Archive for Ogos 2017

Najib puji Pak Lah, sindir Dr M di Pekan



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemimpin yang sudah bersara haruslah menyokong penggantinya kerana kekuatan yang diperolehnya sebelum ini adalah berdasarkan sokongan semua anggota Umno.

Najib yang juga Presiden Umno berkata beliau gembira kerana menerima sokongan padu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas mengambil alih jawatan perdana menteri daripada beliau.

"Saya masih ingat lagi bila saya ambil alih jawatan daripada Pak Lah (Abdullah), beliau kata 'saya mahu anda lakukan lebih baik daripada saya dan bangunkanlah negara ke tahap lebih tinggi'. Ini adalah hati orang yang ikhlas walaupun serahkan jawatan kepada saya.

"Pada saya, beliau (Abdullah) adalah negarawan yang saya hormati kerana beliau tak pentingkan soal dirinya tetapi lebih pentingkan negara," katanya semasa menggulung perbahasan pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di Pahang, hari ini.

Beliau berkata setiap perdana menteri mempunyai kewajipan untuk membawa negara ke arah yang lebih baik daripada yang dilakukan pemimpin terdahulu, dan itulah yang menjadi pegangannya sejak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Abdullah.

Sehubungan itu, kata perdana menteri, konsep dan pesanan Abdullah akan diserahkan kepada bakal penggantinya apabila tiba masanya kelak kerana beliau sedar tanggungjawab membina negara memerlukan sokongan semua pihak dan tidak boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat.

'Setelah bersara sokong pengganti'

Najib berkata keadaan itu berbeza dengan bekas pemimpin yang pernah menerajui negara selama 22 tahun, yang tidak berpegang kepada prinsip tersebut selepas beliau bersara.

"Pemimpin itu sering melaung-laungkan kepentingan untuk menyokong pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan kepada semua anggota Umno.

"Saya masih ingat lagi (pesanan itu). Mungkin beliau lupa atau sengaja buat-buat lupa yang beliau telah ingatkan anggota Umno bahawa bila kita bersara, perlulah sokong orang yang mengganti kerana waktu kita jadi pemimpin, orang lain menyokong kita.

"Ini merupakan petua yang malangnya beliau sendiri tidak amalkan. Saya kuat kerana di belakang saya ada sokongan padu daripada anggota parti. Ini bukan soal Najib Razak sahaja, tetapi kerana ampuhnya kita sebagai Umno," kata beliau.​​

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan turut meminta jentera parti bahagian itu mendekati anggota parti Umno yang menjadi 'orang hitam' bagi meraih semula sokongan dan memastikan mereka mengundi parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Memang ada senarai dalam 'war room' kita nama-nama mereka yang kita kategorikan sebagai 'orang hitam', dan apabila kita semak nama mereka ternyata mereka anggota Umno.

"Apabila kita tanya apa sebabnya (enggan mengundi Umno), mereka nyatakan ada sesuatu yang tidak dapat kita tunaikan. Apabila kita tidak tunaikan mereka sanggup menyatakan ayat-ayat yang menggambarkan mereka menolak Umno dan hendak mengundi pembangkang. Tetapi kita tidak pastilah mereka sanggup lakukannya atau tidak nanti.

"Sebab itulah tindakan susulan perlu dilakukan, ADUN (anggota dewan undangan negeri), PDM (pusat daerah mengundi), JR (jalinan rakyat), perlulah ambil tindakan segera sebab mereka ini anggota Umno. Saya nak tahu mereka ini benar-benar sanggup khianati parti atau tidak semata-mata tidak dapat sesuatu yang mereka kehendaki," kata beliau.

Sementara itu, Najib melancarkan strategi 'Jihad 191' Bahagian Pekan untuk menambah bilangan anggota Umno dan pengundi kawasan itu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi kawasan Parlimen itu dengan 40,000 majoriti undi pada PRU14.

-Bernama

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Dr M: ‘Dulu saya nak Najib disingkir, hari ini BN sekali’

BUTTERWORTH: Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka berkata, sebelum ini beliau hanya mahu Datuk Seri Najib Razak disingkirkan dari jawatan perdana menteri tetapi kini mahu Barisan Nasional (BN) digantikan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

(FMT) Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun memberitahu penyelesaian kepada semua masalah yang dihadapi rakyat pada hari ini adalah dengan menyingkirkan Najib dan kerajaan BN.

"Pada suatu masa dulu, saya fikir memadai kalau kita singkirkan Najib sahaja dan kekalkan kerajaan BN, tetapi kerajaan BN sudah cukup rosak. Semua mereka terlibat dengan rasuah.

"Kalau BN terus memerintah negara kita ini, percayalah kita akan menderita lebih lagi," kata pengerusi PH dalam ucapannya pada program Jelajah Semarak malam tadi.

Berucap di hadapan hampir 3,000 orang yang berhimpun di padang Majlis Perbandaran Seberang Perai di Kepala Batas, Dr Mahathir mengimbau kembali keadaan negara yang lebih baik.

Kata beliau, Malaysia pernah menjadi sebuah negara yang mencapai banyak kejayaan, daripada menghantar rakyat ke luar negara untuk pulang sebagai cerdik pandai kepada menawan puncak tertinggi di dunia, gunung Everest.

"Sekarang kita tak ada duit," kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya pada program Jelajah Semarak malam tadi.

Berucap di hadapan hampir 3,000 orang yang berhimpun di padang Majlis Perbandaran Seberang Perai di Kepala Batas, Dr Mahathir mengimbau kembali keadaan negara yang lebih baik.

"Kalau dahulu peluang pekerjaan begitu banyak. Keluar sahaja daripada universiti maka kerja menunggu, gaji menunggu. Sekarang ini keluar daripada universiti yang jadi doktor pun tidak ada kerja.

"Kalau dahulu biasiswa 'jenuh'. Kita hantar tiap-tiap tahun puluhan ribu anak-anak kita dengan biasiswa untuk belajar di luar negeri supaya mereka dapat kembali dengan ijazah tinggi dan meningkatkan daya hidup mereka.

"Dulu kita kata 'kita boleh'. Kalau nak naik gunung Everest, kita boleh, nak belayar sekeliling dunia pun kita boleh, nak bangunkan negara pun kita boleh.
Tetapi hari ini negara hanya mampu berhutang, kata Dr Mahathir.

Beliau berkata jika kerajaan terus ditadbir seperti sekarang, tidak lama lagi negara akan muflis seperti Yunani.

Pengerusi Pakatan Harapan itu merujuk kepada beban hutang yang ditanggung 1MDB, dan pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) yang tertangguh.

"Tapi malu kita ke seluruh dunia apabila sampai masa untuk kita bayar hutang, kita kata 'maaflah, tak ada duit, nantilah kami curi sikit-sikit lagi'. Tapi nak curi pun rakyat tak ada duit.

"Inilah cara Najib mentadbir negara," kata Dr Mahathir.

Beliau turut menyentuh mengenai kenaikan kos sara hidup, yang menurut beliau menyaksikan perniagaan "tutup kedai" dan rakyat dikenakan cukai tambahan pula.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Najib : Saya kuat sebab sokongan 3 juta ahli UMNO

LANGKAWI 19 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui kepimpinannya selaku Perdana Menteri kuat dengan adanya sokongan daripada kira-kira 3 juta ahli UMNO selama ini.

Presiden UMNO berkata, mandat yang diterima daripada ahli parti itu selama ini membolehkan beliau melaksanakan transformasi demi kemajuan negara bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat.

"Saya ibarat pohon rendang yang kuat kerana UMNO ada di belakang saya. Apabila Datuk Onn Jaafar tinggalkan UMNO dan tubuh parti Negara, tak boleh (setanding UMNO)...

"Sejarah buktikan, pemimpin UMNO yang tinggalkan parti akhirnya sedar dia tak kuat. Yang menyebabkan dia kuat adalah ahli UMNO yang berdiri teguh selama ini.

"Saya sedar, saya tidak kuat tetapi saya sedar ahli UMNO yang sentiasa berada di belakang untuk menyokong saya," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk  Ir. Nawawi Ahmad.

Dalam pada itu, Najib meminta mana-mana pihak termasuk ahli UMNO yang tidak suka kepada pemimpin sedia ada supaya tidak menghancurkan parti keramat kepada orang Melayu ini.

"Parti lebih besar (utama) daripada mana-mana orang termasuk diri saya. Parti ini kita mesti pertahankan selagi ada... selagi itu, perjuangan boleh diteruskan.

"Jika UMNO diibaratkan sebagai kapal, jangan tebuk... kalau tidak, kapal akan karam. Jadi, macam man nak berlayar.

"Macam mana dengan orang yang mengharapkan kita (UMNO) membawa mereka belayar ke pulau idaman? Sayanglah pada masa depan negara... pada anak-anak kita yang masih kecil. Generasi TN50 (Transformasi Nasional 2050) yang mengharapkan negara kita hebat dan unggul... apa jadi kalau tiada UMNO dan Barisan Nasional," ujarnya. - UTUSAN ONLINE



Leave a comment
Jom komen di Facebook!

MCA: Kabinet tidak bincang, henti soal India Muslim jadi Bumiputera

KUALA LUMPUR, 27 Julai —  Cadangan untuk mengiktiraf komuniti India Muslim di Malaysia sebagai Bumiputera tidak pernah dibangkitkan atau dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata isu itu telah dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan sendiri dan keputusan mengenai cadangan itu perlu dipertimbangkan dan dibincangkan dengan sewajarnya kerana ia melibatkan dasar negara.

Liow yang juga menteri pengangkutan berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) mempunyai saluran sendiri untuk membangkitkan apa-apa perkara atau bantahan jika mana-mana pihak mempunyai perbezaan pendapat berhubung isu atau dasar negara.

"Ini bukan satu isu, perkara itu tidak pernah dibangkitkan atau dibincangkan dalam Kabinet ataupun di peringkat BN.

"Hentikan daripada memainkan isu itu dan saya fikir penekanan perlu diberi kepada usaha mengukuhkan perpaduan nasional menjelang sambutan Hari Merdeka tidak lama lagi," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan  inisiatif "Internet+" skim pengajaran dan pembelajaran pintar pendidikan Cina, di sini hari ini.

Minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan mengkaji dengan mendalam permintaan komuniti India Muslim untuk diiktiraf sebagai Bumiputera.

Najib berkata, bagaimana ia akan dilaksanakan memerlukan kajian lanjut dari segi pentadbiran atau pewartaan.

Mengulas mengenai Internet+ yang merupakan inisiatif terbaharu Jalur dan Laluan MCA, Liow berkata perisian terbaharu itu adalah sistem e-pembelajaran lengkap dengan bahan-bahan pembelajaran yang komprehensif dan fungsi siaran langsung khas untuk mengajar subjek Cina.

Beliau berkata setakat ini 14 sekolah menengah kebangsaan atau jenis kebangsaan dan sekolah menengah persendirian Cina telah dipilih bagi projek perintis tersebut.

"Sistem itu juga telah dirumus khas berdasarkan sukatan pelajaran sekolah menengah di Malaysia, jadi tidak ada apa-apa isu yang dibangkitkan mengenai pengiktirafan sistem tersebut," kata beliau.

Inisiatif itu merupakan kerjasama antara MCA, Huaqiao University, China dan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar). — Bernama

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Najib launches super high income programme for Bumiputera



PUTRAJAYA, Aug 18 ― Prime Minister Datuk Seri Najib Razak today launched a programme aimed at enhancing Bumiputera involvement in careers providing a monthly income exceeding RM20,000.

The Super High Income Programme (SHIP) would focus on middle-income earners with relevant working experience, he said at the launch after chairing a meeting of the Bumiputera Education Leadership Foundation.

Najib said the focus would be on industries that needed skilled and professional manpower, such as the financial services industry, business services, health, maritime and aerospace.

"Such a high income can be achieved through specialised training and certification in the selected fields," he said.

The Prime Minister said the courses under Bank Rakyat financing would be for a duration of between three and five years.

He said applications for participation would open at the end of the year, and the first phase would involve 50 beneficiaries with a maximum financing of RM10 million in the financial services, health and technology industries.

"The following phase will start in 2018 with the introduction of more areas of expertise and industries in stages and involve 250 recipients," he added.

Najib said an incentive would be given for the programme participants, with those completing the specialisation course considered for a maximum 20 per cent reduction in the loan.

Those interested could obtain more information on the programme at the website of the Bumiputera Education Leadership Foundation, he said.

Najib also said that the Bumiputera Education Leadership Foundation was on the right track in the quest to develop bumiputera talents through the financing of three programmes ― Peneraju Tunas, Peneraju Skil and Peneraju Profesional.

He said the foundation achieved the target of developing more than 16,000 bumiputera talents through more than 200 programmes with funding of RM435 million.

"This means that 40 per cent of the target to develop 40,000 bumiputera talents by 2020 has been achieved. At the end of this year, this number will increase to 20,000 as targeted," he said.

Najib said the meeting today also discussed the Key Performance Indicators (KPI) that had been achieved, and there had been quantum leaps in some areas.

Citing an example, he said the rate of employment of the beneficiaries had risen to 90 per cent compared to 77 per cent in the previous year.

At the event, Najib launched the second edition of the foundation magazine #iniceritasaya which is a collection of stories of the aspirations and success of young people. ― Bernama

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Selepas 9 tahun DAP tadbir Pulau Pinang, yang salah tetap BN

UNTUK kesekian kalinya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengulangi kononnya masalah kilang dan struktur haram di negeri itu tidak boleh diselesaikan kerana diwarisi daripada pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Kononnya jika tindakan diambil oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini, maka penduduk negeri ini akan terkesan dan terjejas kerana dasar ditinggalkan kerajaan BN.

Sekali lagi, Kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil langkah mudah dalam menyelamatkan diri setiap kali terbabit dengan kontroversi iaitu dengan menuding jari dan menyalahkan pihak lain khususnya kerajaan BN.

Apabila penduduk negeri ini membuat pilihan menukar kerajaan BN pada 2008 kepada kerajaan DAP, apa yang diharapkan mereka adalah perubahan dasar yang ko­nonnya lebih baik seperti dijanjikan pembangkang.

Jika benar kilang haram itu sudah wujud ketika era pentadbiran BN, maka menjadi tanggungjawab kerajaan DAP untuk merobohkannya kerana itulah juga yang diha­rapkan penduduk.

Mengekalkan kewujudan kilang haram itu bermakna kerajaan DAP menerima pakai dasar kerajaan BN sebelum ini. Maka, mana perbezaan atau perubahan yang dijanjikan mereka kepada rakyat?

Soal kononnya kerana bertimbang rasa dan mahu mencari penyelesaian terbaik dalam isu kilang haram juga adalah alasan yang sekadar mahu melepaskan diri.

Apakah kerajaan negeri mahu menyatakan selepas sembilan tahun mentadbir, mereka masih gagal mencari jalan penyelesaian menghapuskan kilang-kilang haram ini dan masih perlu menggunakan pendekatan bertimbang rasa?

Jika begitu keadaannya, maka penduduk Pulau Pinang boleh menilai Kerajaan DAP Pulau Pinang tidaklah secekap seperti yang digambarkan mereka.

Lebih malang, meskipun di sebalik pelbagai aduan dan laporan membabitkan risiko keselamatan dan kesihatan penduduk, Kerajaan DAP Pulau Pinang tetap mahu menggunakan pendekatan bertimbang rasa dengan pemilik kilang haram ini.

Dalam soal ini, kebajikan siapa yang sepatutnya menjadi keutamaan untuk dilindungi Kerajaan DAP Pulau Pinang? Penduduk atau pemilik kilang haram?

Agak menarik selepas hampir sembilan tahun mentadbir, Guan Eng akhirnya mendakwa akan bertindak ke atas kilang dan struktur haram ini dan memberi amaran supaya mana-mana pihak tidak menyalahkan kerajaan negeri selepas ini.

Setakat mana keberanian itu, sama-samalah penduduk Pulau Pinang saksikan kerana mereka sudah menunggu sejak 2008 lagi untuk Kerajaan DAP bertindak.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

SPRM serbu kediaman Isa

KOTA BHARU 15 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya membuat serbuan terhadap kediaman Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad di Selangor malam ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkilfi Ahmad berkata, serbuan tersebut merupakan proses biasa yang dilakukan pihaknya sebagai tindakan susulan terhadap penahanan seseorang individu.

"Serbuan ini dibuat supaya kita dapat membuat semakan terhadap dokumen yang disimpan di rumah beliau. Ini merupakan satu proses biasa oleh SPRM, bukan luar biasa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani 'Ikrar Bebas Rasuah' (IBR) Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sini hari ini.

SPRM menahan bekas Mohd Isa hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian dua buah hotel di London dan Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Dzulkifli bagaimanapun enggan mengulas kemungkinan terdapat penahanan susulan individu lain termasuk isteri Mohd. Isa dalam masa terdekat.

Mengenai rancangan SPRM untuk membuat rayuan berhubung pembatalan reman ke atas Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh, Dzulkifli berkata, Pejabat Peguam Negara bersetuju memfailkan rayuan tersebut sama ada esok atau lusa. - UTUSAN ONLINE

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim tentang 1MDB

TAN SRI KHALID IBRAHIM MENULIS MENGENAI 1MDB 

(Ahli Parlimen Bandar Tun Razak & Bekas Menteri Besar Selangor) 

1. Saya ingin berterima kasih kepada PAS kerana melibatkan saya di dalam perbincangan meja bulat bersama pengurusan utama 1MDB pada Selasa lalu. Saya juga merasa bersyukur kerana kedua-dua wakil dari PAS dan 1MDB sangat mesra dan professional sepanjang perbincangan berlangsung. Ia merupakan sebuah perbincangan secara telus dan terbuka. 

2. Sebagai rakyat Malaysia, keprihatinan saya tertumpu kepada keupayaan 1MDB untuk beroperasi tanpa menanggung kerugian, kegagalan yang mana akan membebankan negara dan para pembayar cukai. Timbul dakwaan bahawa usaha rasionalisasi oleh kerajaan kepada 1MDB adalah sama seperti pelan penyelamat mega berjumlah US$42 bilion. 1MDB juga telah dituduh melakukan penyelewengan serta salah guna dan sekaligus menyebabkan ia gagal melaksanakan komitmen dan keperluan kewangan mereka. 

3. Sejajar pertuduhan tersebut, saya memfokuskan perbincangan mengenai rancangan penstrukturan semula hutang 1MDB yang telah dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan ahli lembaga yang baru dilantik. 

4. Ketika perbicangan berlangsung, saya melihat bahawa 1MDB beroperasi dengan modal ekuiti yang kecil atau rendah, sementara ia bergantung kepada pengimbangan kewangan bagi menyokong pelaburan mereka dengan potensi pulangan modal dalam terma jangka sederhana – berlandaskan kepada sokongan sosial dan politik dari kerajaan bagi menambah nilai dan keuntungan ke atas projek yang dilaksanakan. 

5. Cabaran utama yang dihadapi oleh syarikat ini adalah obligasi mereka bagi pembayaran faedah pada ketika projek dijalankan, iaitu ketika peringkat permulaan dan fasa pembangunan. 

6. Ia merupakan sesuatu yang membanggakan apabila 1MDB telah membuat pembayaran faedah berjumlah lebih US$10 bilion berbanding modal ekuiti RM 10 juta dan sehingga ke hari ini, 1MDB masih berupaya membayar hutang serta membiayai komitmen kewangan. 

7. Namun drama politik, ditambah pula dengan penyebaran fakta terpesong serta maklumat palsu terutamanya di rangkaian media sosial telah memberikan gambaran kononnya 1MDB berada dalam keadaan kucar-kacir dan dituduh dipergunakan untuk aktiviti politik. 

8. Harus diperjelaskan pada ketika Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) telah berjaya membuat penilaian terhadap operasi 1MDB, ia masih tidak jelas sama ada syarikat ini mampu untuk bertahan. Pada perbincangan tersebut, Arul telah memberikan penerangan mengenai kedudukan kewangan terkini syarikat dan menunjukkan penyata kira-kira 1MDB, susulan dari pelan penstrukturan yang telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan. 

9. Kesimpulannya, nilai bersih terkini bagi aset yang dimiliki 1MDB mampu untuk menampung liabiliti terkini dan masa hadapan, malah ia turut menghasilkan lebihan. Bagi mengelak sebarang kesulitan dalam mengendalikan operasi aset 1MDB pada masa akan datang, aset terbabit akan dipindahkan kepada Perbadanan Kementerian Kewangan (MOF Inc) yang bertindak sebagai pemilik, sebagaimana dalam pelan penstrukturan. 1MDB akan membuat pembayaran bagi hutang seperti yang dikehendaki apabila transaksi aset disalurkan kepada MOF Inc daripada 1MDB. 

10. Pengurusan penstrukturan 1MDB perlu memastikan nilai bersih terkini aset dikekalkan agar tiada gangguan terhadap pembayaran hutang dan komitmen kewangan. Tentu sekali, nilai aset 1MDB seharusnya lebih tinggi daripada nilai aset terkini memandangkan transaksi dilakukan di luar nilai sebenar, akibat dari serangan publisiti politik yang buruk diterima 1MDB. 

11. Mengambil kira senario ini, penstrukturan ini dilihat berjalan lancar dan dakwaan 'bailout' ke atas 1MDB tersebut adalah tidak relevan. 

12. Sebagaimana yang dijelaskan Arul, menjelang penghujung 2017, perlaksanaan transaksi aset dan kesinambungan pembayaran hutang serta unjuran komitmen 1MDB akan ditransformasikan kepada entiti baharu atau melalui pembubaran. Ini akan menjadi titik kepada entiti pelaburan yang dianggap mengelirukan. 

13. Satu lagi isu yang dibincangkan adalah berkenaan hutang 1MDB kepada IPIC. Penyelesaian kepada IPIC tidak dilaksanakan kerana 1MDB telah membuat pembayaran kepada Aabar BVI, syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh IPIC. Bagaimanapun, pembayaran itu tidak disalurkan Aabar BVI kepada syarikat induk, IPIC. 1MDB bernasib baik kerana berjaya membuktikan perjanjian yang dibuat antara dua pihak dan urusan keduanya kini berada di landasan. 

14. Bagi menjawab gembar-gembur terhadap usaha dilakukan Peguam Negara Amerika Syarikat untuk mendapatkan aset dikatakan milik Malaysia di mana 1MDB dikatakan terlibat dalam transaksi yang menyalahi undang-undang, Arul telah menjelaskan bahawa tiada wang atau aset milik syarikat atau anak syarikat 1MDB terlibat. Mereka turut dinasihatkan untuk tidak mengendahkan drama perundangan yang dibangkitkan di Amerika Syarikat. 

15. Hakikatnya, cubaan Amerika Syarikat untuk 'menyelamatkan' aset Malaysia adalah sama dengan alasan yang diberikan Amerika Syarikat sebelum ini, yang kononnya negara itu mahu menyelamatkan dunia dengan cara mengebom Saddam Hussein dan rakyat Iraq. 

Apabila bercakap mengenai Amerika Syarikat, tiada apa yang diberikan percuma. 

TAN SRI KHALID IBRAHIM

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Pegawai SPRM Serbu Pejabat Exco Kerajaan P.Pinang, Phee Boon Poh



(Bernama) – Lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu pejabat anggota Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh di Tingkat 53, bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini.

Serbuan itu dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Lima pegawai itu tiba di pejabat Phee kira-kira 11.30 pagi.

Semalam, SPRM mengambil beberapa dokumen dari pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sepasukan pegawai SPRM tiba di bangunan MPSP kira-kira 10.30 pagi dan beredar dari pejabat pihak berkuasa tempatan itu bersama beberapa dokumen berkaitan kira-kira tiga jam kemudian.

Menurut sumber, dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu yang beroperasi sejak 10 tahun lepas dikatakan tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri pimpinan DAP malah sesetengah kilang itu tidak mengikut garis panduan keselamatan, selain tidak mematuhi prosedur alam sekitar.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Felda tiada nilai buat Dr. Mahathir, Muhyiddin

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak mempunyai nilai yang penting bagi Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sikap Dr. Mahathir dan Muhyiddin itu dapat dilihat berdasarkan pengalamannya ketika berkhidmat di bawah kedua-dua pemimpin terbabit dahulu, iaitu sebelum kedua-duanya menyertai dan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang.

Menurut beliau, Muhyiddin yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri sering menggunakan perkataan 'kemungkinan' serta membuat andaian apabila perkara itu berkaitan dengan Felda dan warganya.

"Samalah juga semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan, beliau tidak pernah masuk melawat sekolah pedalaman kecuali cuma sekali sahaja singgah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai di Limbang, Sarawak dan itu pun menggunakan helikopter.

"Muhyiddin juga tidak mengetahui bahawa dasar Kementerian Pendidikan menetapkan semua set generator bekalan elektrik di sekolah pedalaman mesti dipadamkan sebelum pukul 9 malam bagi tujuan penjimatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan enam insentif untuk peneroka dan warga Felda pada 23 Julai lalu, antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Walau bagaimanapun, pada 28 Julai lalu, Muhyiddin memperlekehkan insentif yang diumumkan kerajaan itu dengan menganggapnya tidak mencukupi untuk membantu warga Felda.

Sementara itu, Mohd. Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) memberitahu, Dr. Mahathir pula kurang memberi perhatian terhadap warga Felda meskipun menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Katanya, Dr. Mahathir juga pernah berhasrat untuk menswastakan Felda kerana kewujudan organisasi yang menaungi para pekebun kecil itu bukan legasi beliau.

"Dasar Dr. Mahathir adalah 'kroni kapitalisme' iaitu melahirkan seorang, dua orang Melayu yang kaya raya kononnya bertujuan membantu masyarakat Melayu yang lain.

"Ini amat berbeza dengan dasar bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Najib yang berusaha mengeluarkan orang Melayu daripada garis kemiskinan hidup dan penubuhan Felda merupakan antara strateginya," katanya.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Ahmad Zahid hargai jawatan Presiden, Timbalan Presiden tidak dipertandingkan

ALOR SETAR 5 Ogos - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan terhadap Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah yang mahu supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti, tahun depan.

Sambil berikrar akan terus bekerja keras serta setia di belakang Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau menegaskan pendirian dinyatakan itu merupakan antara perkara yang mampu memantapkan parti.

"Komitmen dinyatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang mahu supaya jawatan nombor satu dan dua tidak ditandingi amat saya hargai.

"Wallahi, Wabilahi, Watallahi. Selagi saya diberi kepercayaan untuk bantu Presiden, saya akan terjemahkannya dalam bentuk taat setia serta bekerja keras untuk Perdana Menteri, Insya Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagiannya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah serta timbalannya, Datuk Mohd. Yusof Ismail.-UTUSAN ONLINE

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Akhirnya Guan Eng mengaku – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pengarah Komuni­­kasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana akhirnya mengakui pengurangan hutang negeri itu sehingga 95 peratus adalah disebabkan oleh bantuan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan pimpinan DAP itu tidak menerima bantuan Kerajaan Persekutuan menerusi pelaksanaan penstrukturan air dan rasionalisasi hutang pada 2011, sudah tentu hutang Pulau Pinang tidak dapat dikurangkan sehingga 95 peratus malah akan turut berganda menjadi 300 peratus daripada nilai asalnya.
Malah, katanya, rakyat Pulau Pinang selama ini diberikan gambaran kononnya pengurangan hutang negeri itu adalah disebabkan oleh 'kehebatan' Ketua Menteri itu.

"Bagai satu kelaziman buat Guan Eng untuk melakukan serangan peribadi dan menggelar orang lain dengan pelbagai nama apabila tidak mampu menjawab sesuatu yang tidak boleh dinafikan iaitu pengurangan hutang Pulau Pinang adalah berikutan bantuan Kerajaan Persekutuan dan bukannya prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) mereka mahupun pengurangan gejala rasuah sebagaimana didakwanya.

"Saya berterima kasih kepada Guan Eng kerana akhirnya mengesahkan fakta ini melalui kenyataan dikeluarkan dua hari lalu dan memperbetulkan segala maklumat. Sama seperti dakwaan mengarut kononnya Kerajaan BN Pulau Pinang sebelum ini telah menjual tanah pada harga RM1 sekaki persegi yang mana parti Gerakan sudah menyaman Guan Eng kerana memfitnah.

"Parti DAP sudah terlalu lama dibiarkan dengan pembohongan mengenai pengurangan hutang negeri sehingga 95 peratus ini. Saya amat berbesar hati kerana akhirnya kebenaran keluar dari mulut Guan Eng sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, Guan Eng juga perlu mengakui prinsip CAT yang diperjuangkan itu, gagal mengurangkan perbelanjaan operasi tahunan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Katanya, bukannya keberkesanan atau efisien, malah rakyat Pulau Pinang didepani perbelanjaan operasi kerajaan negeri meningkat tinggi sehingga 500 peratus sejak DAP mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2008.

"Jadi, DAP seharusnya mengakui, bagi menampung peningkatan yang tidak terkawal untuk perbelanjaan di negeri itu, kerajaan Pulau Pinang perlu menjual atau memperdagangkan tanah dan aset negeri bernilai berpuluh bilion ringgit.

"Saya amat yakin rakyat Pulau Pinang juga bersetuju dengan saya bahawa menjual atau memperdagangkan aset kerajaan negeri bagi menampung perbelanjaan kerajaan negeri adalah sesuatu yang tidak mampan dan petunjuk kepada tadbir urus kerajaan yang tidak baik," katanya.



Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Suruhanjaya Siasatan tolak permohonan Dr. M, Anwar



PUTRAJAYA 8 Ogos - Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an hari ini menolak permohonan dua pemimpin pembangkang untuk mencabar komposisi keanggotaan ahli panel bersidang.

Pengerusinya,  Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berpendapat suruhanjaya itu dibentuk atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berpuas hati agar panel itu memulakan prosiding siasatan selama 10 hari bermula pada 21 Ogos ini.

Sebelum itu, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang bertindak sebagai peguam pemerhati  Tun Dr. Mahathir  Mohamad dan R. Sivarasa yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon agar mereka diberi peluang mengemukakan permohonan secara bertulis untuk mencabar komposisi ahli panel atas isu berat sebelah.

Peguam itu menyatakan, Mohd. Sidek yang juga Pengerusi Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon sebelum ini terlibat dalam pasukan petugas khas yang mencadangkan pembentukan suruhanjaya itu.

Mohamed Haniff Khatri menyatakan, penglibatan kedua-duanya dikhuatiri menimbulkan persepsi awam bahawa suruhanjaya itu tidak berlaku adil ketika mengendalikan siasatan.

Sementara itu, Sivarasa turut mengemukakan permohonan secara bersama agar kedua-dua peguam pemerhati diberi peluang menyoal balas saksi-saksi secara aktif sepanjang prosiding berlangsung.

Mohd. Sidek mempengerusikan suruhanjaya itu manakala Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail bertindak selaku setiausaha.

Anggota-anggota lain terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia Bhd., Datuk Seri Tajuddin Atan;  dan Ahli Institut Akauntan Malaysia,  K. Pushpanathan.

Antara bidang kuasa suruhanjaya itu adalah:

* Menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.

* Menentukan sama ada penglibatan Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

* Menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberikan kenyataan yang mengelirukan kepada Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

* Mengesyorkan tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu; dan

* Mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang. - UTUSAN ONLINE

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .