Guan Eng akui janji tangguh PTPTN sukar dilaksana



KUALA LUMPUR 4 Nov. – Janji Pakatan Harapan untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sukar dilaksanakan berikutan kedudukan fiskal negara.

Menteri Kewa­ngan, Lim Guan Eng berkata, walaupun kerajaan dihujani kritikan selepas pengumuman baharu dibuat berhubung isu itu dalam Belanjawan 2019 baru-baru ini, namun kerajaan tidak mempunyai pilihan lain.

Keadaan itu katanya, ditambah lagi dengan situa­si apabila ahli perniagaan yang dikaitkan dengan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low telah 'mengambil' wang negara sehingga RM50 bilion.

"Saya terima kritikan ini, kita nak laksanakan (janji untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN), cuma (ia sukar dilakukan apabila) melihat kepada kedudukan fiskal negara.

"Apa saja boleh dilakukan kerajaan ketika ini? Kalau Jho Low tidak ambil RM50 bilion, sudah pasti ia boleh dilakukan, tapi apa boleh buat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran FundMyHome.com di Eco Majestic di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, mana-mana pemin­jam yang berpendapatan RM4,000 ke bawah diberi penangguhan bayaran balik PTPTN.

Bagaimanapun, Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 Jumaat lalu mengumumkan bahawa peminjam PTPTN yang berpendapatan lebih RM1,000 akan dikenakan potongan gaji berkadar antara dua hingga 15 peratus.

Dalam pada itu, beliau berkata, potongan mengikut kadar pendapatan dan tanggungan itu adalah penyelesai­an alternatif yang terpaksa dilaksanakan kerajaan bagi menjamin kesinambungan dana PTPTN.

"Sebab itu kita beri pilihan (potongan gaji) iaitu antara dua hingga 15 peratus," katanya.

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .