Skandal tanah Ijok... Azmin MB paling 'berjaya' sindir Noh

Datuk Seri Azmin Ali dianggap sebagai Menteri Besar Selangor yang paling 'berjaya' dalam sejarah pentadbiran negeri tersebut apabila mengamalkan sikap lepas tangan hingga membiarkan tanah milik rakyat dijual kepada sebuah syarikat pemaju dengan harga RM1.18 bilion.

Sindiran sinis itu dilemparkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menyifatkan tindakan kerajaan negeri dalam isu tersebut satu pengkhianatan kepada rakyat di sebalik penjualan tanah seluas 880 hektar di Ijok itu.

Lebih malang menurut Noh, kerajaan negeri gagal membela nasib kira-kira 981 peneroka asal apabila tuntutan mereka untuk mendapatkan pampasan wang tunai termasuk sebuah rumah seperti yang dijanjikan dinilai mengikut harga pada tahun 2000, bukannya berasaskan kepada harga semasa.

Beliau berkata bayaran pampasan sebanyak RM180,000 dan sebuah rumah bernilai RM250,000 tidak sepadan memandangkan syarikat pemaju tersebut mengaut keuntungan apabila menjual tanah kepada pihak ketiga pada harga RM1.18 bilion, mengikut nilai hartanah semasa.

"Pampasan yang dibayar kepada peneroka itu mengikut nilai lama, nilai tanah pertanian malah kalau mengikut undang-undang, jika pemaju lambat menyiapkan projek pembangunan, sepuluh peratus penalti mesti dibayar kepada peneroka tanah.

"Saya difahamkan dua pemaju yang gagal bangunkan tanah ini menentukan sendiri kepada siapa tanah ini perlu dijual. Sudahlah pemaju lama bermasalah, kerajaan negeri pula serah rundingan (penjualan tanah) dengan pihak ketiga kepada pemaju tersebut," katanya.

Rabu lalu, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menuntut Azmin memberi penjelasan mengapa beliau tergesa-gesa membenarkan dua syarikat swasta menjual tanah di Mukim Ijok bernilai RM1.181 bilion kepada sebuah syarikat lain sebelum proses di Mahkamah Persekutuan selesai dijalankan.

Menurutnya, tanah itu sebelum ini adalah milik dua syarikat terbabit iaitu LBCN Development Sdn. Bhd. (LBCN) dan Mujur Zaman Sdn. Bhd. (MZSB) pada 1998 namun telah dirampas kerajaan negeri pada 2008 di bawah Kanun Tanah Negara kerana melanggar syarat dan terma perjanjian.

Rahman berkata tindakan itu menjadi persoalan kerana keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memihak kepada kerajaan negeri pada 2013 dan 2014 dalam kes mengambil alih semula tanah kerajaan negeri yang dimiliki oleh kedua-dua syarikat berkenaan.

Beliau mempersoal justifikasi Azmin tidak menunggu kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan memandangkan kerajaan negeri Selangor telah menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Dalam pada itu, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mempersoalkan tindakan Azmin yang memberikan kebebasan kepada LBCN dan MZSB menjual tanah tersebut kepada pihak ketiga walhal kedua-dua syarikat itu melanggar syarat perjanjian sebelum ini termasuklah gagal menyelesaikan pampasan kepada para peneroka.

Noh berkata tindakan Azmin yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menyelesaikan isu berkaitan tanah kepada syarikat-syarikat pemaju itu menggambarkan kelemahan kerajaan negeri pimpinannya.

Malah katanya, Timbalan Presiden PKR itu juga tidak sepatutnya menyalahkan menteri besar terdahulu berhubung isu tanah di mukim Ijok berkenaan kerana usaha pemimpin sebelumnya adalah berlandaskan kepentingan rakyat dan bukan seperti tindakan Azmin, yang diibarat 'ada udang di sebalik batu'.-21/2/2018


Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

One Response to Skandal tanah Ijok... Azmin MB paling 'berjaya' sindir Noh

  1. Badi yang selalu menimpa kepada sesiapa yang menjadi MB Selangor akan berterusan. Tahniah kepada Azmin yang akan jadi yang terbaru tersenarai.

    BalasPadam

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .