SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN Raya Umum ke-14 telah berlalu yang menunjukkan rakyat Malaysia memilih Pakatan Harapan sebagai pemerintah baharu untuk tempoh lima tahun. Rakyat di negara ini cukup matang dalam menentukan hala tuju pentadbiran negara. Namun dari sudut lain, sesuatu yang menyedihkan berlaku dan menjadi rutin harian dalam kalangan segelintir masyarakat iaitu budaya fitnah masih berleluasa.
Apabila pihak berkuasa mengadakan pemeriksaan di rumah peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih terdapat kalangan kita begitu berkobar-kobar berkongsi maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Selain itu, gambar bekas Perdana Menteri dan keluarga turut tersebar pada malam serbuan dalam kalangan pengguna gajet.
Saya beranggapan berlaku pencerobohan hak-hak peribadi apabila perkara ini menjadi buah mulut rakyat Malaysia.
Pihak berkuasa terutama pemerintah baharu perlu mengambil tindakan tegas sekiranya ada petugas pada malam serbuan tersebut yang membocorkan rahsia dan berkongsi foto di rumah bekas Perdana Menteri kepada umum.
Ini bertepatan ke arah usaha melahirkan warganegara Malaysia yang lebih harmoni, berfikiran positif dan keadilan sejagat.
Teringat saya kepada seorang penceramah popular yang menyampaikan kuliah di sebuah masjid di Selangor baru-baru ini yang melarang umat Islam berkongsi foto dan maklumat berkenaan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di rumah bekas Perdana Menteri itu.
Antara lain beliau bimbang keinginan kita yang meluap-luap berkongsi fakta dan gambar tanpa usul periksa boleh mengundang fitnah seterusnya menjejaskan ibadat puasa yang sedang dilaksanakan.
Saya bersetuju dengan pendapatnya bahawa bulan Ramadan al-Mubarak sepatutnya mendekatkan kita dengan aktiviti membaca al-Quran kerana sejarah merakamkan, al-Quran diturunkan pada 17 Ramadan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail.
Sudah tentu bersebab Allah SWT enurunkan kitab suci tersebut di bulan ini berbanding bulan-bulan lain. Kesimpulan ceramah beliau ialah bulan Ramadan adalah sinonim dengan aktiviti membaca al-Quran bukannya melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah.
HAMBA ALLAH
Putrajaya
Sumber : UTUSAN