BN tewas! Gabungan PKR umum menang
KUALA LUMPUR 10 Mei - Gabungan pembangkang PKR secara tidak rasmi mengumumkan telah memperoleh majoriti mudah di Parlimen dan menguasai Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Johor.
Sehingga pukul 12.30 tengah malam, keputusan rasmi masih belum dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa gabungan itu memenangi 112 kerusi daripada 222 kerusi yang melayakkan mereka menubuhkan kerajaan.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri ketujuh menang di Parlimen Langkawi manakala Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri menang di Parlimen Pandan.
Pemimpin gabungan itu yang turut menang ialah Timbalan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak) dan Presiden PAN Mohamad Sabu (Kota Raja).
Dalam keputusan mengejut yang menyaksikan pertama kalinya Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa di peringkat pusat, tiga presiden komponen itu Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (Bentong), Presiden MIC Datuk Seri S. Subramaniam (MIC) dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong turut tewas.
Sementara itu, dalam sidang akhbar di Putrajaya, Pengerusi SPR, Tan Sri Moh. Hashim Abdullah berkata, pengumuman yang dibuat oleh Dr. Mahathir adalah berdasarkan kepada keputusan tidak rasmi.
Katanya, keputusan tersebut mungkin berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ejen-ejen parti di pusat pengiraan undi.
''SPR tidak ada muslihat apa-apa jika sudah dapat keputusan rasmi kita akan umumkan. Oleh itu saya berharap rakyat akan bersabar, berilah kami sedikit masa,'' katanya sambil menjelaskan ibu pejabat SPR juga sedang menunggu keputusan daripada pusat-pusat pengumpulan undi.
Dalam pada itu SPR mengumumkan tiada parti yang memperolehi majoriti mudah setakat 1.42 pagi dengan BN mendapat 67 kerusi, gabungan PKR 80, DAP (Sarawak) 9.
Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan sidang akhbar pada 11 pagi, hari ini.
PRU14: Kami terima keputusan rakyat - Najib
KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) akur dengan dengan keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata pengerusinya Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Beliau turut mengakui, manifesto serta gerak kerja yang BN lakukan mungkin kurang daya tarikannya berbanding dengan apa yang ditawarkan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Saya menerima, rakan-rakan saya (dalam BN) menerima, keputusan rakyat. Kami terima keputusan yang dibuat rakyat, dan BN akan terus komited kepada menghormati prinsip-prinsip demokrasi," katanya pada sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.
Dan kini, ujar Presiden UMNO itu lagi, rakyat akan memantau dan melihat sama ada Pakatan Harapan benar-benar dapat menunaikan janji itu, seandainya mereka sah menjadi Kerajaan Persekutuan nanti.
Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan BN telah cuba sedaya upaya memastikan kebajikan rakyat terus terbela, di samping memastikan negara terus maju dari satu tahap, ke tahap yang seterusnya.
"Sejak saya ambil alih kerajaan pada tahun 2009, kami telah cuba sedaya upaya meningkatkan kualiti hidup rakyat, dan menentukan masa depan lebih baik untuk rakyat dan generasi akan datang.
"Lebih tiga juta pekerjaan diwujudkan, kadar kemiskinan pada tahap paling rendah, kita telah bangunkan infrarakyat, ekonomi Malaysia dipacu kepada tahap pertumbuhan yang boleh dibanggakan dan mendapat pengiktirafan badan seperti International Monetary Fund (IMF) dan Bank Dunia.
"Dan rakyat, secara inklusif telah mendapat begitu banyak faedah melalui pelbagai inisiatif program yang dilaksanakan kerajaan BN," katanya.
Berucap lanjut, Najib berkata, keputusan yang dicapai dalam PRU itu sekali gus membuktikan fitnah dan hasutan bahawa BN akan lakukan apa saja untuk memenangi pilihan raya adalah tidak benar sama sekali.
"Ada juga dakwaan kononnya saya dan rakan-rakan telah merancang untuk mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara malam tadi, dia sebut pukul 10 malam, dalam tweet, untuk isytihar darurat.
"Itu satu lagi contoh hasutan pada rakyat, satu pembohongan, di mana, tidak ada mesyuarat majlis keselamatan negara, dan memang tidak ada panggilan mesyuarat sama sekali," katanya lagi.
Dalam ucapannya, Najib turut melahirkan penghargaan kepada semua pemimpin BN, baik di peringkat nasional ataupun di peringkat akar umbi, yang bertungkus lumus menggerakkan kempen sempena PRU14.