Tun  Dr Mahathir Mohamad mengulangi kecaman terhadap penasihat Parti  Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disifatkan sebagai pengkhianat bangsa  Melayu kerana sanggup memecahbelah perpaduan ummah hanya semata-mata  untuk kepentingan politik. 
Beliau  berkata Anwar sanggup memecah belahkan orang Melayu untuk meraih  sokongan semata-mata membolehkan beliau ke Putrajaya untuk menjadi  Perdana Menteri, Nik Abdul Aziz pula menjadikan isu agama untuk  mengkafirkan orang lain dengan membuat andaian orang yang berjuang untuk  bangsa adalah orang kafir. 
"Saya  tidak tahu Nik Aziz dapat dari mana-mana hadis atau Al-Quran yang  mengatakan sedemikian," katanya berucap pada Perhimpunan Melayu anjuran  Perkasa Perak di Kampong Gajah, Sabtu. 
Bernama  melaporkan bekas Perdana Menteri itu berkata mengikut kenyataan Menteri  Besar Kelantan itu, mereka yang menjadi nasionalis dianggap telah  menolak agama. 
"Bagi  Nik Aziz kalau hendak menjadi Islam bukan saja mengucap dua kali  syahadah tetapi menjadi tiga kalimah termasuk menjadi ahli dalam parti  PAS, baru dianggap sah sebagai orang Islam," katanya. 
Dr  Mahathir berkata pemimpin PAS itu juga sanggup mengeluarkan kenyataan  beliau sedih dilahirkan sebagai orang Melayu kerana ingin mendapat  simpati dan sokongan daripada kaum lain. 
Bercakap  kepada pemberita selepas perhimpunan itu, beliau berkata negara perlu  mencatat pertumbuhan ekonomi 7 peratus setiap tahun bagi mencapai  sasaran taraf negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. 
Beliau  berkata rakyat juga perlu bekerja kuat untuk memastikan pengeluaran  produktiviti berkualiti tinggi kerana negara tidak boleh bergantung  kepada pelaburan luar sahaja sebaliknya mesti memberi galakan kepada  pelaburan dalam negara. 
Presiden  Perkasa Datuk Ibrahim Ali, Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin  Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Ramli Ngah Talib  adalah antara kira-kira 5,000 orang yang menghadiri perhimpunan itu. –  26/2/2011