SHAH ALAM - Umno tidak mempunyai ramai ahli berperwatakan seperti bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang lantang memberikan pandangan dalam usaha untuk memperbaiki parti Melayu tertua itu.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berpandangan, keseluruhan parti itu sepatutnya berubah supaya lebih terbuka dan inklusif sebagai usaha menunjukkan Umno sedang melakukan perubahan.
Katanya, Umno perlu serius jika benar-benar mahu berubah dan tidak bergantung kepada individu-individu tertentu.
"Tidak lama lagi akan ada perhimpunan agung Umno. Pada masa ini kita akan lihat dan tahu sama ada adakah Umno betul-betul mahu berubah dan adakah ia menjadi kehendak parti.
"Dalam perhimpunan itu nanti, kita akan lihat bahagian-bahagian dalam Umno, ketua bahagian dan ahli jawatan kuasa yang datang ke pusat akan menyatakan hasrat mereka. Sekiranya akar umbi meminta supaya perubahan dilakukan, pihak pengurusan perlu memandang serius dan tidak mengambil tindakan terhadap ahlinya yang membuat teguran. Ini tidak baik untuk perubahan terhadap Umno supaya mereka lebih relevan lagi," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keperluan lebih ramai watak KJ dalam parti itu sebagai usaha menunjukkan Umno kini sudah berubah.
Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Perhimpunan Agung Umno 2018 ditetapkan pada 29 dan 30 September ini.
Dalam pada itu, Abdul Halim mengakui bukan mudah untuk Umno berubah kerana selama lebih 60 tahun, mereka sudah sebati dengan cara operasi dan budaya tertentu seperti yang diamalkan sebelum ini.
"Jika Umno benar-benar hendak berubah, kepimpinan juga perlu mengambi langkah sama. Bila kepimpinan sudah berubah, jadi ahli dengan sendirinya akan mengikut.
"Jika teguran dibuat oleh ahli dan kepimpinan pila prihatin, kita tidak nampak macam ahli itu mahu menjatuhkan parti, sedangkan tujuannya untuk memperbaiki parti. Jadi keterbukaan itu kena menyeluruh, namun terpulang kepada ahli-ahli parti kerana ini masalah dalaman mereka dan orang lain hanya boleh melihat sahaja," katanya.
Pewaris Melayu : Datang kalau sekadar berhimpun buat apa? Datang dan luahkan segala-galanya tentang apa yang UMNO perlu buat. Jemaah pemimpin UMNO terdahulu harus terus mengaku kesilapan kemudian rancang terus untuk naikkan UMNO sebelum PRU15. Yang penting, UMNO tak perlu hukum, sisih dan tekan bekas Presiden DS Najib. Najib terus kekal dalam UMNO dan releven dalam mempertahankan segala tindakan beliau sejak 2 penggal lepas.