MCA, MIC kekal bersama Barisan Nasional



KUALA LUMPUR 14 Mei - MCA dan MIC menyatakan kesungguhan mahu bersama Barisan Nasional (BN), namun mengakui tugas berat menanti kedua-kedua parti tersebut terutama untuk kekal relevan terhadap isu-isu rakyat.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, BN kini berdepan cabaran dari segi keyakinan terutama apabila melihatkan adanya komponen atau ahli yang keluar daripada parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Namun, jelasnya, MCA sendiri akan melakukan penilaian semula prestasinya dalam PRU-14 lalu yang sekadar memenangi satu kerusi Parlimen, merosot tujuh yang dimenangi dalam PRU-13.

"BN masih lagi kukuh, namun semua parti komponen akan melakukan post mortem untuk mengenal pasti apa jua perkara yang perlu ditangani," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, partinya masih lagi bersama BN dan mahu kembali bangkit sebagai parti pilihan utama yang memperjuangkan nasib kaum India.

Katanya, MIC kini bersedia dari segi mental untuk menjadi parti pembangkang dan mahu menjalankan amanah itu sebaik-baiknya.

"Kita akan melakukan perubahan agar kekal relevan mengikut situasi politik semasa.

"MIC mahu benar-benar perubahan ini berlaku dan jika usaha itu tidak berjaya kami sedia menilai pilihan lain," katanya.

Dalam PRU-14, MIC hanya berjaya memenangi dua kerusi Parlimen iaitu Cameron Highlands, Pahang dan Tapah, Perak manakala MCA hanya menang di Ayer Hitam, Johor.

Sementara itu, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, BN akan menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji perubahan yang bakal dilakukan selain melihat segala keperluan dalam menentukan hala tuju parti.

"Kita ada membincangkan hala tuju parti dan akan menubuhkan pasukan khas untuk melihat perubahan yang diperlukan. Buat masa ini, kita belum tahu siapa yang berada dalam pasukan ini," katanya. - UTUSAN ONLINE

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .