Zahrain dakwa hilang kepercayaan terhadap Anwar, Guan Eng
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, semalam keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kecewa dengan perjuangan parti dan hilang kepercayaan terhadap penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas juga berkata, keputusan itu dibuat kerana tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang pimpinan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis.
Turut menyertainya keluar daripada PKR ialah Pengerusi Tetap PKR bayan Baru. Zahrain sebelum ini adalah Ketua Cabang PKR Bayan baru dan bekas Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang sebelum digantikan dengan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, pada tahun lalu.
Bercakap pada sidang media di sebuah hotel di sini, Zahrain berkata, keputusannya juga berdasarkan kesedaran tidak mahu generasi akan datang melihatnya sebahagian daripada gerombolan yang menjahanamkan dan merosakkan negara, bangsa dan agama.
"Saya melakukan apa yang terdaya dalam kemampuan untuk mencegah kemungkaran besar yang berlaku di peringkat kepimpinan PKR, namun semua bantahan dan teguran saya diremehkan.
"Sebaliknya, mereka menyingkir dan meminggirkan saya dengan tujuan untuk menghapuskan suara teguran dan kritikan dalam PKR tanpa menghormati hak asasi kemanusiaan, hak membela diri dan prinsip keadilan yang mereka laungkan selama ini," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim dan Ismail.
Ismail dalam kenyataan melalui SMS kepada Berita Harian mengesahkan beliau membuat keputusan untuk keluar PKR kerana sudah hilang kepercayaan terhadap parti.
Salehuddin yang meletakkan jawatan pada Julai tahun lalu dengan memberikan alasan mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan, secara sinis memberitahu pemberita kepemimpinan PKR tidak boleh lagi syok sendiri berikutan perkembangan terbaru itu.
Zahrain ketika ditanya mengenai kepemimpinan Anwar menegaskan beliau sudah hilang kepercayaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu walaupun sudah mengenalinya secara peribadi lebih 30 tahun.
"Amalan Lim dan konco-konconya pula bukan saja angkuh dan tidak boleh menerima teguran dan kritikan, malahan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk kepentingan politik sempit dan jahat mereka," katanya.
Beliau yang pada mulanya hanya bersedia menjawab dua soalan selepas membaca kenyataan akhbar tiga halaman terpaksa mengalah apabila soalan demi soalan diajukan lebih 40 petugas media.
Wartawan: Adakah Datuk akan menyertai mana-mana parti termasuk Umno.
Zahrain: Tindakan yang saya lakukan adalah tindakan sendiri tanpa berbincang dengan ahli keluarga atau kawan rapat. Niat untuk memasuki mana-mana parti tidak ada. Saya adalah Ahli Parlimen bebas.
Wartawan: Adakah Datuk akan menjadi ahli Bebas yang rapat dengan Barisan Nasional (BN).
Zahrain: Tidak, tidak... saya tidak pernah bercakap dengan mana-mana pihak dalam BN termasuk Umno. Saya akan berjuang sebagai ahli Bebas.
Wartawan: Apakah nasihat Datuk kepada ahli PKR lain.
Zahrain: Seperti yang saya katakan, kita (PKR) sudah lari daripada perjuangan. Dalam proses demokrasi terpulanglah kepada mereka. Saya serahkan kepada mereka... ia adalah pendirian peribadi. Saya tidak akan meminta atau memujuk sesiapa meninggalkan parti. Ini pendirian saya. Apa juga risiko saya akan tanggung.
Wartawan: Mengapa tiba-tiba Datuk membuat keputusan keluar parti.
Zahrain: Benda ini sudah ada dalam fikiran... saya ada dua pilihan. Satu keluar parti dan kedua berdepan dengan parti serta berjuang dalam parti. Selepas fikir dengan panjang, saya rasa tidak mahu pening kepala dan buat keputusan untuk keluar.
Wartawan: Ada usaha membeli Ahli Parlimen. Adakah ini termasuk daripadanya.
Zahrain: Siapa beli MP (Ahli Parlimen)? 16 September (2009) itu apa cerita. Saya pun kecewa... saya percaya dengan kata-kata yang satu perubahan besar akan berlaku pada 16 September. Tentang beli-membeli tidak timbul, siapa hendak beli saya.
Wartawan: Adakan Datuk mempunyai masalah dengan Anwar.
Zahrain: Saya masih menganggap beliau sebagai kawan. Cuma kecewa kerana sebagai kawan, hak saya untuk menasihati beliau. Tetapi kalau parti buat pendirian yang luar daripada apa yang saya kata, maknanya saya kecewa kerana saya juga manusia biasa yang ada perasaan.
Wartawan: Apa yang ingin Datuk katakan terhadap pengundi di Bayan Baru.
Zahrain: Saya memberi jaminan kepada pengundi yang saya tidak akan belot terhadap pengundi yang telah memilih saya.
Sumber : Berita Harian Online