Kesal sikap Guan Eng, Khalid

IPOH 14 Ogos - Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Selangor kecewa dengan sikap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang seolah-olah cuba mengetepikan kepimpinan Pas negeri.

Wakil Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd. Radzuan Ramli berkata, sikap Guan Eng yang enggan bertemu Pemuda Pas menunjukkan pemimpin itu meminggirkan mereka yang telah menyumbang kemenangan pakatan pembangkang.

Kata beliau, apa yang lebih menyedihkan ialah usaha mereka untuk berjumpa Timbalan Ketua Menteri, Mohammad Fairus Khairuddin tidak mendapat layanan.

''Sebelum ini Guan Eng mengumumkan kerajaan negeri mewujudkan Majlis Silaturrahim Antara Agama dengan beliau sendiri sebagai pengerusinya.

''Tujuan majlis itu untuk menyamaratakan semua agama di Pulau Pinang tetapi malangnya kita tidak dapat jumpa mereka sampai sekarang," katanya semasa membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Pemuda Pas di sini hari ini.

Bagi Dewan Pemuda Pas Selangor, Menteri Besar mereka juga enggan bertemu sejak Mac lalu.

Ketua Penerangannya, Mohd. Sani Hamzah memberitahu, sebaik Khalid menjadi Menteri Besar, beliau sehingga kini tidak melayan permintaan bertemu.

Kata beliau, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga didapati mula 'lupa diri' apabila mendakwa kemenangan pakatan pembangkang di Selangor adalah hasil usaha PKR sendiri.

''Bila ceramah cari Pemuda Pas, kutip sampah cari Pemuda Pas, ada masalah cari Pemuda Pas tetapi bila dah menang dalam membentuk kerajaan mereka mengenepikan Pas.

''Sebelum pilihan raya rintih minta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen walaupun mereka tidak mempunyai sokongan akar umbi.

''Sempena sambutan 100 Hari Pemerintahan PKR di Selangor tiada satu pun bendera Pas," katanya.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamad Hafiz Mohamad Nordin turut menyelar tindakan Guan Eng cuba menukar nama Jalan Masjid Kapitan Keling.

''Golongan yang sering mempertikaikan hak Melayu dan Islam tidak ramai tetapi mereka sering bersuara lantang dan biadap seolah-olah golongan majoriti.

''Ia sama sekali tidak boleh diterima," katanya ketika menyokong usul pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di sini hari ini.

Katanya, antara kebiadapan kaum lain terhadap orang Melayu dan Islam termasuk ada kumpulan tertentu yang memfailkan tuntutan mahkamah di London.

Beliau berkata, begitu juga dengan Majlis Peguam yang begitu biadap menganjurkan forum sensitif membincangkan hal berkaitan dengan Islam secara terbuka.

"Siapa dia (Majlis Peguam) nak bincang tentang Islam? Begitu juga dengan kumpulan-kumpulan picisan lain mengapa begitu berani hendak bercakap tentang Islam?

"Tolong hormat kami (orang Melayu) yang merupakan pribumi kepada bumi Malaysia ini," katanya. - UTUSAN

Posted in , . Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .