KANGAR 28 Jan. - Pas meminta semua pihak khususnya umat Islam tidak terpengaruh dengan Kempen #UndiRosak yang digerakkan oleh pihak tertentu untuk menghasut rakyat memboikot Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana bertentangan dengan ajaran agama itu.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Islam meletakkan politik sebahagian daripada agama dan oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab umatnya mengundi untuk memilih pemimpin.
Beliau yang menentang sekeras-kerasnya kempen seumpama itu turut menyifatkan kempen tersebut sebagai tidak bertanggungjawab terhadap negara dan agama.
"Tanggungjawab mengundi untuk memilih pemimpin adalah tuntutan agama dan merupakan amanah yang mesti ditunaikan oleh setiap umat Islam," katanya dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat persiapan PRU-14 negeri ini di Kompleks Pas negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli. - UTUSAN ONLINE