KUALA LUMPUR 5 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim berada pada landasan terbaik untuk mengambil alih kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri selepas berjaya memenangi jawatan Presiden PKR.
Beliau menang tanpa bertanding apabila menjadi satu-satunya calon yang menghantar borang ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dekat sini hari ini bagi merebut jawatan tersebut.
Borang pencalonan Anwar dicadangkan sendiri oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk membolehkan suaminya mengambil alih peranan beliau untuk menerajui parti.
Peralihan kuasa daripada Dr. Mahathir kepada Anwar dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, namun Presiden PKR itu terlebih dahulu perlu bertanding di dalam pilihan raya dan menjadi Ahli Parlimen.
Kemenangan Anwar itu juga sedikit sebanyak menggembirakan penyokongnya yang sebelum ini dikatakan bimbang kononnya beliau akan disaingi oleh menteri 'paling berkuasa' dalam Kabinet selepas Dr. Mahathir iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ia susulan daripada spekulasi bahawa Dr. Mahathir cuba mengangkat Mohamed Azmin dalam usaha mengekang kemaraan Anwar dalam pentas politik.
Bagaimanapun hasrat menyaksikan pertembungan Anwar dengan Timbalan Presiden PKR itu tidak kesampaian apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut sekadar mahu mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang akan bermula September ini.
Mengulas mengenai keputusan Mohamed Azmin, Setiausaha Politiknya, Hilman Idham berkata, kesetiaan Mohamed Azmin terhadap Anwar tidak boleh dipertikaikan.
"Sepanjang berkhidmat dengan Mohamed Azmin, saya tahu beliau orang yang setia dengan Anwar. Tiada orang lain yang lebih setia kepada Anwar selain Mohamed Azmin," katanya kepada pemberita di ibu pejabat parti itu.
Mohamed Azmin akan menentang Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sekali gus menepati persepsi sesetengah pemerhati politik mengenai pertembungan kem Mohamed Azmin dan kem Rafizi.
Malah ia seolah-olah seperti mengesahkan kandungan rakaman suara yang ditularkan sebelum ini yang mendakwa Rafizi mendapat 'restu' untuk menentang Mohamed Azmin meskipun tidak terbukti suara tersebut adalah milik Anwar.
Bagaimanapun, rata-rata pemimpin tertinggi PKR yang menghantar borang pencalonan masing-masing tidak mahu melihat sebarang tindakan yang boleh memecahbelahkan parti itu sama ada spekulasi pertembungan Mohamed Azmin dengan Anwar atau Rafizi. - UTUSAN Online
Pewaris Melayu : Akhirnya! Kita tunggu bila Anwar akan bergelar Ahli Parlimen dan jadi PM untuk menggantikan Mahathir!