apabila kata Islam disandarkan dengan kata hadhari, adakah ia akan mengubah sama sekali maksud Islam yang asal yang menjadi agama bagi majoriti di kalangan kita? Adakah perbuatan mengidhafatkan kata Islam dengan sesuatu kata sebelum atau selepas kata Islam itu suatu dosa atau boleh merosakkan akidah kita?

Penulis berpendapat ini hanya kata. Sebuah hadith Rasulullah s.a.w. berbunyi Al-Islamu ya’alu wa la yu’la ‘alaih yang bermaksud Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.

Itu pun dikira sandaran, iaitu kata Islam disandarkan kepada kata ya’lu yang bermaksud tinggi. Penulis boleh menyebut di dalam bahasa Melayu sebagai Islam Ya’lu atau Islam Tinggi. Salahkah begitu?

Allah swt sendiri menyebut dalam al-Quran beberapa frasa yang menggambarkan wujudnya sandaran, tetapi tidak pula ditafsirkan oleh mufassirin sebagai mengurangkan sifat kesempurnaan Allah.

Umpamanya Allah s.w.t. menyebut frasa yadullah yang bermaksud tangan Allah, baitullah atau rumah Allah, Allah bersemayam di atas kursi dan banyak lagi. Itu yang berkaitan dengan Allah sendiri yang tidak menyerupai sebarang makhluk dan tiada sekutu bagi-Nya.

Jika kata Allah disandarkan dengan kata lain seperti tangan, rumah dan sebagainya, mengapa pula kata Islam tidak boleh disandarkan dengan kata-kata lain seperti hadhari, madani atau ya’lu atau aula.

Kalau frasa seperti tangan Allah dan rumah Allah tidak sedikit pun mengurangi sifat kesempurnaan Allah, adakah kata Islam hadhari itu boleh mengurangi maksud kesyumulan Islam itu sendiri?

Pada penulis jelas bahawa Islam hadhari itu hanyalah satu pendekatan atau konsep untuk menarik perhatian penganut Islam di Malaysia agar memahami Islam dan mengamalkan Islam menurut kehendak Islam itu sendiri.

Ketika Islam mula dilupakan dan ajaran Islam mula diamalkan dengan cara yang salah, maka pendekatan Islam hadhari seolah-olah menjadi strategi dan taktik untuk “refresh” semula pemahaman dan kepercayaan orang Islam sendiri kepada Islam yang asal itu.

Maknanya Islam hadhari yang dikehendaki itu ialah Islam yang asal itulah yang disebut sebagai tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.

Islam hadhari juga sebagai satu pendekatan berstrategi yang menggambarkan kebijaksanaan (fatanah) yang ada pada Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, selaku Perdana Menteri Malaysia dalam mengekang perhatian serong Barat, khususnya Amerika Syarikat yang selalu sahaja mencurigai negara-negara Islam khususnya dalam hubungannya dengan Barat.

Sejak Malaysia diisytiharkan menjadi sebuah negara Islam oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Amerika Syarikat dan sekutu barat yang lain sudah mula menaruh syak wasangka yang bukan-bukan kepada Malaysia.

Mereka bimbang kalau-kalau Islam di Malaysia turut membenarkan kemunculan pengganas dan pergerakan pengganas. Malahan sudah ada suara-suara dari kalangan mereka yang mengaitkan Malaysia dengan pengganas dan keganasan.

Dalam jangka panjang sudah tentu kecurigaan Barat itu boleh sahaja menjejaskan hubungan mereka dengan Malaysia.

Kita tidak mahu kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, yang sebelum ini sudah lama meletakkan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaannya, memberi satu ancaman pula kepada negara ini.

Padahal jelas Islam itu adalah agama yang aman dan selamat yang turut memberi jaminan keamanan dan keselamatan kepada yang bukan Islam.

Menyedari kecenderungan barat khususnya Amerika Syarikat yang begitu, pendekatan Islam hadhari diperkenalkan untuk memberi penjelasan secara berhikmah bahawa Islam yang menjadi amalan dan pegangan Malaysia adalah Islam sebenar yang toleran kepada semua kaum, menggalakkan hubungan baik dengan sesiapa sahaja dan cintakan keamanan.

Islam hadhari adalah pendekatan Islam kontemporari yang sentiasa mahukan kemajuan seperti juga yang dicapai oleh Barat. Islam hadhari adalah Islam yang mempunyai pendekatan untuk saling berbaik-baik sangka dan bekerjasama sesama manusia.

Di sinilah letaknya kebijaksanaan pemimpin negara apabila mereka menggarapkan Islam hadhari sebagai pendekatan Islam di negara ini.

Islam hadhari menggambarkan pandangan jauh dan strategis yang ada pada Perdana Menteri.

Namun bagi pembangkang, mereka memang menolak dari awal lagi perisytiharan negara ini sebagai sebuah negara Islam oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bagi mereka kerajaan yang ada ini belum cukup Islam.

Jadi tidak hairan kalau mereka turut menolak pendekatan atau konsep Islam hadhari oleh Pak Lah.

Bagi Pas apa sahaja usaha baik yang dilakukan oleh kerajaan BN adalah tidak betul belaka. Tetapi kalau mereka yang melakukannya bersama DAP dan PKR sekalipun memungkiri janji dan menternak babi secara besar-besaran seperti di Selangor dan membenarkan amalan mengumpat dan mencarut seperti di Kelantan adalah betul.

Penulis kira Pas tidak layak berkata tentang Islam dan mempertikaikan Islam hadhari kerana mereka sendiri dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu tidak pun berhasrat untuk menegakkan sebuah negara Islam dalam manifesto mereka.

Agenda itu sudah tidak ada lagi bagi Pas.

Oleh: Abd Bashid Harun

Sumber: Pemuda UMNO Online

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .