ARAU 17 Julai - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, menyeru kerajaan di bawah kepemimpinan baharu supaya memikul amanah yang diberikan rakyat semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, sebaik mungkin dengan berdedikasi, jujur, bertanggungjawab dan berintegriti.
Baginda bertitah, patuhilah segala undang-undang dan peraturan sedia ada demi menjaga agama, rakyat dan nama baik negeri.
"Beta juga menyeru kerajaan negeri ini menjalin hubungan kerja yang baik, mesra dan erat dengan kerajaan Pusat, walaupun wujud perbezaan ideologi politik. Beta yakin, tentu ada ada titik persamaan dalam soal agenda pembangunan demi faedah rakyat.
"Selepas PRU-14, negeri Perlis telah menjadi kerajaan pembangkang, namun ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak berusaha meneruskan agenda pembangunan negeri ini," titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-75 di Istana Arau di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid,
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Pada majlis istiadat itu, seramai 298 orang menerima darjah dan pingat kebesaran yang didahului Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, terhutang budi dan berterima kasih di atas sokongan padu dan berdiri teguh bersama baginda semasa kemelut pelantikan Menteri Besar selepas PRU-14.
"Sesungguhnya, sokongan padu sekalian rakyat telah memberi kekuatan kepada beta untuk terus memerintah negeri ini," titah baginda.
Baginda seterusnya menyeru para penjawat awam di negeri ini agar sentiasa menjalankan tugas dengan profesional dan berintegriti.
Titah baginda, rakyat akan memandang serong sesuatu organisasi awam itu walaupun yang tidak berintegriti itu hanya segelintir sahaja.
"Penjawat awam hendaklah dengan tanpa rasa takut memainkan peranan memberikan maklumat, pandangan dan nasihat yang sewajarnya supaya keputusan dibuat kerajaan negeri adalah betul dan terbaik," titah baginda. - UTUSAN ONLINE