UMNO bukan tak kuat...lawanlah balik!



TUMPANG LALU 
Zulkifli Jalil
29 Mei 2018 12:00 PM

Bayangkan kalau MCA menang separuh daripada 37 kerusi Parlimen ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 tempoh hari manakala Gerakan pun begitu jua. Malang sungguh, hasilnya hampas.

Daripada 37 kerusi, MCA cuma menang satu di Ayer Hitam, Johor dan Gerakan lagi teruk, dapat 'telur' sahaja dari 11 kerusi. MIC? Dua saja daripada sembilan kerusi yang diredahnya.

Kerusi-kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) untuk tiga parti berkenaan bagaimana keputusannya? 90 (MCA) + 33 (Gerakan) + 19  (MIC) = berapa? Pun hampas juga.

Kadang-kadang kalau Tum­pang lalu fikirkan, elok sahaja UMNO yang menang 54 dari 78 kerusi Parlimen diraih Barisan Nasional (BN) bergerak solo sahaja pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.  Tanding lebih daripada

121 kerusi sedia ada. Mungkin sama angka 160 kerusi  Parlimen yang ditandingi Pas 9 Mei lalu.

Ini baru puas hati. Tak lagi berbangkit unsur sabotaj yang dikatakan terjadi di Wangsa Maju, Bandar Tun Razak dan tempat-tempat lain tempoh hari.

Tapi yang Tumpang lalu hairan, cepat sangat mengalah UMNO ni. Bayangkan jumlah 54 kerusi itu mengatasi mana-mana parti lain waima dari Pakatan Harapan pun (49 PKR, 42 DAP, 12 PPBM dan 11 PAN).

Ini alih-alih lompat ke sebe­rang, sehinggakan terdetik satu dua ahli Majlis Tertinggi UMNO berura-ura mahu berbuat demikian jugalah. Itu belum lagi libatkan pengerusi syarikat Tumpang lalu sendiri, yang lepas BN tumbang, terus beri semangat untuk syarikat bangkit. Ingatkan okey lah, tapi beberapa hari kemudian belah begitu sahaja letak jawatan. Ini pun lebih kurang 'hasil'  dari MCA, Gerakan dan MIC tadi.

Begitupun, harus Tumpang lalu ingatkan bahawa bukan mudah ya untuk kembalikan kuasa lepas hanyut. Cuba tengok gaya dan aksi menteri-menteri Pakatan Harapan, antaranya Gobind Singh Deo, Anthony Loke Siew Fook, Zuraida Ka­maruddin, malah Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sendiri semasa sidang akhbar. Awesome, kata pende­ngarnya.  Mereka tampak begitu fokus dan seolah-olah sudah lama sebagai menteri.

Dan Tumpang lalu cukup percaya jika UMNO mampu beraksi sebagai pembangkang yang cemerlang, tak mustahil UMNO mampu pulih dan bangkit. Tapi biarlah kritikan ke atas kerajaan Pakatan Harapan ini membina campur strategis. Jangan lagi ada kelibat macam 'si Ahmad'  bila bercakap. Think outside the box, kata orang putih.

Eh! kalau direnung-renungkan, lihat Tun Dr. Mahathir Mohamad saja. Sebagai manusia beliau juga ada kelemahannya. Pakatan Harapan pun sebelum PRU-14, pernah di ambang perpecahan.

Kisahnya, Dr. Ma­hathir sebelum ke London sempena Aidilfitri pada 2017 dikatakan mengi­rim surat kepada presi­den PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membawa ke­luar parti itu daripada gabungan pakatan. Ini susulan perbezaan pendapat ber­hubung struktur ke­pimpinan dalam pakatan itu dan kegagalan empat komponen parti gabu­ngan mencapat kata se­pakat. Tapi mujurlah Nurul Izzah Anwar kemudian bergegas ke London bertemu Dr. Mahathir dan berjaya me­nyakinkan beliau untuk kekal dalam Pakatan Harapan. Ba­yangkan, tanpa Dr. Mahathir, adakah  BN yang berkuasa selama enam dekad mampu ditumbangkan?

Tapi UMNO? Baru 'disergah'  sudah terduduk, walhal diri masih berharga. Kalau lihat mereka yang jadi pembangkang sebelum PRU-14, hari-hari mereka tibai kerajaan dan tak banyak fikir hal lain, akhirnya berjaya pun, maka UMNO kena jadilah pembangkang yang dinamik.

Kelmarin, Tumpang lalu diajukan nama seorang tokoh yang menurut rakan Tumpang lalu boleh dianggap setanding dengan Dr. Mahathir untuk bantu UMNO bangkit semula.

Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), yang menurut rakan tadi, selain memiliki rekod cemerlang se­­waktu memegang jawatan Men­teri Kewangan, beliau juga dilihat tiada agenda peribadi jika memulihkan UMNO.

Berdasarkan rekod lalu, Ku Li mempunyai auranya yang tersendiri ketika era konfranta­sinya  dengan  Dr. Mahathir sewaktu beliau meninggalkan UMNO buat seketika.  

Ahli Parlimen Gua Musang yang memimpin parti Melayu Semangat 46 (S46) ketika itu hampir menumbangkan BN yang dipimpin Dr. Mahathir waktu itu. Kalahpun dalam perebutan Presiden UMNO 1987 dengan 43 undi sahaja.

Malah, pembinaan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Bank Bumiputera dan Petronas antara jasa besar beliau kepada pembangunan negara yang tidak boleh dinafikan.
Tumpang lalu sekadar terse­nyum sebab diri sendiri pun bukan ahli UMNO.
(Malah, ada yang ahli UMNO pun malu dengan krisis yang berlaku di Perlis seolah-olah tak sedar diri lagi. Dengan isu 1MDB yang dikatakan mereka 'baru tahu ditipu selama ini', pertelagahan dengan raja menjadikan imej UMNO 'sudah jatuh ditimpa tanggalah pula'.)

Maka, Khairy Jamaluddin yang diharapkan kepemimpinan UMNO kena tanyalah Ku Li,  beliau sudikah?

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

One Response to UMNO bukan tak kuat...lawanlah balik!

  1. Kalaulah KJ masih lagi ada kedudukan dlm UMNO alamatnya tinggal kenanganlah... UMNO patut dibuka kepada bumiputera sahaja!

    BalasPadam

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .