Polis Sahkan Kim Chol Sebenarnya Kim Jong-nam - Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan warga Korea Utara Kim Chol yang dibunuh di negara ini 13 Feb lepas sebenarnya adalah Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan cara pengesahan identiti muktamad mayat itu dibuat demi keselamatan saksi-saksi.

"Saya tidak akan beri penjelasan lanjut macam mana caranya (sahkan identiti Jong-nam), demi keselamatan saksi-saksi, saya tidak akan beri apa-apa penjelasan, jadi kini kami telah selesai (jalankan penyiasatan) ke atas di mati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan projek perintis balai polis moden di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail di sini, hari ini.

Polis menyerahkan mayat Jong-nam kepada Kementerian Kesihatan untuk urusan seterusnya kerana tidak ada waris yang menuntutnya setakat ini.

Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) ketika menunggu penerbangan untuk ke Macau.

Beliau diserang dua wanita yang menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka mengandungi bahan yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama 'Kim Chol', meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Putrajaya.

Khalid berkata pihak polis telah selesai dalam siasatan terhadap mayat Jong-nam.

"Kita akan serahkan kepada Kementerian Kesihatan oleh sebab tiada yang tuntut mayat itu," katanya.

Ditanya adakah mayat Jong-nam akan diserahkan kepada pihak Korea Utara, Khalid berkata mengikut peruntukan undang-undang negara ini hanya waris kepada si mati sahaja yang boleh menuntut sesuatu mayat di mana-mana hospital di Malaysia.

"Undang-undang kita hanya membenarkan kita mengembalikan mayat, diserah kepada waris, pada ahli keluarga, oleh kerana tidak ada ahli keluarga yang menuntut, kita serahlah kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan mereka selanjutnya," katanya.

-- BERNAMA

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .