Selepas isu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat makam Rasulullah SAW dipertikaian pelbagai pihak, akhirnya Exco Pemuda Umno, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin tampil menjelaskan perkara sebenar.
Katanya, beliau adalah salah seorang daripada 12 individu yang turut serta ketika menunaikan ibadah umrah dan mengesahkan rombongan diketuai Najib diberikan penghormatan memasuki makam Rasulullah.
"Apa yang tular sebelum ini kerana seorang ustaz telah memanipulasi kata-kata perdana menteri. Saya minta maaf, bukan saya nak agungkan Najib dan riak tentang ibadah. Najib adalah simbol bagi rakyat Malaysia.
"Bila Najib dan rombongan mengerjakan umrah sempena lawatan kerja ke Arab Saudi atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, beliau dan rombongan diberikan layanan istimewa sebagai tetamu.
"Najib diberikan penghormatan apabila permintaan untuk masuk ke Kaabah bagi menunaikan solat bersama rombongan dibenarkan. Begitu juga dengan permintaan Najib untuk masuk ke dalam makan Rasulullah juga dibenarkan," katanya dalam sesi soal jawab Live FB Sinar Harian, hari ini.
Sebelum ini, seorang pengguna Facebook mendakwa kenyataan Najib bahawa beliau memasuki bahagian dalam makam Rasulullah tidak benar kerana terdapat dua lapisan dinding yang menutupinya dan merujuk kepada Kitab Wafaul Wafa, dinding tersebut tiada pintu serta tertututp rapi pada bahagian atasnya.
Katanya, Najib hanya masuk melalui pintu Saiyyidah Fatimah dan melihat kawasan ruang kain bahaguan Sundaq Sandal yang ditutupi oleh kain berwarna hijau seperti orang kenamaan lain.
Mengulas perkara tersebut Nazir meminta, pemilik Facebook berkenaan bertaubat kepada ALLAH SWT kerana mendakwa Najib berbohong sebab ia perbuatan yang tidak membawa keuntungan.
"Saya saksi hidup dan ada 12 orang lagi yang masuk ke dalam itu. Saya sebelum ini dalam satu wawancara bersumpah atas nama ALLAH bercakap benar mrngenai perkara tersebut dan saya salah seorang yang masuk ke makam Rasulullah.
"Saya ada gambar ketika nak masuk ke dalam (makam Rasulullah) tak perlu untuk saya dedahkan. Suatu hari nanti kebenaran akan terbukti dan ia betul-betul berlaku.
"Perkara ini jarang berlaku dan saya difahamkan bagi tempoh 30 tahun hanya enam ke tujuh kali sahaja ia dibuka dan dibenarkan masuk. Najib bukan nak berlaku riak, kalau dia nak riak keluar sahaja dari makam Rasulullah dia akan umumkan telah masuk dekat dengan makan Rasulullah," katanya.
Jelas beliau, penghormatan Arab Saudi kepada Najib cukup tinggi sehingga diberikan peluang memasuki Kaabah dan makam Rasulullah.
"Kalau Najib atau kerajaan sekarang buat perkara tidak betul, buat perkara bukan-bukan, tak mungkin Baginda Raja Salman benarkan.
"Ini semua rezeki ALLAH, jangan kita mengata tentang ibadah orang lain kerana ibadah itu antara kita dengan ALLAH. Sebelum ini saya tak nak komen cemuhan dan dakwaan tetapi saya cakap pada hari ini kerana terlalu banyak dakwaan mengatakan Najib pembohong," katanya.