ALOR SETAR 5 Ogos - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan terhadap Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah yang mahu supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti, tahun depan.
Sambil berikrar akan terus bekerja keras serta setia di belakang Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau menegaskan pendirian dinyatakan itu merupakan antara perkara yang mampu memantapkan parti.
"Komitmen dinyatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang mahu supaya jawatan nombor satu dan dua tidak ditandingi amat saya hargai.
"Wallahi, Wabilahi, Watallahi. Selagi saya diberi kepercayaan untuk bantu Presiden, saya akan terjemahkannya dalam bentuk taat setia serta bekerja keras untuk Perdana Menteri, Insya Allah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Bahagiannya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah serta timbalannya, Datuk Mohd. Yusof Ismail.-UTUSAN ONLINE