Pertimbang semula penamatan perkhidmatan guru mengaji di Kelantan


KOTA BHARU 23 Mei - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta mempertimbangkan semula keputusan menamatkan perkhidmatan 3,075 penggerak masyarakat di seluruh negeri ini berkuat kuasa minggu lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kumpulan tersebut sebenarnya merupakan guru-guru yang mengajar al-Quran di kampung-kampung.

Jawatan tersebut kata beliau, diwujudkan sejak lebih 20 tahun lalu bagi memperkasa agenda dakwah di Kelantan, khususnya dalam memantapkan pengajian al-Quran dalam kalangan masyarakat.

"Kita khuatir kegiatan dakwah di negeri ini mungkin terencat selepas ini. Nama sahaja penggerak masyarakat, tetapi tugas sebenar mereka ialah ajar mengaji di kampung-kampung lima kali seminggu.

"Elaun diterima pula cuma RM400 sebulan. Itu pun sudah di bawah paras kemiskinan. Apabila ditamatkan kontrak, mereka mungkin terpaksa memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Ihya Ramadan dan berbuka puasa Badan Perhubungan UMNO Kelantan dengan kerjasama Majlis Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan di Pejabat UMNO negeri, di sini malam ini.

Mustapa berkata, dalam majlis sama, pihaknya turut mengadakan solat hajat memohon Allah SWT mempermudahkan urusan termasuk melembutkan hati kerajaan PH supaya menarik semula keputusan itu.

Utusan Online sebelum ini melaporkan kira-kira 3,000 kakitangan lantikan politik Barisan Nasional (BN) menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan ditamatkan perkhidmatan berkuat-kuasa 15 Mei lalu. - UTUSAN ONLINE

Lebih 3,000 lantikan JPP Kelantan ditamatkan

KOTA BHARU 15 Mei – Le­bih 3,000 kakitangan lantikan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan di seluruh negeri ini ditamatkan kontrak masing-masing berkuat kuasa hari ini.

Difahamkan, mereka yang ditamatkan kontrak terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), pegawai pembangunan Islam serta guru mengaji.


Surat penamatan kontrak kumpulan tersebut mula tersebar di media sosial sejak pagi ini.

Surat tersebut bertarikh 14 Mei 2018 dan ditandatangani oleh Pengarah JPP negeri, Amir Zakri Mahmad Mahyidin.

Bagaimanapun, punca penamatan kontrak mereka tidak dijelaskan.

Sementara itu, Amir Zakri ketika dihubungi enggan mengulas perkara tersebut dan meminta pemberita menghubungi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya untuk maklumat lanjut.

"Biar ibu pejabat (di Putrajaya) yang jawab," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan penamatan sebarang kontrak penjawat awam tanpa notis dan sedang menyiasat dakwaan-dakwaan yang tular dalam media sosial.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa penamatan yang berlaku disebabkan kontrak tamat tempoh.


Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .