MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan mereka yang menentang RUU355 sebagai golongan mahu mengelirukan orang bukan Islam dan orang yang buta agama.
Menurutnya, golongan lantang bersuara dan menulis hujah bersifat teknikal secara melulu mengenai RUU355 sebenarnya tidak peduli perkara tersurat dalam Perlembagaan.
Katanya, ini kerana mahkamah syariah tidak diberi bidang kuasa terhadap bukan Islam.
"Ini menunjukkan mereka jauh sekali menyaksikan hikmah menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran yang tidak ada dalam istilah mereka. Mereka (juga) tidak mengira masyarakat terbeban dengan kadar jenayah terus meningkat.
Ini menunjukkan kelemahan undang-undang ciptaan manusia tidak beraqidah itu, namun terus mempertahankannya dengan segala cara halal dan haram.
"Mereka sepatutnya hormati Islam, kedudukannya dalam Perlembagaan dan hak diberi kepada agama lain sudah mencukupi. Mereka juga sepatutnya menghormati penganut Islam diberi hak mereka antaranya peluang kepada undang-undang syariat dan mahkamah yang banyak disekat penjajah dahulu hingga sekarang," katanya.
Abdul Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang berkata demikian dalam kenyataannya, semalam.
Abdul Hadi berkata, RUU 355 hanya kuasa masih sedikit yang memberi ruang kepada umat Islam menunaikan hak mereka, namun dicampur tangan tanpa mengira sempadan yang sudah nyata dalam Perlembagaan.
"Mereka tidak menghormati masyarakat Islam yang berada di keliling. Apakah di sebalik suara sumbang ini? Terang lagi bersuluh sebenarnya mereka tidak mahu buka ruang kepada syariat Islam sehingga semata-mata kerana Islamnya?
"Mereka menentang kerana Islamofobia disebarkan kuasa besar yang sedang bermusuh terhadap Islam? Maka bersedia menjadi khadam kepada negara asing yang menjadi dalang. Mereka menentang kerana sikap cemburu buta menyaksikan banyaknya kebaikan daripada syariat Islam?
"Sepatutnya mereka mencari kebaikan daripada semua pihak, bukan menutup kebaikan dan merelakan kemungkaran. Inilah konsep semua agama, samawi dan tidak samawi, walaupun berbeza aqidah," katanya.
Abdul Hadi juga menyifatkan golongan terbabit tidak bersedia untuk menerima syariat Islam walaupun lebih baik untuk mereka.
Menurutnya, memperkenalkan hukuman dalam syariat Islam adalah berkonsepkan mendidik dan bukan menyeksa, berpandukan nas-nas dalam al-Quran dan juga hadis.
Tambahnya, antara hujah mereka yang menentang RUU355 adalah menerusi video disebarkan media musuh Islam termasuk cara hukuman tidak menepati al-Quran dan sunnah.
"Lalu pihak yang menentang itu menjadi alat dan ejen menyiarkannya dengan tujuan mencalarkan wajah Islam yang mulia dan adil terhadap semua.
"Tujuan mereka yang sebenar adalah untuk mengelirukan masyarakat bukan Islam dan orang Islam yang buta agamanya," katanya.