BARU-BARU ini heboh dan tular dalam media sosial tentang YB yang berkata-kata sesuatu mengutuk negara sendiri di luar negara.
Penulis turut mengikutinya. Khabarnya berlaku di negara Belanda dan kira-kira 10 tahun lalu. Antaranya YB katakan bahawa masyarakat India dinafikan, didiskriminasi oleh kerajaan serta beratus-ratus kuil diroboh. Benarkah kenyataan itu YB?
Jelas selepas video ditular maka YB dihentam kiri dan kanan di dalam dan di luar Parlimen. Hanya seorang dua sahaja yang cuba membela YB dengan mengatakan bahawa video itu sudah lama dan YB mungkin sudah berubah. Itupun katanya mungkin. Entah ya entah tidak. Hanya YB yang tahu. Dan sepanjang yang penulis tahu, tidak terkeluar pun sebarang permohonan maaf daripada YB.
Pertama, jika masyarakat India benar-benar didiskriminasikan, bagaimana boleh wujud ribuan sekolah jenis kebangsaan Tamil di seluruh negara sejak merdeka hingga kini? Pernahkah YB temui sekolah Tamil ini di negara-negara lain yang tidak mendiskriminasikan rakyatnya di Eropah seperti di Belanda, Amerika Syarikat, England, Kanada, Australia, Jepun, Korea, Thailand, Indonesia dan lain-lain?
Janganlah YB cuba membutakan mata akan hakikat atau realiti yang berada jelas di depan mata. Itu belum dikira ribuan rakyat keturunan India daripada kira-kira 800,000 orang yang mendapat "jus-soli", kerakyatan segera, secara serta-merta semasa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 yang lalu.
Serta-merta rakyat tanpa mengira Melayu yang asalnya di sini atau imigran keturunan Cina serta India ketika itu dapat menikmati segala kemudahan dan keistimewaan di bumi yang terletak di nusantara atau Kepulauan Melayu ini. Tolonglah YB nyatakan di manakah lagi, di negara mana di dunia ini yang asalnya imigran dari luar mendapat layanan seperti "jus-soli" seperti di negara ini?
Seterusnya YB, tentang kononnya ratusan atau ribuan kuil yang dimusnahkan atau diroboh, benarkah kenyataan rambang yang YB buat ini. Sepanjang yang penulis tahu memang ada beberapa yang diminta dirobohkan kerana statusnya telah didirikan tanpa izin atau permit di tanah haram atau milik kerajaan. Kuil pun tidak semua, malah dikatakan masih ada ratusan atau ribuan lagi yang statusnya tidak sah berkaitan dengan tapak tanah yang bukan milik pengurusan kuil tersebut tetapi masih seolah-olah dibiarkan walaupun sepatutnya dari segi undang-undang tindakan yang sewajarnya perlu diambil.
Sedarkah YB bahawa ada juga surau yang turut dirobohkan? Cukuplah sekadar dua perkara itu sahaja penulis kemukakan tetapi merupakan perkara yang amat besar maknanya jika YB teliti secara mendalam.
Itulah sejarah dan hakikatnya yang perlu kita dan YB akui akan kebenarannya. Bahkan pernah dikatakan bahawa "jus-soli" tersebut merupakan atau ibarat "hutang" oleh rakyat imigran pada ketika itu kepada bangsa Melayu di negara ini yang tidak akan terbayar sehingga bila-bila. Dengan itupun YB masih sanggup mengatakan bahawa rakyat keturunan Tamil didiskriminasi dan segala macam.
Walaupun Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan bebas mengikut undang-undang.
Berkaitan dengan isu ICERD pula YB kononnya memberi jaminan bahawa tiada apa-apa yang dapat menjejaskan Perkara 153, 152, tentang raja-raja Melayu dan sebagainya yang akan dipinda sekalipun jika kerajaan meratifikasi perjanjian tersebut. Rasanya sekarang tidak ada lagi orang yang masih rasional fikirannya akan mempercayai janji-janji YB itu dan juga janji-janji mereka yang menyokong YB.
Sewajarnyalah YB dengan rendah hati mengambil tanggungjawab meletak jawatan yang disandang dalam Kabinet kerajaan Pakatan Harapan ini dengan segera agar beberapa luka akibat kesilapan beberapa menterinya termasuk YB boleh menambah lagi akan kebencian terhadap kerajaan baharu.
Penulis berharap YB dan juga menteri serta timbalan menteri yang lain belajarlah sejarah negara ini, asal usulnya, sejarah kesultanan Melayu, sejarah kemerdekaan yang sebenar termasuk kisah di belakang tabir yang banyak juga "disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Yang kurang fasih berbahasa Melayu belajarlah lagi dan patut berasa malu kerana tidak menguasai bahasa rasmi negara sendiri tetapi sanggup bersusah menguasai bahasa orang lain.
Belajarlah daripada sikap orang Jepun. Mereka sanggup meletak jawatan walaupun atas kesilapan orang lain. Ini YB sendiri yang silap. Biarlah anggota Kabinet lain dalam kerajaan baharu ini yang berusaha untuk membaiki kerosakan lama yang begitu banyak di samping membuat pembaharuan yang dijanjikan yang juga belum menampakkan hasil yang memuaskan rakyat.
YB pula telah menambah cuka terhadap luka yang sedia ada. Rakyat yang sudah serik tidak mahu lari daripada kandang harimau tetapi akhirnya dipaksa masuk masuk pula ke sarang buaya.
Pepatah Melayu ada mengatakan, terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap buruk padahnya YB.
PENULIS ialah Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.