LABIS 10 Feb. – Cadangan mewujudkan undang-undang berkaitan berita palsu bukan atas dasar kepentingan politik, sebaliknya merangkumi banyak perkara termasuk perniagaan, ekonomi serta ketenteraman dan keselamatan awam.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, langkah kerajaan untuk mewujudkan undang-undang itu kerana perbuatan tersebut memberi lebih banyak kesan negatif dalam banyak perkara berbanding keburukan.
"Sebenarnya masalah berita palsu bukan dihadapi oleh negara kita sahaja, malah banyak negara lain termasuk negara maju. Mereka telah mengambil langkah merangka undang-undang bagi membendung perbuatan tersebut.
"Sebagai contoh, laman sosial Facebook turut mengakui terdapat pihak tertentu yang membiayai penyebaran berita palsu bagi mempengaruhi keputusan ketika pilihan raya Presiden Amerika Syarikat yang lalu.
"Syarikat Bata juga mengalami kerugian akibat penyebaran berita palsu dan tidak terkecuali beberapa jabatan dan agensi kerajaan di negara ini yang terkesan dengan berita palsu seperti kononnya terdapat arahan penutupan sekolah akibat jerebu dahulu," katanya.
Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina anjuran bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Labis dan Malaysian Industrial Development Finace (MIDF) kepada 600 penerima di sini, hari ini.
Menurutnya, negara maju seperti Jerman, Perancis, United Kindom (UK) dan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) sudah mengorak langkah awal merangka undang-undang bagi mengekang perbuatan menyebarkan berita palsu di negara masing-masing.
Katanya, cadangan mewujudkan satu undang-undang membendung penyebaran berita palsu di negara ini bukan satu yang luar biasa kerana banyak negara sudah terlebih dahulu melakukan perkara serupa.
"Sehubungan itu, saya harap cadangan tersebut tidak perlu dipolitikkan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) juga mengambil inisiatif mewujudkan portal Sebenarnya.my bertujuan mengimbangi penyebaran berita palsu di negara ini.
"Saya harap orang ramai menyemak terlebih dahulu kesahihan berita yang diterima terutama melalui media sosial di portal tersebut sebelum berkongsi dengan orang lain bagi mengelakkan menjadi salah seorang penyebar berita palsu," katanya.