APABILA Badan Pencegah Rasuah (BPR) masuk menyiasat isu perlantikan Ir. Ariffahmi Abdul Rahman sebagai COO di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat macam tidak dapat menerima kehadiran BPR.
Lantas, Menteri Besar Kelantan itu dipetik sebagai berkata; kenapa bila ada surat layang, terlalu cepat BPR masuk menyiasat isu perlantikan Ariffahmi sedangkan banyak lagi isu rasuah menteri-menteri dari Barisan Nasional (BN) tidak pun diambil perhatian oleh BPR.
Pembelaan Nik Aziz terhadap Ariffahmi kerana Ariffahmi yang sebelum itu merupakan Ketua Sektor Hartanah dan Pengurus Projek Bandar Baru Tanjung, adalah menantunya yang selama ini, Pas mengambarkan Umnolah parti yang mengamalkan ‘kronisme’.
Tidak kedengaran pula suara-suara Ketua Penerangan Pas, Mahfudz Omar dan Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub mengenai Nik Aziz yang mengamalkan kronisme, melantik menantu sendiri menjadi COO dalam PMBK.
Sebenarnya, Pas memang mengamalkan kronisme. Begitu juga dengan PKR dan DAP. Jika tidak, bagaimana anak kepada Karpal Singh, Pengerusi DAP, boleh meletakkan anaknya, Gobind Singh Deo boleh diletakkan bertanding dan menang di Parlimen Puchong?
Ipar kepada Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah menang Ketua Dewan Muslimat Pas. Dr. Hatta Ramli adalah sepupu kepada Subky Abd Latif. Adun Panchor, Nik Amar Nik Abdullah adalah anak kepada Allahyarham Nik Abdullah Arshad, bekas MP Pengkalan Chepa.
Satu contoh paling baik untuk dilihat, seorang lagi anak Karpal, Jagdeep Singh Deo diletakkan bertanding di DUN Datuk Keramat Pulau Pinang(di bawah Parlimen Jelutong).
Lim Kit Siang yang bertanding di Parlimen Ipoh Timur, anaknya Lim Guan Eng bertanding di DUN Air Putih di bawah Parlimen Bukit Bendera dan isterinya Betty Chew, bertanding di Kota Laksamana, di bawah Parlimen Kota Melaka.
Dalam PKR, selain isteri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail bertanding di Permatang Pauh, anaknya Nurul Izah, bertanding di Lembah Pantai.
Ini adalah antara contoh, di mana kronisme tidak dapat dipisahkan dari parti-parti pembangkang. Namun, apabila mereka menyerang kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana Khairy Jamaluddin Abu Bakar menang di kerusi Parlimen Rembau, seolah-olah hanya dalam Umno sahaja wujud calon-calon yang ada kaitan dan persaudaraan dengan pucuk pimpinan.
Apa jawatan Gobind dan Jagdeep Singh dalam DAP yang menyebabkan kedua-duanya dapat bertanding dalam pilihan raya?
Nik Aziz tidak perlu melenting dan gusar dengan kehadiran BPR menyiasat isu perlantikan Ariffahmi sebagai COO PMBK jika perlantikan itu mengikut peraturan dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang .
Mahfudz dan Sallahuddin perlulah lebih berani menegur kepimpinan Pas dalam isu kronisme jika dia mahu terus menyerang Umno yang sering didakwanya mengamalkan perkara yang sama, sedangkan Khairy adalah Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, selain dari jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rembau.
Sejarah membuktikan, semua Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia diletakkan bertanding dalam pilihan raya. Antaranya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Allahyarham Hashim Safin, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan Datuk Mohamed Rahmat (sekarang Tan Sri).
Apa isunya apabila Khairy diletakkan bertanding di Rembau? Sepatutnya mereka yang hendak menyerang Datuk Seri Abdullah kerana isu ini, melihat politik ini secara lebih luas dengan ‘menyaksikan Karpal Singh’ meletakkan anak-anaknya bertanding. Anwar Ibrahim juga turut berbuat demikian. Lim Kit Siang sudah lama melakukannya, selain dari sejarah membuktikan sepasang suami isteri, Allahyarham Tan Sri Kadir Yusof pernah menjadi menteri kabinet bersama-sama isterinya, Tun Fatimah Hashim.
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
BalasPadam