Ada lagi Ahli Parlimen UMNO akan tinggalkan parti



KUALA LUMPUR 19 Sept. - Beberapa orang lagi Ahli Parlimen UMNO termasuk berstatus ahli Majlis Tertinggi dijangka meninggalkan parti itu dalam masa terdekat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, selain percaturan parti politik lawan, tindakan itu berlaku kerana jati diri serta semangat perjuangan yang lemah dalam kalangan pemimpin berkenaan.

"Kita tidak perlu pergi terlalu jauh. Saya berani jamin ada lagi ahli MKT yang sedang bersiap sedia untuk meninggalkan parti," katanya menerusi video yang dimuat naik dalam di Facebook miliknya semalam.

Kenyataan tersebut dibuat bagi mengulas keputusan Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan UMNO semalam, selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Lokman yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baru berkata, ahli UMNO tidak perlu bimbang dengan perkembangan tersebut kerana yang pergi hanya pemimpin, bukan ahli di bawah mereka.

Jelasnya, UMNO boleh kembali menjadi kuat, lebih-lebih lagi menerusi kerjasama dengan Pas.

"Kita jangan sesekali berputus asa dengan apa yang berlaku. Sekalipun seluruh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pergi meninggalkan kita, biarkanlah mereka. Saya yakin dengan kerjasama dengan Pas.

Kita akan dapat lebih banyak kerusi Melayu selepas ini," ujarnya.

Mengulas tindakan Mustapa, Lokman berkata, dia tidak terkejut kerana menganggap Mustapa bukan ahli politik sebenar tetapi, bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang dibawa oleh Tun Daim Zainuddin ke dalam kancah politik.

"Dia pernah dilantik Setiausaha Sulit Kanan kepada Tun Daim sebelum dilantik Setiausaha Politik Tun Daim dan seterusnya bertanding di peringkat Parlimen," ujarnya. - UTUSAN ONLINE

Anifah pula keluar UMNO


PUTRAJAYA 19 Sept. - Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kimanis dan ahli UMNO berkuatkuasa serta-merta.

Surat peletakan jawatan beliau telah diserahkan kepada Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa hari ini.

Peletakan jawatan tersebut dipercayai diambil bagi membolehkan beliau menunaikan janji-janjinya kepada rakyat Sabah dalam memperjuangkan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, beliau berjanji akan meletakkan jawatan sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal mengembalikan hak rakyat Sabah.

Menurut sumber, Anifah kini dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dan usaha untuk mendapatkan penjelasan beliau akan buat sebaik sahaja beliau tiba di sini.-UTUSAN ONLINE

Saya gagal berjuang untuk rakyat Sabah - Anifah



PUTRAJAYA 19 Sept. - Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan keputusan meletakkan semua jawatannya dalam UMNO dibuat selepas Barisan Nasional (BN) tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negara dan usahanya memperjuangkan perkara-perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama BN menemui kegagalan.

Anifah berkata, beliau perlu mengotakan janji kepada para pengundi dan rakyat Sabah untuk meletakkan jawatan jika hasratnya dalam memperjuangkan perkara itu tidak berjaya.

Beliau berkata, tanpa UMNO dan BN di tampuk kekuasaan usahanya memperjuangkan perkara-perkara berkaitan MA63 di bawah payung BN tidak akan membuahkan hasil dan terpaksa dihentikan.

"Perjuangan saya di dalam politik selama ini adalah sangat jelas. Saya bertegas mahukan rakyat Sabah mendapat layanan sama rata dan setiap hak mereka dilaksanakan sepenuhnya, tanpa sebarang dalih dan alasan, jauh sekali dipertikaikan oleh mana-mana pihak sekali pun sama ada di dalam mahupun di luar parti.

"Ini kerana Perjanjian Malaysia 1963 ialah titik mula penubuhan sebuah negara Persekutuan yang kita kenali sebagai Malaysia pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Anifah, walaupun tidak lagi bersama UMNO beliau tetap akan meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat dan tetap menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dalam mengetengahkan kepentingan dan harapan para pengundi di kawasan Parlimen Kimanis.

Pada masa yang sama, beliau mahu kerajaan Pakatan Harapan harus komited di dalam melaksanakan janji-janji mereka terutamanya mengembalikan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963. - UTUSAN ONLINE

Mustapa Mohamed letak jawatan, isytihar keluar dari UMNO



KUALA LUMPUR 18 Sept. - Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini mengisytiharkan dirinya keluar dari UMNO.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau berhubung peletakan jawatan tersebut:

Semenjak PRU 14 melabuhkan tirai, seperti orang lain juga, saya telah membuat beberapa pemerhatian tentang lanskap politik Malaysia, hala tuju UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta masa depan negara.

Berdasarkan kpd beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan bahawa usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

Tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini.

Untuk menjadi relevan dalam dinamika politik nasional hari ini, UMNO selaku peneraju Barisan Nasional tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata.

Secara prinsipnya, pendirian politik saya adalah UMNO harus menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah. 

UMNO mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tanpa sesekali mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain.

Saya percaya bhw inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia majmuk. 

Namun hala tuju yg diambil UMNO hari ini tidak lagi selari dgn prinsip politik yg menjadi pegangan saya selama ini & tidak ada banyak usaha meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula.

Maka atas dasar inilah setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO setelah lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kpd sahabat2 dari Jeli, Kelantan dan seluruh negara yg byk bantu sepanjang saya berkhidmat utk UMNO, dari kepimpinan parti sehingga akar umbi.

InshaAllah saya akan terus menyumbang buah fikiran ke arah membangunkan Malaysia yg terbilang.

Saya mendoakan negara kita akan terus aman, makmur dan disegani di peringkat antarabangsa.

Semoga lembaran baharu Malaysia ini akan mewujudkan budaya politik lebih matang dan inklusif, di samping meletakkan tadbir urus dan integriti sebagai keutamaan.

Sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat. 

Kepada Allah SWT jua kita berserah.

Pewaris Melayu : Kalau betul-betul ada maruah dan anak jantan, letak la jawatan sebagai Ahli Parlimen. Errr Rembau macam mana?

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .