Anwar bukan ancaman kepada kerajaan BN

KUALA LUMPUR 17 Julai – Penahanan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bukan kerana beliau menjadi ancaman kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebaliknya bagi membolehkan polis menyiasat dakwaan liwat yang dibuat terhadapnya.

Pengerusi Pemuda BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya tidak khuatir dengan Anwar kerana beliau hanya pandai bercakap tentang hasrat untuk menukar kerajaan tetapi sehingga sekarang tidak menjadikannya satu realiti.

“Kita tidak bimbang dengan Anwar dan ini terbukti apabila beliau diberikan ruang untuk berdebat mengenai isu kenaikan harga minyak yang disiar secara langsung melalui televisyen,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Anwar yang ditahan oleh sepasukan polis berhampiran rumahnya di Bukit Segambut di sini pada 1 petang semalam, dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini.

Bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lalu mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Menurut Hishammuddin, pihaknya juga tidak menganggap kenyataan Anwar bahawa terdapat ahli Parlimen BN akan menyertai pakatan pembangkang sebagai ancaman kerana yakin perkara itu tidak akan berlaku.

“Perkara ini tidak dibuat sehingga sekarang dan kita yakin ia juga tidak akan menjadi kenyataan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan taktik pihak pembangkang yang cuba membangkitkan perasaan tidak puas hati rakyat terhadap penangkapan Anwar semata-mata bagi mengalihkan tumpuan terhadap isu pokok membabitkan dakwaan liwat terhadap beliau.

“Dalam kita sibuk memikirkan penahanan Anwar yang sekarang ini telah pun dilepaskan, saya meminta semua pihak supaya jangan hilang fokus kepada isu pokok iaitu pada 28 Jun lalu seorang individu telah membuat laporan polis mendakwa diliwat.

“Dalam setiap kes, sekiranya ada laporan polis, siasatan mesti dijalankan secara sempurna tanpa rasa takut atau memihak kerana tiada sesiapa yang boleh meletakkan diri mereka melebihi undang-undang,” ujarnya.

Posted in . Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .