Titah Raja Perlis semperna ketika Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Menteri Besar


(Utusan) ARAU 24 Mei - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, ba­ginda tidak melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar sebelum ini kerana bimbang pentadbiran kerajaan negeri menjadi boneka kepada pihak lain.

Berikut teks penuh titah baginda ketika Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Menteri Besar di Istana Arau di sini;

Syukur Alhamdulillah kerana kita dapat bersama-sama menyaksikan (istiadat) pelantikan dan mengangkat sumpah Menteri Besar. Pelantikan Menteri Besar ini memakan masa yang panjang berbanding negeri-negeri lain. Boleh dikatakan kita yang terakhir sekali menubuhkan kerajaan negeri.

Tentu ada sebab-sebab yang menyebabkan perkara ini berlaku. Di dalam tahun 2008, lebih kurang perkara yang hampir serupa berlaku seperti ini yang memakan masa selama dua minggu. Ini kerana ada kepentingan individu sesetengah puak yang saya segan hendak menyebut namanya tetapi saya ingat tuan-tuan pun mengetahuinya kerana pada pagi ini pun, sebilangan besar daripada kumpulan itu tidak hadir.

Saya tidak tahu sebab apa mereka tiada di sini kerana jemputan telah pun dibuat dua hari sebelum, dan pada masa itu semuanya ada di negeri Perlis. Mereka ini telah berhijrah ke Kuala Lumpur dengan kapal terbang, begitulah laporan saya terima. Tetapi majlis ini terpaksa dijalankan dengan atau tanpa kehadiran mereka.

Tuan-tuan dan puan,

Seelok-eloknya selepas pilihan raya, selepas Menteri Besar dilantik, ditubuhkan kerajaan negeri. Exco mestilah bersidang mencari jalan menyelesaikan beberapa masalah dan membangunkan negeri ini tetapi sebaliknya di Perlis, walaupun negeri kecil ada (pihak-pihak tertentu mempunyai) agenda berlainan.

Kita mesti ingat negeri Perlis kini adalah salah satu daripada negeri pembangkang. Masalah tentu lebih banyak di mana kita dikawal oleh kerajaan Pusat. Pendapatan kita selalu defisit dan terpaksa berharap kepada kerajaan Pusat. Begitu juga dalam soal pembangunan, kita memerlukan bantuan.

Tetapi wakil-wakil rakyat fikir perkara itu tidak mustahak, sebaliknya lebih penting soal memegang jawatan Menteri Besar. Dalam Perlembagaan menyatakan kuasa diberikan kepada saya untuk melantik Menteri Besar dan tidak menyebut langsung mesti diterima apa yang dikehendaki oleh wakil-wakil rakyat. Cuma (Perlembagaan) sebut mesti mendapat kepercayaan dewan (Dewan Undangan Negeri).

Baru-baru ini, saya telah memanggil tiap-tiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk berjumpa, kerana saya tidak mengenali langsung wakil-wakil rakyat ini. Antara soalan yang saya tanya, bolehkah Yang Berhormat (YB) kalau dipelawa menjadi Menteri Besar, kebanyakan mengatakan tidak boleh kecuali dua hingga tiga orang, berani kata mereka akan cuba.

Saya tanya siapa paling layak, mereka memberikan kepada saya surat menyokong seorang daripada mereka. Perkara itu tak pernah berlaku lagi di negeri ini di mana wakil-wakil rakyat sembah surat bersetuju melantik seorang daripada mereka.

Surat daripada Presiden parti yang memang biasanya diterima raja pemerintah tetapi tak semestinya raja akan menerimanya.

Itu merupakan surat cadangan dan bukan watikah kerana watikah pelantikan hanya dikeluarkan oleh raja. Tapi apa yang saya bimbang, takut saya membuat kesilapan pilihan sehinggakan sampai semalam pun, daripada empat senarai pendek turun kepada dua.

Saya ingat tuan-tuan pun tahu senarai tersebut iaitu seorang Menteri Besar yang menjalankan tugas sebelum ini (Datuk Seri Azlan Man). Saya ingin pembangunan diteruskan kerana mesti ada kesinambungan dan kalau tidak, pembangunan terbantut dua hingga tiga tahun.

Ini adalah untuk kepentingan rakyat. Tetapi tentulah ada kelemahan Menteri Besar ini yang boleh diperbetulkan.

Lagi satu bakal Menteri Besar adalah yang ada hubung kait dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. Bila saya tanya soalan kepada wakil-wakil rakyat ini, mereka lebih patuh kepada ketua ini (Pengerusi Badan Perhubungan Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim) daripada Pusat. Ia seolah-olah ada 'genggaman' lain.

Saya bimbang dan takut bila saya pilih Datuk Ismail Kassim, saya tidak mahu seorang Menteri Besar jadi puppet (boneka) yang dikawal oleh kuasa luar.

Seperti mana yang tuan-tuan dengar tadi sumpah daripada Menteri Besar, beliau tidak boleh memberitahu atau berbincang dengan selain daripada ahli mesyuarat Kabinet (Mesyuarat Kerajaan Negeri) kerana adalah rahsia.

Kalaulah adik jadi Menteri Besar tentu dia beritahu abangnya. Jadi saya berterus-terang tidak mahu kuasa luar kawal negeri ini. Kalau Shahidan hendak, dia sepatutnya bertanding dalam negeri tetapi memilih Parlimen.

Sekarang ini saya tak mahu memanjangkan cerita ini, saya cuma nak jelaskan syak wasangka saya (dikawal kuasa luar).

Tetapi tengok hari ini, syak wasangka saya 100 peratus betul kerana sembilan daripada 10 wakil rakyat BN tidak hadir kerana ditentukan oleh seorang sahaja. Malah pergi ke Kuala Lumpur dan tidak memberi penghormatan hadir pada majlis ini. Inilah yang saya bimbang daripada awal. Ini perkara kecil tetapi kalau tidak dikawal, lebih daripada ini boleh berlaku.

Saya harap tuan-tuan faham apa yang saya sampaikan kerana saya suka negeri ini maju dan rakyat mendapat faedah. Semua rakyat tanpa mengambil kira bangsa dan agama. Saya bimbang jika tersilap pilih, cuma satu kumpulan dapat faedah.

Saya minta maaf, kalau apa yang saya cakap dan saya dedahkan apa yang tak sepatutnya (didedahkan) tetapi itulah luahan perasaan saya secara ikhlas. Harap rakyat negeri ini faham pilihan saya.

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .