ROS berkeras arah DAP akur

PUTRAJAYA 20 Julai - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak berganjak daripada keputusan yang mahu DAP akur dengan arahan untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pendirian jabatan itu tidak berubah kerana pemilihan semula CEC akan memboleh­kan perwakilan memilih 20 orang anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Beliau berkata, sekiranya DAP gagal berbuat demikian, CEC parti itu tidak akan diiktiraf dan kesannya, jawatankuasa itu tidak boleh berfungsi secara sah.

"ROS tetap kekal dengan keputusan itu dan kita tidak akan berubah. Jika mereka tidak mengadakan pemilihan semula, CEC DAP tidak boleh berfungsi secara sah dan ini juga memberi implikasi.

"Ini bermaksud, apa-apa keputusan yang dibuat oleh CEC DAP dan pemegang jawatannya juga akan dikira tidak sah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

DAP semalam terus berdegil untuk tidak mengadakan pemilihan semula CEC parti itu dengan alasan arahan yang dikeluarkan oleh ROS adalah berdasarkan berita palsu.

Setiausaha Agung DAP yang masih belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng berkata, arahan ROS juga mengarut untuk dipatuhi oleh parti itu memandangkan tempoh jawatan untuk anggota CEC 2013 akan tamat.

Mohammad Razin berkata, ROS pada Isnin lalu telah menghantar surat kepada DAP yang mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC dan memberi tempoh 14 hari untuk memberi maklum balas rasmi kepada pihaknya.

Beliau berkata, arahan ber­kenaan dikeluarkan berikutan ROS masih belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan oleh DAP pada 15 Di­sember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

"Sekiranya dalam tempoh 14 hari itu yang bermula Isnin lalu DAP tetap tidak memberi maklum balas secara rasmi kepada pihak ROS, kita akan ambil tindakan lain berlandaskan Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Katanya, jika DAP mahu sebarang penjelasan lanjut berhubung arahan itu, mereka perlu hantar surat secara bertulis dan pihak ROS akan menjawabnya secara bertulis.

Walau bagaimanapun, Mohammad Razin menegaskan, ROS masih menganggap DAP sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang dan pihaknya tidak berniat sama sekali untuk membatalkan parti tersebut setakat ini.

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .