APA
yang sedang berlaku kepada Pas sekarang hampir menyerupai krisis yang
menggugat pucuk pimpinan UMNO lebih 12 tahun lalu. Penerapan
anasir-anasir Datuk Seri Anwar Ibrahim menggoncang Pas dan akan
menghancurkannya jika kesedaran tidak mengatasi sentimen yang menutup
akal dan mata terhadap kebenaran.
Bezanya
cuma Anwar tidak sempat menukarkan nilai dan prinsip asal UMNO walaupun
percaturan politiknya berjaya menyingkirkan semua halangan kepada
kemaraannya, tetapi Pas telah berjaya dikuasainya sehingga menukarkan
keperibadian, memesongkan akidah, menjadikan kepimpinan ulama hanya
sebagai patung-patung dan Pas menjadi ultra liberal.
Halangan
besar kepada Anwarisme iaitu Nasharuddin Mat Isa dan Hasan Ali manakala
Azizan menunggu giliran. Kepimpinan ulama umpama melukut di tepi
gantang walaupun sesekali cuba tunjukkan Al ulama Warisatul Ambia (ulama
mewarisi kenabian).
Tun
Dr. Mahathir Mohamad membawa masuk Anwar ke dalam UMNO pada 1982 dengan
harapan akan menggelapkan masa depan Pas tetapi 18 tahun kemudian
tangannya sendiri digigitnya.
Dr.
Mahathir hampir keseorangan dalam saat kecemasan menghadapi cabaran
genting terhadap kepimpinannya. Yang tinggal hanya mereka yang bersiap
sedia untuk mengikut arus.
Semua
ini berlaku menerusi taktik terancang, penguasaan institusi strategik,
mengambil kuasa ke atas media arus perdana, elektronik dan cetak,
memperkecilkan projek-projek mega Perdana Menteri, membangkitkan amalan
kronisme, memperkenalkan Islam Madani untuk menyaingi gagasan Penerapan
Nilai-Nilai Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dinafikan sebagai
inisiatif Dr. Mahathir, persengketaan dengan Singapura didakyah sebagai
berpunca daripada Dr. Mahathir dan pelbagai lagi tikaman dari dalam
untuk menghilangkan keyakinan terhadap kepimpinannya.
Dr.
Mahathir hanya tersedar pada saat terakhir, dalam keadaan lemas dan
cemas, tetapi kekuatan minda dan jiwa luar biasa yang ada padanya dengan
bantuan segelintir kawan-kawan yang masih setia telah membolehkan
beliau timbul semula dan berenang mengharungi badai serta mengalahkan
pencabarnya.
Apabila
Datuk Kamaruddin Jaafar bekas Setiausaha Agung ABIM dan Setiausaha
Politik Anwar menyertai Pas dan dengan pantas mendapat tempat sebagai
Setiausaha Agung Pas, maka kelihatan jelas strategi penyusupan yang
cukup licin untuk mengAnwarismekan Pas.
Tetapi
barangkali Pas terhidu bahaya maka langkah seperti menarik benang dalam
tepung diambil. Kamaruddin telah digantikan dengan Datuk Mustafa Ali,
seorang nasionalis yang merupakan survivor handal dalam Pas.
Mustafa
telah selamat mengharungi ombak politik apabila pimpinan nasionalis
cauvinis Pas digulingkan oleh kepimpinan ulama dogmatis dan seterusnya
dalam keadaan Pas berada di lembah ultra liberal.
Menguasai
Grand
design Anwar dari awal penyertaannya untuk menguasai UMNO dimudahkan
oleh kepimpinan Dr. Mahathir yang memberikan kepercayaan penuh kepadanya
tetapi akhbar Utusan Malaysia tidak turut terperangkap dalam strategi
medianya yang diinisiatifkan oleh orang kuatnya daripada Berita Harian.
Namun keadaan berubah setelah berlaku perubahan pucuk kepimpinan Jabatan
Pengarang Utusan Melayu.
Kelemahan
Dr. Mahathir di sebalik semua keulungan, kepintaran, kebijaksanaan,
kecekapan dan keberaniannya yang mengagumkan rakyat Malaysia dan juga
masyarakat dunia ialah beliau boleh terpengaruh dengan orang yang
karismatik, petah bercakap dan pandai berdrama dengan idea-idea besar.
Kebanyakan
wartawan dapat mencium lebih dahulu perasaan tidak sabar Anwar untuk
mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir.
Dengan
berasaskan kepada semua maklumat yang sahih, suatu hari saya
memberitahu Dr. Mahathir tentang ancaman yang sedang di dihadapinya di
belakang tabir tetapi beliau bertanya kepada saya, “Zam, yang baik
tentang Anwar tak adakah, semuanya hanya buruk belaka”.
Dalam
program Hal Ehwal Semasa terbitan RTM pada April 1993, Rosnah Majid
daripada Utusan Malaysia mendedahkan strategi Anwar yang ketika itu baru
menjadi Menteri Kewangan untuk mencabar Tun Ghafar Baba sebagai
Timbalan Presiden UMNO.
Program
itu disertai juga oleh Rijal Arbee daripada Berita Harian sebagai panel
dengan Dr. Kamal Salih daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia
(MIER) sebagai moderator.
Rosnah
telah bertanya; Apakah benar saudara Anwar akan mencabar Ghafar untuk
jawatan Timbalan Presiden UMNO? Anwar mengalih pertanyaan itu dengan
jawapan, “Apa gunanya dibangkitkan pekara ini sekarang sedangkan
pemilihan pucuk pimpinan akan berlaku hanya pada November.”
Tetapi
apabila Rosnah mengemukakan bukti bahawa beliau telah mengatur strategi
yang cukup rapi dengan meletakkan orang-orangnya dalam semua media
termasuk Utusan Malaysia, TV3 dan Berita Harian untuk mempromosinya,
Anwar kemudian naik berang dan terus menuduh pertanyaan Rosnah itu
mewakili orang yang benci dan iri hati dengannya.
Taktik
inilah juga yang digunakannya sehingga sekarang apabila ada pertanyaan
wartawan yang mencabar kredibiliti atau mendedahkan pembohongannya.
Sudah lumrah mereka mendengar jawapan balas dengan pertanyaan
daripadanya, “Oh, awak dari mana? Daripada UMNO, alat Barisan Nasional,”
dan sebagainya.
Banyak peristiwa yang menimbulkan keraguan tentang penghayatan Anwar dengan nilai dan aspirasi UMNO.
Tentangan
Demikian
juga dalam isu penentangan terhadap pertubuhan ajaran sesat Al-Arqam.
Walaupun Perdana Menteri menyokong kuat perjuangan Utusan Malaysia untuk
mengharamkan Al-Arqam tetapi akhbar Berita Harian menyokong gerakan itu
dengan pelbagai publisiti dan menganjurkan majlis baca puisi Al-Arqam
di PWTC. Anwar menjemput pemimpin Al-Arqam dan ahlinya berbuka puasa di
kediaman beliau di Damansara bersama-sama dengan para wartawan dan
pengarang kanan akhbar.
Apabila
saya memberitahu Dr. Mahathir bahawa Utusan Malaysia tidak akan
menghentikan penentangan terhadap Al-Arqam kerana berseorangan dalam hal
ini, Dr. Mahathir meminta ia diteruskan kerana beliau tetap menyokong
tetapi tidak menyedari siapa yang sedang menikam dari belakang.
Apabila
Anwar menguasai Utusan Malaysia sepenuhnya, rombongan Al-Arqam telah
melawat Ibu Pejabat Utusan Melayu dan diberikan sambutan. Namun akhirnya
Al-Arqam telah diharamkan.
Harus
diingatkan banyak peristiwa ‘gunting dalam lipatan’ hanya terdedah bila
Dr. Mahathir menyedari kesilapannya tetapi beliau terpaksa membayar
harga politik yang sangat mahal untuk menyingkirkan seorang yang amat
dipercayai dan disayanginya pada saat-saat kedaulatan negara hampir
tergadai kepada kuasa asing dan maruah bangsa yang dibinanya sejak lebih
20 tahun hampir terpadam.
Saya
pernah memberitahu Dr. Mahathir secara terbuka dalam tulisan dan juga
dalam ucapan semasa menjadi Menteri Penerangan dan sebelumnya, yang
disiarkan oleh media cetak bahawa kesilapan besar beliau adalah membawa
masuk Anwar ke dalam UMNO, tetapi beliau menjawab, “Mana saya tahu dia
akan berbuat demikian”.
Sebenarnya
tidak semua orang Pas yang percaya dan senang dengan Anwar, baik yang
telah tersingkir atau yang masih berada di tampuk kuasa parti atau
kerajaan.
Setelah
saya kalah dalam Pilihan Raya 2008, saya telah menjemput Menteri Besar
Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk melancarkan buku Ulama
Terbilang Negeri Kedah, Allahyarham Haji Abdul Rahman Merbok, yang
diterbitkan oleh JASA semasa saya menjadi Menteri Penerangan.
Azizan menyetujuinya kerana saya rakan semaktab dengannya dan Haji Abdul Rahman ialah guru bapanya.
Tetapi
suatu yang tidak dapat saya lupakan hingga hari ini ialah bisikan
Azizan kepada saya di majlis itu yang diadakan di surau pekan Merbok,
“Buat apa RTM buat siaran langsung debat dengan Anwar di Dewan Bahasa?
Saya menjawab, “Saya bukan lagi Menteri Penerangan”.
Penerapan
anasir-anasir Anwar ke dalam Pas telah memesongkan parti itu daripada
jati dirinya serta kemurnian prinsip agung perjuangan Islamnya. Walaupun
Anwar hanya menarik tali dari luar dan tidak berada di dalam Pas
seperti dia berada dalam UMNO tetapi kesannya kepada Pas lebih buruk
lagi.
Pas
telah menjadi begitu toleran terhadap segala kemaksiatan yang menjadi
bahan cacian dan kutukan terhadap UMNO sebelumnya, daripada penjualan
arak, persundalan, murtad, seks songsang dan terakhir, penerimaan kepada
kepimpinan yang mahukan pengiktirafan terhadap keselamatan Israel.
Sudah
terlalu lewat untuk Pas kembali ke pangkal jalan. Pas tidak mempunyai
seorang manusia luar biasa yang berkaliber besar seperti Dr. Mahathir
dalam UMNO yang berupaya mengumpul serta memulih kekuatannya dengan
pantas, tegas dan nekad untuk timbul semula bagi menentang dan
memusnahkan musuh dalaman.
Tidak ada siapapun dalam Pas yang akan dapat menandingi kekuatan Anwar. Para ulama pun telah menjadi umpama patung-patung.
Apa
yang dapat diucapkan kepada Pas dalam saat-saat kesedihan menyaksikan
penyerahan dirinya kepada segala kemungkaran hanyalah “Biarkan si luncai
terjun dengan labu-labunya"