Pas tetap bantah penajaan bir

SHAH ALAM 17 Julai - Pas sekali lagi menunjukkan tidak sepakat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP apabila mempertahankan pendirian membantah penganjuran perlawanan bola sepak persahabatan di antara pasukan Malaysia dan Chelsea di Stadium Shah Alam, pada 29 Julai ini.

Ia ekoran pembabitan penajaan syarikat minuman keras, Heineken pada perlawanan itu.

Pendirian terbaru Pas itu dilihat bertentangan dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam, yang bersetuju perlawanan itu ditaja oleh Heineken kerana menganggap ia adalah penaja seluruh dunia yang membolehkan rakyat dapat melihat aksi kelab Liga Perdana Inggeris itu beraksi di negara ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Shafie Abu Bakar berkata, perlawanan berkenaan tidak seharusnya melibatkan syarikat minuman keras itu kerana ia jelas bertentangan dengan prinsip yang diperjuangkan oleh Pas selama ini.

''Walaupun perlawanan yang akan diadakan tidak akan menjual arak, tetapi penajaan mereka jelas tidak menepati dengan apa yang dibawa (prinsip) oleh Pas.

''Adakah tanpa penajaan syarikat ini, rakyat tidak berpeluang melihat perlawanan berkenaan. Bagi saya, perlawanan ini boleh diadakan tanpa membabitkan mana-mana syarikat arak,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Khas Majikan serta melancarkan Rakan Dakwah Zakat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS), di sini hari ini.

Katanya lagi, negara ini termasuk kerajaan negeri sendiri mempunyai syarikat-syarikat lain yang berpotensi untuk menjadi penaja dan ia tidak semestinya melibatkan syarikat arak seperti Heineken yang juga penaja kepada pasukan Chelsea.

Dalam pada itu, Shafie yang juga Timbalan Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri turut berharap, pihak yang berkenaan termasuk kerajaan negeri sendiri supaya mengambil langkah-langkah yang perlu terhadap perkara itu kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini termasuk di Selangor.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Sallehen Mukhyi ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini memberitahu, keputusan kerajaan negeri membenarkan penajaan itu dilihat sebagai satu galakan dan sokongan terhadap syarikat berkenaan.

Katanya, penajaan syarikat itu seolah-olah sebagai satu bentuk promosi produk arak walaupun arahan melarang sebarang jualan minuman keras ketika perlawanan itu dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

''Memang Heineken dikatakan turut mengeluarkan produk lain, tetapi yang utamanya adalah arak. Namun, kita khuatir akan mempengaruhi golongan belia Islam kerana penonton yang hadir sudah tentu turut melibatkan umat Islam.

Utusan

Posted in . Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .