Sidang Media BNSC Mengenai Isu Tanah Ijok, Selangor


1. Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan negeri Selangor pada tahun 2008, Menteri Besar negeri Selangor pada waktu itu, Tan Sri Khalid Ibrahim, telah mengambil alih semula tanah kerajaan negeri yang dimiliki oleh syarikat Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd kerana pelanggaran syarat dan terma perjanjian.

2. Sebelum ini kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan Barisan Nasional telah memberikan tanah tersebut kepada hampir seribu peneroka di Ijok, Selangor.

3. Pada tahun 1998, peneroka bersetuju untuk membenarkan beberapa syarikat termasuk Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd untuk membangunkan tanah tersebut termasuk perumahan untuk peneroka. Syarikat-syarikat berkenaan juga bersetuju untuk memberi wang pampasan kepada peneroka.

4. Malangnya, setelah 10 tahun berlalu projek perumahan dan wang pampasan seperti yang dijanjikan tidak dapat di tunaikan oleh syarikat-syarikat berkenaan.

5. Semasa YB Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor, beliau telah merampas semula tanah-tanah tersebut untuk diambil alih oleh kerajaan Selangor.

6. Tanah tersebut diambil alih kerana syarikat-syarikat tersebut telah melanggar syarat-syarat di bawah Kanun Tanah Negara seperti:

• syarikat tersebut tidak membayar premium tanah
• syarikat tersebut tidak menukar syarat tanah pertanian kepada tanah perumahan
• syarikat tersebut tidak membayar premium tukar syarat tanah

7. Selain daripada tidak mematuhi syarat di bawah Kanun Tanah Negara, syarikat-syarikat tersebut juga mencagarkan tanah tersebut kepada institusi kewangan untuk mendapat pinjaman tetapi projek tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

8. Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd kemudiannya menyaman kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Selangor di mahkamah tinggi untuk mendapat balik tanah-tanah tersebut.

9. Keputusan mahkamah tinggi pada 22hb Oktober 2013 memihak kepada kerajaan Selangor dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

10. Selepas itu, Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd merayu ke mahkamah rayuan. Keputusan mahkamah rayuan pada 17 Februari 2014 juga memihak kepada kerajaan Selangor dan Menteri Besar Selangor.

11. Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd kemudian merayu kekalahan mereka di dalam mahkamah rayuan ke mahkamah persekutuan.

12. Pada tahun 2014, satu perancangan kontroversi untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor telah dilaksanakan dalam strategi yang dipanggil "Langkah Kajang". Menteri Besar yang menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim ialah Dato' Seri Azmin Ali.

13. Semasa Dato' Seri Azmin Ali menjadi Menteri Besar dan sebelum mahkamah persekutuan mendengar rayuan kes ini, Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd dan beberapa syarikat berkaitan pada 22 September 2015 telah membuat perjanjian dengan sebuah syarikat awam untuk menjual 2,198.4 ekar dengan harga RM1,181,335,536.65 dengan syarat syarikat-syarikat tersebut mendapat kelulusan kerajaan negeri Selangor.

14. Selang beberapa bulan selepas itu, Dato' Seri Azmin Ali pada 17 Mei 2016 telah memfailkan satu perjanjian penyelesaian kepada mahkamah persekutuan bahawa kerajaan Selangor dan Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd telah bersetuju untuk membatalkan kes ini.

15. Dato' Seri Azmin Ali seterusnya membuat keputusan untuk menyerahkan semula tanah-tanah tersebut kepada Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd.

16. Satu syarat penting dan wajib dalam perjanjian penyelesaian tersebut ialah penjualan tanah mesti dibuat kepada syarikat awam tersebut.

17. Dato' Seri Azmin Ali membuat keputusan drastik ini sebelum kes rayuan ini sempat didengar oleh mahkamah persekutuan.

18. Semasa Tan Sri Khalid Ibrahim membuat keputusan mengambil semula tanah berkenaan, Datuk Seri Khairudin Abu Hassan merupakan salah seorang pengarah eksekutif syarikat Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd.

Berdasarkan fakta di atas, BNSC ingin mengemukakan beberapa persoalan yang perlu dijawab secara telus dan segera oleh Dato' Seri Azmin Ali.

1. Apa justifikasi Dato' Seri Azmin Ali untuk menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion kepada Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd walaupun keputusan mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan memihak kepada keputusan Tan Sri Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri selangor untuk mengambil alih semula tanah tersebut?

2. Kenapa Dato' Seri Azmin Ali tidak menunggu kes ini dibicarakan di mahkamah persekutuan memandangkan Kerajaan Negeri Selangor telah menang di mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan sebelum itu? Kenapa Dato' Seri Azmin Ali tergesa-gesa membuat keputusan yang nyata merugikan kerajaan dan rakyat Selangor?

3. Kalau niat Dato' Seri Azmin Ali ingin menyelesaikan tuntutan dan isu pampasan kepada peneroka, mengapa beliau tidak menjual tanah tersebut secara langsung kepada syarikat awam dan menggunakan hasil jualan RM1.18 bilion untuk membayar pampasan tersebut?

4. Beberapa hari ini yang lepas, Dato' Seri Azmin Ali akhirnya telah mengumumkan pembayaran pampasan kepada kesemua 980 peneroka berbentuk pampasan tunai RM180,000 seorang dan sebuah rumah bernilai RM250,000 seorang. Jumlah besar pampasan yang diumumkan oleh Dato' Seri Azmin Ali bernilai RM421.4 juta. Di mana baki RM758.6 juta?

5. Walaupun pada masa ini Datuk Seri Khairudin Abu Hasan (yang telah diisytihar muflis pada tahun 2014) bukan lagi pengarah kedua-dua syarikat tersebut, apakah peranan beliau dalam mempengaruhi keputusan Dato' Seri Azmin Ali?

6. Saya ingin mengingatkan Dato' Seri Azmin Ali bahawa isu ini telah dibangkitkan beberapa kali oleh pihak NGO dan rakyat negeri Selangor yang prihatin termasuk soalan yang ditanya di Dewan Undangan Negeri Selangor oleh beberapa wakil rakyat. Namun, Dato' Seri Azmin Ali tidak menjawab persoalan ini secara jelas. Berikutan itu, beberapa laporan telah dibuat kepada SPRM oleh mereka yang tidak berpuas hati. Saya percaya pihak SPRM sedang menjalankan siasatan yang rapi untuk memastikan jika ada penyalahan kuasa atau pun rasuah telah berlaku.

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan,
Pengarah,
Komunikasi Strategik BN
(BN Strategic Communications)


Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .