Menilai sikap seorang MB

'GO...go''...''Woi, mari sini. Saya nak memory card kamera tu.'' Dua kata-kata ini bukanlah dilafazkan oleh orang biasa atau lebih tepat lagi insan di jalanan yang tidak mempunyai apa-apa jawatan penting dalam kerajaan mahupun swasta.
Sebaliknya ia dilafazkan oleh seorang bertaraf Menteri Besar yang berkuasa di sebuah negeri. Demikianlah gambaran tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin yang bertindak di luar dugaan kelmarin apabila memaksa jurugambar Utusan Malaysia menyerahkan kamera dan memadamkan gambarnya.
Kejadian berlaku ketika penyerahan surat tuntutan maaf daripada seorang peguam semasa sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di dewan makan Bangunan Perak Darul Ridwan.
Ketika Mohammad Nizar yang mewakili sebuah parti yang memperjuangkan Islam iaitu Pas bertindak begitu emosional, pada hari yang sama seorang wakil rakyat DAP bertindak sebaliknya.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dipaparkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris begitu tenang menerima surat tuntutan tersebut. Beliau tidak menghalang jurugambar menjalankan tugas mereka.
Persoalannya, kenapakah Mohamad Nizar begitu emosional sehingga bertindak di luar kesopanan sebagai seorang pemimpin pembesar negeri?
Sejak 1991, penulis sudah beribu kali membuat liputan mengenai pemimpin Pas termasuklah aktiviti Presiden parti seperti Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor dan kini Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Malah penulis juga sudah terlibat dalam membuat liputan pemimpin-pemimpin kanan Pas yang lain seperti Mursyidul Am, Pas Datuk Nik Abdul Nik Mat, tetapi tidak pernah sekalipun pemimpin-pemimpin berkenaan bertindak emosi seperti Mohammad Nizar.
Apa yang lebih mengecewakan, rakan sejawatannya di Kedah yang juga dari Pas, Datuk Azizan Abdul Razak tidak pernah bersikap begitu kasar seperti mana Mohammad Nizar.
Ketika penulis menghubungi beberapa pemimpin dan ahli Pas bertanyakan pandangan berhubung tindakan Mohammad Nizar itu, mereka bukan sahaja terkejut malah benar-benar kecewa dengan Menteri Besar Perak tersebut.
Ini kerana Mohammad Nizar membawa imej Pas dan alasan tindakan tersebut mungkin kerana berada dalam tekanan boleh dipertikaikan.
Kalau itu hendak diambil kira, bagaimana dengan Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz dan Azizan. Ketiga-tiga pemimpin ini pernah mengalami tekanan yang maha hebat daripada pelbagai sudut termasuklah daripada media tetapi pernahkah mereka melakukan tindakan seperti mana Mohammad Nizar?
Ketiga-tiga pemimpin berkenaan sentiasa menghormati peranan media, jika ada perkara yang tidak puas hati mereka akan memberi penjelasan, mereka tidak akan emosional dalam bertindak.
''Saya berharap Mohammad Nizar akan belajar daripada ketiga-tiga pemimpin Pas tersebut, jangan terlalu emosional dalam berhadapan dengan media,'' kata seorang pemimpin Pas ketika dihubungi.
Layanan
Sebenarnya jika mengimbas kembali rentetan layanan Mohammad Nizar terhadap akhbar Melayu terutamanya Utusan Malaysia, apa yang dilakukan oleh beliau hakikatnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Sejak awal pemerintahan lagi Mohammad Nizar tidak menyenangi laporan-laporan Utusan Malaysia biarpun apa yang dibentangkan berasaskan fakta dan realiti.
Mohammad Nizar merupakan antara kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang memboikot akhbar ini selain Selangor tetapi di Kedah, Azizan lebih matang dalam berurusan dengan media.
Azizan pernah memberitahu media bahawa beliau tidak kisah apa pun yang dilaporkan, kalau betul sesuatu berita itu, beliau akan siasat perkara yang dibangkitkan dan kalau laporan tidak tepat beliau akan menegurnya.
Begitulah sikap seorang pemimpin yang matang dalam berpolitik, apatah lagi apabila sudah menerajui sebuah kerajaan negeri. Mohammad Nizar seharusnya lebih matang tetapi beliau seolah-olah melihat Utusan Malaysia ibarat 'musuh kamu yang paling nyata'.
Apa pun keadaannya tindakan Mohammad Nizar boleh mencemarkan imej Pas sebagai sebuah parti yang sentiasa bersikap terbuka dengan media.
Ketika pakatan pembangkang mencapai persetujuan untuk memboikot Utusan Malaysia, barisan kepimpinan tertinggi Pas memutuskan membenarkan akhbar ini membuat liputan muktamar parti tersebut yang berlangsung di Ipoh.
Berdasarkan kepada apa yang berlaku adalah jelas terlalu banyak yang perlu Mohammad Nizar pelajari. Sebagai seorang Menteri Besar dan mempunyai latar belakang akademik dan agama yang baik, beliau seharusnya tidak bertindak seperti insan-insan tidak berpelajaran di jalanan.
Jadilah seorang pemimpin Islam yang sentiasa menghormati tata susila dan tidak seharusnya memaparkan tindakan yang akan dianggap angkuh dan sombong.
Mungkin dalam soal ini, kepimpinan Pas harus memberi teguran dan nasihat kepada Mohammad Nizar bahawa jawatan Menteri Besar yang disandangnya bukanlah segala-galanya, apatah lagi jika ia diperolehi berdasarkan situasi 'nasib sahaja'.
Mohammad Nizar tidak perlu merasa tertekan dengan laporan-laporan media apatah lagi bertindak memusuhi mana-mana media.
Kalau ada perkara yang dibangkitkan oleh sesuatu media itu tidak tepat sebagai seorang pemimpin, beliau harus bersedia membuat penjelasan.
Mohammad Nizar perlu belajar dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Pas yang sentiasa memahami tugas media.
Lihat sahaja bagaimana Nik Abdul Aziz yang sudah hampir 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan tidak pernah sekalipun membuat tindakan yang dilihat mencemarkan imej dan kedudukannya sebagai ulama dan kepimpinan negeri.
Nik Abdul Aziz sentiasa bersedia memberi penjelasan jika ada laporan media yang tidak tepat. Tidak dinafikan ada juga sekali sekala Nik Abdul Aziz benar-benar tersinggung dengan sesebuah media tetapi beliau tidak pernah menjerit 'woi' kepada mana-mana wartawan dan jurufoto.
Berdasarkan kepada keadaan itu adalah perlu Mohammad Nizar bermuhasabah dan berusahalah menjadi pemimpin yang matang, profesional dan bijak dalam berhadapan dengan wartawan. Ingatlah pemimpin yang baik ialah pemimpin yang mampu mengawal perasaan sendiri.

Posted in , . Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

3 Responses to Menilai sikap seorang MB

  1. jom kritik... gambar menteri besar pahang tunjuk isyarat fuc* dan pelbagai isyarat lucah lain masa pilihanraya kecil dahulu tak dijadikan isu. video menteri besar terengganu sekarang yang mengamuk di dewan adun terengganu pun tak dijadikan isu. siap mencarut nk terkam bergaduh lg

    BalasPadam
  2. Salam !

    Ate teman dengopun PR akan memerintah pada pilihanraya 13 nanti, teman dengo dari KL, dari orang UMNO gak, dia tu Tan Sri, entah la teman pun tak tahu la nak kata

    BalasPadam

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .