"PEMIMPIN selalu nasihatkan kami supaya setia dan pertahankan UMNO, tetapi apabila kalah atau kehilangan jawatan mereka sendiri yang akhirnya melompat meninggalkan parti,"
Kata-kata Itu diluahkan seorang rakan yang juga ahli UMNO ketika berbual dengan penulis mengenai situasi politik semasa yang menyaksikan ramai dalam kalangan pemimpin UMNO atau wakil rakyat di negeri ini mula melompat parti selepas Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi kerajaan di peringkat pusat.
Ternyata dia sungguh kecewa dan sedih. Penat lelah siang dan malam, bekerja keras sehingga kadang-kala terpaksa mengurangkan masa bersama keluarga semata-mata ingin membantu kemenangan para pemimpin dalam pilihan raya sebelum-sebelum ini bagaikan tidak bermakna, apabila dibalas dengan pengkhianatan seperti itu.
Perasaan sama sememangnya turut dirasakan oleh penyokong UMNO yang lain apabila melihat seorang demi seorang pemimpin mereka meninggalkan parti dengan alasan sudah hilang kepercayaan kepada parti keramat orang Melayu itu.
Ketika ada kuasa, diberi peluang menjadi wakil rakyat sehingga ada dalam kalangan mereka memegang jawatan itu lebih daripada tiga penggal, tidak pula ada bunyi pada masa itu. Semuanya baik-baik sahaja mengenai UMNO.
Hari ini, apabila sudah tidak ada apa-apa, UMNO pula yang dipersalahkan. Yang buruk-buruk itu semuanya UMNO, seolah-olah parti itu langsung tidak pernah berjasa kepada mereka dan rakyat selama ini.
Apa jua alasan, tindakan sesetengah pemimpin UMNO yang melompat parti ini sememangnya sangat mengecewakan.
Ketika UMNO berada dalam keadaan tenat pada hari ini, pemimpin-pemimpin terbabit sepatutnya menjadi kekuatan dan memberi semangat kepada ahli untuk bersama-sama kembali memulihkan parti, bukan dengan meninggalkannya.
Tapi nampaknya, mereka mungkin lebih memikirkan kepentingan peribadi apabila merasakan diri sudah tidak lagi boleh menumpang kesenangan dengan menggunakan parti.
Biarlah golongan-golongan ini meninggalkan parti, penyokong dan ahli UMNO tidak perlulah makan hati kerana perjuangan ini harus diteruskan sama ada bersama atau tanpa mereka. Di situ, kita juga akan dapat nilai dan lihat siapa pejuang sebenar.- UTUSAN ONLINE
Pewaris Melayu : Biarkan yang lalang keluar dari UMNO, kita ambil masuk orang yang lebih kuat akar dan bertunjangkan semangat UMNO