Kemelut MB Perlis selesai, 9 ADUN sokong Azlan Man



KANGAR 5 Jun - Kesemua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri ini sebulat suara menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar seperti mana diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Sehubungan itu, kemelut pelantikan jawatan nombor satu negeri tersebut yang berlarutan sejak hampir sebulan lamanya, kini berakhir.

Ketika mendedahkan perkara itu, ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad berkata, kesemua ADUN BN berkenaan telah membuat keputusan bersama untuk menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin dalam pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Katanya, keputusan itu yang sudah pun dibuat sebelum mereka diterima menghadap baginda di Istana Arau dekat sini kelmarin, adalah bagi menyelesaikan segera isu berkenaan demi kebaikan rakyat.

"Kami tidak mahu kemelut ini berpanjangan dan supaya sebuah kerajaan negeri yang sempurna (pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dapat dibentuk segera. Kita jangka (pelantikan) boleh dilakukan pada minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Sempena Ramadan Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer di Dewan 2020, di sini hari ini.

Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh Azlan yang juga ADUN Bintong. Turut hadir ADUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya.

Dalam pada itu, Azlan ketika diminta mengulas isu tersebut hanya tersenyum dan menyatakan ringkas ; "Semuanya positif".

Mengulas lanjut, Asmaiza memberitahu, majlis sembah menghadap kesemua ADUN BN tersebut secara serentak ke atas Tuanku Syed Sirajuddin, berlangsung dalam suasana harmoni.

"Alhamdulillah tuanku (Syed Sirajuddin) perkenan untuk berjumpa dan pada masa itu, kami (ADUN-ADUN) telah menyatakan menjunjung titah tuanku, akur dan taat dalam pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar," jelasnya.

Tambah Asmaiza, walaupun sembah menghadap itu tanpa kehadiran Datuk Ismail Kassim, tetapi ADUN Tambun Tulang tersebut menyatakan sokongan serupa dan bersama kumpulan mereka.

Ditanya sama ada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim mengetahui berhubung keputusan yang dibuat oleh kesemua ADUN tersebut, Asmaiza memberitahu, perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Arau itu.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, kesemua sembilan ADUN BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan dipecat keahliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Shahidan yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat daripada BN.

Lebih merumitkan apabila kesemua sembilan ADUN BN itu dikatakan sebulat suara menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin tetapi enggan menyatakan pendirian menyokong pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Tidak lama selepas itu, Setiausaha BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam satu sidang akhbar telah menyatakan permohonan ampun kepada baginda berikutan salah faham yang berlaku dalam isu tersebut.

Kesemua mereka walau bagaimanapun tetap dengan pendirian untuk tidak menyokong Azlan yang dikatakan tidak bekerjasama dengan Badan Perhubungan UMNO negeri itu termasuk tidak menghadiri mesyuarat selama empat tahun.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis. - UTUSAN ONLINE

Pewaris Melayu : Alhamdulillah, semoga tak ada lagi dah drama dekat negeri Perlis ni dan ini merupakan masa untuk semua ADUN buat kerja 

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .