22/04/2010 7:02pm
HULU SELANGOR 22 April – Krisis kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus meruncing apabila Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Ahmad dan setiausahanya, Ezri Zainal Abidin bertindak keluar parti dan menyertai UMNO hari ini.
Wan Khairul berkata, tindakan yang diambil adalah disebabkan hilangnya keyakinan dan kepercayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kami lihat perjuangan PKR hanyalah tertumpu pada sebatang tubuh manusia bernama Anwar Ibrahim. Prinsip perjuangan PKR telah berubah. Perjuangan PKR hanyalah untuk menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya di sini hari ini.
Ditanya mengapa beliau memilih untuk membuat keputusan itu ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor Wan Khairul berkata, beliau sedar tindakannya itu akan dimanipulasi pembangkang sebagai mencari tumpuan atau sekadar gimik politik.
"Ini bukan gimik politik. Masa juga bukan persoalan utama, yang penting kesedaran untuk tampil membetulkan keadaan kerana rakyat di Hulu Selangor perlu tahu cerita sebenarnya,” kata beliau selepas menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Bernama