(BH) KUALA LUMPUR: Kemasukan bekas Ahli Parlimen UMNO dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengukuhkan lagi kedudukan parti itu di kawasan luar bandar.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang percaya Ahli Parlimen berkenaan mempunyai sokongan yang kuat di akar umbi di kawasan luar bandar yang sudah tentu memberi kelebihan dalam meraih sokongan undi Melayu.
Katanya, apabila BERSATU mendapat tempat di hati orang Melayu, maka parti akan menjadi lebih kuat dan ia akan mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) di kawasan berkenaan.
"Sebagai mana yang diketahui, pada pilihan raya yang lalu, UMNO masih menjadi parti yang popular di 'mata' pengundi Melayu. UMNO menjadi parti yang istimewa bagi sesetengah orang Melayu, tetapi ada yang kecewa dengan perkembangan semasanya.
"Maka, jika BERSATU mendapat tempat di hati orang Melayu, maka parti ini akan menjadi kuat dan ini akan mengukuhkan kedudukan dalam PH.
"Saya jelaskan bahawa BERSATU serius memastikan perkara ini tidak berlaku kerana mereka yang mahu menyertai BERSATU ini, mempunyai pengaruh mereka sendiri di kawasan masing-masing.
"Jika kita menolak mereka ini, ia akan memberi kesan kepada undi dan sokongan kepada BERSATU. Mereka ini boleh menambahkan undi kepada kita. Kita mahukan undi mereka ini untuk mengukuhkan kedudukan BERSATU dan PH," katanya dalam sesi wawancara bersama Editor Kanan media tempatan, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan parti komponen dalam PH supaya BERSATU tidak menerima pemimpin UMNO yang ingin menyertai parti berkenaan.
Sebelum ini, dilaporkan Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, mengingatkan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri supaya tidak mengambil pemimpin 'katak' merujuk kepada ahli UMNO Sabah yang keluar parti untuk menyertai BERSATU.
Tian Khiew juga membangkitkan bahawa beliau pernah mendengar Dr Mahathir menggelar pemimpin UMNO sebagai 'tidak berguna' dan 'sampah' sewaktu pertemuannya dengan beberapa aktivis serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini.
Rabu lalu, UMNO Sabah lumpuh apabila Pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas.
Sehari selepas itu enam lagi Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti. Mereka adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Turut dilaporkan menyertai BERSATU, veteran UMNO, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad dan Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Mengulas mengenai kebimbangan pemimpin parti komponen PH dengan perkembangan terbaru itu yang menyebabkan UMNO bakal mengambil alih kepemimpinan BERSATU, Dr Mahathir berkata, beliau memberi jaminan UMNO tidak akan sama sekali mengambil alih kedudukan BERSATU atau parti lain dalam PH.
"Kami bukannya secara mudah mahu mengambil pemimpin UMNO. Kami bukannya mengambil pemimpin UMNO secara semberono.
"Ini kerana tiada tempat diberikan kepada kepemimpinan UMNO yang ada kes di mahkamah; menjadi penyokong tegar Najib dan mereka yang pernah menyumpah seranah pemimpin BERSATU dan PH termasuk yang melabelkan saya dengan pelbagai gelaran. Ini bermakna bukan sesiapa saja bebas untuk menyertai BERSATU," katanya.
Beliau menjelaskan beberapa syarat perlu dipatuhi sebelum Ahli Parlimen UMNO diterima masuk dalam BERSATU seperti perlu meninggalkan UMNO dan menjadi ahli bebas terlebih dulu serta perlu menunjukkan sokongan kepada kerajaan PH.
"BERSATU akan menilai sikap ahli Parlimen ini sebelum diterima masuk ke dalam BERSATU. Satu lagi syarat, mereka yang menyertai BERSATU tidak akan diberikan apa-apa jawatan dalam parti.
"Pada masa depan, mereka boleh bertanding merebut jawatan tetapi pada masa ini, mereka tidak sama sekali akan diberikan sebarang jawatan yang ada dalam parti, ketika ini termasuk menggantikan pemimpin sedia ada dalam parti. Mereka boleh menyertai BERSATU sebagai ahli biasa, tanpa memegang apa-apa jawatan," katanya.
Dr Mahathir turut mengingatkan supaya tidak semua ahli UMNO dipersalahkan atas kesalahan yang dilakukan kepemimpinan parti itu.
"Ini kerana ada antara mereka yang komited kepada perjuangan parti dan mereka ini hanya menjadi pengikut, kepemimpinan parti yang menentukan hala tuju parti. Sebagai pengikut parti, mereka tidak terbabit langsung dalam membuat formula dan dasar berkaitan parti. Mereka ini orang biasa yang terpilih menjadi calon dan terpilih serta menang pilihan raya.
"Sekarang mereka sudah melihat ada tuduhan yang berat ke atas Najib (Datuk Seri Najib Razak), mereka nampak UMNO bukan lagi parti seperti dulu dan tidak lagi berjuang dalam landasan perjuangan asalnya, jadi mereka memutuskan untuk keluar parti.
"Ada antara mereka ini masih berminat terbabit dalam politik, maka mereka mahu menyertai BERSATU tetapi menyatakan enggan memegang apa-apa jawatan dalam parti termasuk dipilih sebagai calon pada pilihan raya akan datang," katanya.
Mengulas mengenai kebimbangan kemasukan pemimpin UMNO ke dalam BERSATU satu perkembangan yang tidak sihat untuk parti, katanya kebanyakan yang mahu menyertai BERSATU bukan hanya dalam kalangan pemimpin UMNO.
"Ada dalam kalangan mereka ini hanya pengikut saja, jika ada pemimpin pun hanya satu dua orang saja. Pemimpin UMNO yang mahu menyertai BERSATU tidak mudah mempengaruhi cara parti ini.
"Kebanyakan pemimpin yang ada dalam BERSATU hari ini, pernah juga menjadi pemimpin dalam UMNO, namun mereka ini mempunyai pemikiran mereka sendiri dan mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan cara UMNO ini," katanya.