Kalau tidak boleh laksana, jangan berjanji – Zahid




KUALA LUMPUR 19 Julai - Pengalaman sebagai Tim­balan Perdana Menteri sebelum ini digunakan sebaik-baik­nya oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi 'tunjuk ajar' kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam sidang Dewan Rakyat.

Ketika menyambung perbahasan beliau selepas ditangguhkan semalam, Ahmad Zahid berterusan memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang dengan mengkritik kelemahan kerajaan menunaikan 10 janji dalam 100 hari seperti terkandung dalam Buku Harapan.

Beliau malah mengingatkan kerajaan mengenai ciri-ciri orang munafik berdasarkan Islam iaitu apabila berjanji tidak ditepati dan berbohong.

"Aku janji dalam manifesto, tetap aku janji. Janganlah memesongkan dan cari alasan, me­ngakulah.

"Kalau tidak boleh laksana, jangan berjanji. Ini menipu rakyat, rakyat percaya, rakyat letak harapan," tegasnya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong ­dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ketegasan Ahmad Zahid itu, bagaimanapun menyebabkan penyokong kerajaan tersentak dan salah seorang daripada mereka, RSN Rayer (PH-Jelutong) segera bangkit mencelah untuk menyuarakan bantahan sehingga tersilap memetik Peraturan Mesyuarat.

Tidak terkesan dengan tekanan itu, Ahmad Zahid membalas bantahan Rayer dengan sindiran pedas.

"Dua penggal menjadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), tetapi ini kali pertama di Dewan Rakyat, hormatlah peraturan dewan.

"Saya fikir Jelutong tidak faham bahasa kita. Saya minta Ba­ling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) terangkan kepada beliau," sindirnya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, Ahmad Zahid memberitahu, pembangkang memberi tempoh setahun kepada kerajaan PH untuk memastikan kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Katanya, peluang tersebut diberi kepada kerajaan kerana sebelum ini mereka mendakwa cukai barang dan perkhidmatan (GST) membebankan rakyat.

"Kita beri tempoh 100 hari sehingga 1 September tahun depan dan selepas itu kita beri tempoh setahun, sama ada harga barang dan kos sara hidup berkurangan selepas pengenalan semula SST.

"Kita memberi peluang kepada mereka sebab janji mereka adalah mengurangkan kos sara hidup. Kalau dulu GST dapat kutip lebih RM48 bilion setahun dan kini SST. Kita tunggu sahaja 1 September nanti," ujarnya.

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .