Wahai Tun, asalkan bukan Waytha Moorthy!



Oleh : Zaini Hassan, Utusan Malaysia

JIKA kita mahu menjadi Malaysia Baharu, saya setuju biar ia baharu betul-betul.

Jika di Amerika Syarikat mereka boleh mengheret bakal Ketua Hakimnya ke Jawatankuasa Kongres kerana dikatakan terbabit dalam salah laku seksual di zaman sekolah tinggi dahulu, maka kelakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy lebih dahsyat lagi.

Seharuslah dalam isu video itu, dia perlu dihadapkan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), atau dihadapkan ke Jawatankuasa 
Parlimen untuk diadakan pendengaran (secara terbuka) mengenai benarkah "dakwaan beliau" itu?

Ada yang berkata ah, itu video lama. Jika itu video lama yang rata-rata kita belum pernah saksikan, maka adakah ia perlu dilupakan?

Apabila dia membuat kenyataan umum kepada TV Belanda mengenai zalimnya orang Melayu Islam Malaysia, kerajaan Malaysia dan raja-raja Melayu yang menaungi negara ini, itu adalah satu penghinaan kepada mereka semua.

Semua orang termasuk orang India Malaysia yang tidak ekstrem turut menghentam kenyataan pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu. Waytha Moorthy membuat kenyataan itu seolah-olah seperti orang sedang khayal atau sedang mereka cerita fiksyen.

Malah Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) merangkap Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, sekiranya kenyataan dan suara dalam video berdurasi dua minit 39 saat yang tular itu adalah beliau (Waytha Moorthy) maka tindakan itu adalah secara sengaja mengkhianati negara.

Katanya, Waytha Moorthy sudah berbohong dan membuat kenyataan palsu untuk mempengaruhi negara luar membenci Malaysia.

"Bagaimana seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh mengaibkan nama negara ke seluruh dunia dengan membuat kenyataan palsu yang berupa hasutan itu.

"Ini adalah pengkhianatan yang cukup dahsyat kepada bangsa dan negara! Waytha Moorthy harus ditangkap serta didakwa mengikut SOSMA.

"Penyangak ini bersifat perkauman tanpa asas, ini akan membinasakan seluruh bangsa dan negara kita," kata Khairuddin dalam satu kenyataan beberapa hari lalu.

Adakah, oleh kerana "terlalu berlembut" sangat orang Melayu Islam negara ini mengakibatkan kenyataan-kenyataan seumpama itu berani dikeluarkan oleh orang seperti Waytha Moorthy?

Saya, sebagai rakyat Malaysia berbangsa Melayu Islam amat malu apabila seorang rakan saya warga asing yang dalam lawatan kerja ke negara ini bertanyakan saya adakah begitu zalim orang Melayu Islam negara ini?

Saya terkapa-kapa, tidak percaya bahawa satu dunia telah mengetahui "pengaduan" 'Menteri Perpaduan Nasional' itu mengenai konon zalimnya kita terhadap kaum India, agama mereka dan hak mereka di negara ini.

Bagi saya kenyataan pemimpin Hindraf itu satu hasutan atau cubaan menghasut supaya orang India Malaysia, kerajaan dan rakyat Belanda dan seluruh dunia membenci negara ini dan orang Melayu Islam negara ini.

Saya tidak percaya ada rakyat Malaysia yang sanggup membuat kenyataan umum yang buruk, jelik, hodoh, bodoh dan tolol macam menteri itu.

Saya juga tergamam apabila pemimpin Hindraf itu dilantik menjadi menteri dalam Kabinet Malaysia Baharu ini.

Ramai lagi orang yang boleh mengisi jawatan itu. Terlalu banyak ironinya dalam konteks Waytha Moorthy ini. Jika Waytha Moorthy seorang yang ikhlas, dia tidak akan mengadu-domba pula sentimen perasaan kita semua dengan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)?

Wahai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kita sayangkan keharmonian Malaysia.

Kita orang Melayu Islam "tidak kisah" sesiapa pun yang memegang jawatan Kabinet itu, asalkan bukan Waytha Moorthy.

Dia terlampau bigotry (taksub) dan rasis!

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .