Kita baru saja tamat PRU yang ke-14, pilihan raya yang telah memperlihatkan pertembungan begitu sengit tetapi merupakan manifestasi atau validation kepada amalan prinsip demokrasi yang kita anuti.
Banyak perkara digunakan sebagai senjata dalam PRU kali ini termasuk fitnah dan hasutan yang dilemparkan, antaranya Barisan Nasional akan melakukan penipuan untuk memenangi pilihan raya.
Jelas sekali dengan keputusan Pilihan Raya ini bahawa tidak ada penipuan. Ada juga dakwaan mengatakan bahawa saya dan rakan-rakan mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara malam tadi, disebut kononnya untuk isytihar darurat, sedangkan jelas bahawa tidak ada mesyuarat bahkan tidak dipanggil pun untuk mesyuarat.
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pemimpin Barisan Nasional di peringkat nasional dan akar umbi, rakan-rakan dalam Barisan Nasional dan UMNO yang bekerja siang dan malam dalam membuat segala-gala program berkaitan PRU.
Sejak saya mengambil alih jawatan pada 2009, Kerajaan telah cuba sedaya-upaya untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat dan generasi akan datang.
Mencipta 3 juta pekerjaan, mengekalkan kadar kemiskinan pada tahap rendah, membina Infrarakyat, memastikan ekonomi Malaysia dipacu pada kadar pertumbuhan yang boleh dibanggakan dan menerima pengiktirafan antarabangsa, dan rakyat secara inklusif mendapat banyak faedah melalui pelbagai inisiatif dan program yang kita laksanakan untuk setiap golongan, tiada yang ketinggalan.
Namun, jelas sekali apa yang kita lakukan mungkin kurang tarikan berbanding apa ditawarkan pihak lawan.
Kini, rakyat menanti janji-janji dan perancangan dilaksanakan seperti yang terkandung dalam manifesto mereka.
Kita dah lakukan yang terbaik dan pencapaian serta rekod kita boleh dibanggakan.
Namun, saya sedar ada juga perkara yang tidak sempurna sepanjang pentadbiran saya, tetapi keutamaan saya adalah sentiasa untuk menentukan keselamatan dan kemakmuran rakyat Malaysia.
Saya dan rakan-rakan menerima keputusan yang telah dibuat oleh rakyat, "I accept the verdict of the people," dan parti Barisan Nasional adalah komited untuk terus menghormati prinsip-prinsip demokrasi berparlimen.
Oleh kerana tak ada parti yang mendapat majoriti atau "simple majority" maka Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan membuat keputusan siapa yang akan dilantik oleh Baginda sebagai Perdana Menteri.
Mengikut perlembagaan, pelantikan ini adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong dan ia adalah berdasarkan kepada prinsip siapa yang mendapat kepercayaan dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Barisan Nasional akan menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong, dan saya menggesa rakyat Malaysia berada dalam keadaan yang tenang dan beri kepercayaan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan.
Tentu sekali akan berlaku perubahan dan saya komited untuk menentukan penyelesaian dan keputusan terbaik yang akan kita landaskan kepada kepentingan rakyat dan negara.
Malaysia adalah negara sangat teristimewa, saya dan rakan-rakan berasa amat bertuah diberi peluang untuk memimpin Kerajaan dan negara ini selama ini.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan saya dalam BN sekali lagi, termasuk kepada ahli-ahli keluarga mereka juga kerana memberi sokongan padu kepada BN.
Kita sudah menang di 79 kerusi dan ini satu mandat berat dan amanah rakyat yang perlu dilaksanakan, untuk beri kepercayaan mungkin lebih lagi, pada masa akan datang.