ALOR SETAR 10 Dis. - Pas menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng umpama 'cacing kepanasan' apabila melihat orang Melayu dan Islam bersatu dalam perhimpunan #DaulatHimpunan812 di ibu negara, Sabtu lalu.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Sanusi Md. Noor mendakwa, apabila Melayu bersatu atas nama Islam, DAP merasa tergugat kerana usaha mereka untuk memecahkan kesatuan orang Melayu menghadapi kesukaran.
Dalam masa sama, Muhammad Sanusi juga menyifatkan bahawa DAP tidak layak mendakwa orang lain cuba menyuburkan perkauman kerana apa yang jelas parti itulah 'bapa' kepada segala perkauman di negara ini.
"Nampaknya DAP paling goyang dengan himpunan #DaulatHimpunan812. Bila Melayu bersatu atas nama Islam, DAP rasa tergugat kerana usaha memecahkan kesatuan orang Melayu menjadi sukar.
"Kesukaran itu kerana agama Islam yang dianuti orang-orang Melayu akhirnya menjadi titik pertemuan yang mengikat kukuh perpaduan orang Melayu.
"Sebab itu Pas, sejak tertubuhnya pada 1951 meletakkan Islam sebagai asas perjuangan, membina perpaduan, penyatuan dan matlamat akhir kita ialah Islam tertegak sebagai acuan pemerintahan," katanya bagi mengulas kenyataan Guan Eng yang menyifatkan perhimpunan kesyukuran penolakan ICERD sebagai satu perkembangan politik bahaya.
Menteri Kewangan itu dilaporkan berkata, ucapan pemimpin pembangkang pada himpunan tersebut dianggap sebagai sentimen bahaya yang memainkan politik perkauman.
Sabtu lalu, perhimpunan #DaulatHimpunan812 yang dianjurkan bersama dengan Sekretariat Kedaulatan Negara (Daulat) dianggarkan telah menghimpunkan ratusan ribu peserta sebagai melahirkan rasa syukur kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD.
Yang lebih istimewa, perhimpunan itu menggabungkan dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas yang selama ini sangat diimpikan oleh orang Melayu.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, politik DAP dan sekutunya di dalam Pakatan Harapan akan ditolak apabila seluruh umat Islam bersatu.- UTUSAN ONLINE