Penasihat PKR berkurung di rumah

KUALA LUMPUR 18 Julai - Sehari selepas dibebaskan dengan jaminan polis, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga petang ini tidak keluar dari rumah sebaliknya "berkurung" di kediamannya di Bukit Segambut di sini.

Beliau dipercayai menghabiskan masanya seharian bersama keluarga selain menemui rakan-rakan, saudara-mara, peguam serta para penyokong yang datang silih berganti.

Anwar langsung tidak kelihatan walaupun sekadar di beranda atau laman rumahnya.

Pada pukul 7.15 malam, barulah kelibat Anwar kelihatan iaitu meninggalkan rumah menaiki kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam sambil diiringi tujuh kenderaan lain.

Beliau yang berbaju batik berwarna coklat sempat melambai-lambai tangan ke arah jurugambar yang menunggu di luar rumahnya itu sambil tersenyum.

Kenderaannya dipercayai menuju ke Jasin, Melaka bagi menghadiri majlis ceramah politik dan makan malam bersama penyokong.

Dalam pada itu, petugas media yang 'berkampung' di luar rumah Anwar sejak pukul 8 pagi, gagal mengesan pergerakan keluar bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Kira-kira pukul 10 pagi, Naib Presiden PKR, Azmin Ali memasuki rumah itu sebelum diikuti oleh peguam Anwar, Sankara N. Nair sejam kemudian.

Seorang lagi peguam Anwar, R. Sivarasa kelihatan memasuki rumah itu kira-kira pukul 12 tengah hari.

Pada pukul 3 petang, satu sidang akhbar diadakan oleh Sivarasa yang dihadiri kira-kira 70 petugas asing dari dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati rumah Anwar terus menarik perhatian para penyokongnya yang ingin mengetahui keadaan semasa dirinya.

Malah, ada di antaranya cuba memasuki banglo itu dengan menghadiri sidang akhbar pada pukul 3 petang ini walaupun dikhaskan untuk wartawan.

Posted in , . Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .