SHAH ALAM 19 Ogos - Pas menaruh harapan dan keyakinan kerjasama parti itu dengan UMNO di Seri Setia akan membuatkan hasil lebih positif termasuk berupaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama di PRK DUN Sungai Kandis baru-baru ini hanyalah permulaan dan biarpun keputusan pilihan raya itu tidak berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN) tetapi banyak aspek positif berlaku.
"Saya melihat Sungai Kandis adalah satu pendahuluan yang sangat positif dan yakin di Seri Setia, ia meningkat lagi dan dapat dilihat dengan kehadiran pemimpin UMNO semasa hari penamaan calon.
"Kita menyaksikan perubahan ini sudah berlaku di Sungai Kandis apabila peratus pengundian rendah dan kita lihat undi Pakatan Harapan (PH) menurun, ini satu petanda perubahan yang sangat menarik dan saya yakin kali ini berpihak kepada kita," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi dan calon Pas DUN Seri Setia, Dr. Halimah Ali.
Terdahulu Presiden Pas itu hadir mendengar taklimat jentera pilihan raya Pas mengenai PRK DUN Seri Setia.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pengundi di Seri Setia perlu membuka mata dan minda mereka untuk menilai mengenai kegagalan kerajaan PH menunaikan janji 100 hari dan PH mesti disedarkan melalui undi rakyat.
"Pada masa sama, pengundi khususnya orang Melayu dan Islam juga harus melihat kepada aspek ketidakseimbangan komposisi wakil rakyat dalam kerajaan PH sedangkan majoriti di negara ini adalah Melayu dan ia perlu diperbetulkan," katanya.
Bertanyakan mengenai kesediaan parti itu membantu kempen MCA di DUN Balakong pula, Abdul Hadi berkata, ia dibuat atas dasar semangat setiakawan dalam kalangan pembangkang.
"MCA berbeza dengan DAP, walaupun MCA juga menentang hudud, tetapi mereka tidak berbuat demikian sewaktu bersama kita dalam gagasan. DAP menyerang kita dan tidak menghormati kita sewaktu dalam Pakatan Rakyat. Soal MCA tidak setuju, itu hak dia tetapi dia tidak menyerang kita seperti DAP," katanya.
Pewaris Melayu : Sekarang, yang paling penting adalah bukannya penyatuan dua parti tapi kerjasama dua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas untuk terus memastikan Melayu dan Islam dimartabatkan. UMNO tak usah risau dan ragu-ragu tentang kerjasama Pas tapi yang paling penting adalah UMNO perlu Pas dan Pas pun perlu UMNO!