Dr Siva : Mainan persepsi, bunuh karakter



PENYEBARAN berita palsu se­makin menjadi-jadi se­jak kebelakangan ini apatah lagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijadualkan berlangsung tidak lama lagi. Lazimnya, apa sahaja berita yang bersifat skandal, gosip, palsu dan diragui kesahihannya boleh mendekati masyarakat dengan mudah.

Malahan, jika berita itu berunsur penghinaan, penangkapan dalam satu penyiasatan, mengaibkan, khabar angin, mencaci serta informasi tidak benar me­ngenai calon atau dasar parti, ia akan dengan mudah diangkat khususnya pada musim PRU.

Isu berita palsu bukan baharu tetapi semakin hari semakin kritikal tahap penipuan di sebaliknya yang turut menyebabkan timbul persoalan sama ada ia sekadar mainan persepsi atau mahu membunuh masa depan seseorang sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk meruntuhkan moral diri.

Hatta, pembunuhan karakter turut menjadi mainan penting sewaktu musim pilihan raya. Sebarang berita yang agendanya berbau pembunuhan karakter dengan mudah menghampiri pelayar media sosial. Ia boleh secara emosional sama ada mempengaruhi masyarakat untuk memberontak, memberi keyakinan ataupun menolak berita-berita seperti itu.

Apabila dunia politik diwarnai dengan prinsip 'tidak ada musuh atau kawan yang tetap kecuali kepentingan', maka apa sahaja akan dilakukan untuk memenangi sokongan. Sesuatu jenama politik sama ada ditukar ke arah 'krisis' atau 'krisis' digunakan untuk mendekati pengundi kerana kedua-duanya bertujuan sama ada untuk meningkatkan populariti atau meruntuhkan populariti sedia ada.

Lazimnya, kaedah berbentuk emosional dengan paparan berita sensasi, diselit dengan muslihat dan sindiran serta mencari maklumat kontroversi boleh memberikan impak yang ketara khususnya ketika penamaan calon dan waktu berkempen dalam PRU.

Mereka yang memulakan penyebaran berita seperti ini mahu calon lawan memberi reaksi ke atas isu yang direka agar tumpuan ke atas kempen mereka terjejas dan secara psikologinya merasa tertekan.

Misalnya, kehadiran 40,000 warga Bangladesh direka sewaktu kempen PRU 2013 untuk melahirkan persepsi seolah-olah wujud pengundi hantu. Ini menyebabkan sesiapa sahaja yang mempunyai iras seperti warga asing itu turut dilontarkan dengan kata-kata kesat.

Hari ini, menular pula be­rita wang sebanyak RM2.6 bilion akan dipulangkan semula dengan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikaitkan dengan kempen ini walaupun isu 1MDB dianggap selesai oleh pihak berkepentingan.

Penggunaan logo-logo surat khabar tanpa mendapat persetujuan juga semakin menjadi-jadi untuk meyakinkan pembaca ia datang dari sumber sah walhal akhbar-akhbar ini sering menjadi bahan kritikan mereka ke atas berita yang disiarkan.

Dengan ledakan teknologi yang saban hari menampilkan imej dan penyediaan agenda berbeza-beza; maka dalam politik ia menjadi buruan sejak PRU Ke-10 pada 1999. Facebook, Twitter, WhatsApp, WeChat dan Instagram menjadi pilihan berbanding pada peringkat awal yang tertumpu kepada blog.

Media sosial yang menjadi pi­lihan kini menarik ramai yang mahu menonjolkan pandangan dan pendapat sehingga adakala­nya kenyataan-kenyataan ini me­ragukan. Ia tidak menjadi relevan melainkan masyarakat menilai dan memastikan kebenaran di sebalik maklumat yang diterima. Fitnah juga diperhebatkan dalam usaha memadamkan populariti seseorang calon.

Permainan berita palsu bukan baharu. Dulu kita sering didedahkan dengan 'surat layang' yang tidak mendekati kesemua kumpulan sasar kerana pelbagai kekangan. Hari ini teknologi baharu memudahkan proses penyebaran yang boleh berlaku sekelip mata. Amalan tidak bermoral ini perlu dibendung kerana tumpuan berlebihan kepadanya boleh menjejas pelbagai sektor pembangunan negara-bangsa ini.

Apakah sudah tiba masanya untuk memperkemaskan un­da­ng-undang untuk mengawal penggunaan platform media sosial khususnya sewaktu musim PRU untuk memastikan demokrasi tidak disalahgunakan dengan amalan bersifat mutlak ke atas apa sahaja yang dilakukan.

Emmanuel Macron, Presiden Perancis dalam pertusan tahun baharu 2018 menyatakan bahawa undang-undang baharu akan diperkenalkan untuk melayari internet khususnya perincian undang-undang media sosial pilihan raya. Ia bertujuan menghentikan propaganda yang diartikulasi oleh berjuta pemilik akaun media sosial.

Apakah Malaysia mahu membuat langkah yang sama kerana seringkali kepemimpinan atasan termasuk Perdana Menteri dan ke­luarga menjadi sasaran pihak lawan politik mereka? Donald Trump pula baru-baru ini meng­umumkan senarai penerima anu­gerah The Fakies; iaitu anugerah khas buat berita palsu 2017.

Ia dikongsi di laman web rasmi Parti Republican dan akaun Twi­tter beliau. Beliau yang sentiasa melontar pandangan keras ke atas media kerana mendapat liputan negatif menyenaraikan CNN, Washington Post, The New York Times, TIME dan Newsweek antara yang sering menyiarkan berita palsu.

Dalam kita sedang ke arah pembentukan masyarakat yang literasi politiknya meningkat, sudah pasti ia perlu mengiringi perwatakan tokoh politik yang berwibawa. Perbezaan pemahaman politik tidak harus dijadikan sebab untuk sering menyiarkan, melaporkan, memfitnah dan mengaibkan parti atau pemimpin kerana akhirnya yang mahu dilihat adalah bukan saja lahirnya masyarakat kelas satu yang ada kebolehan, kemahiran dan ilmu tetapi mempunyai nilai karakter mulia termasuk norma amalan berpolitik di negara ini.

Penggunaan media sosial secara berhemah akan mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan iklim berpolitik di negara ini supaya kematangan ditatang untuk meraikan PRU dan bukan dianggap sekadar satu persekitaran untuk menyebarkan berita dan maklumat palsu yang akhirnya boleh memakan diri pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .