Memaparkan catatan dengan label hulu selangor. Papar semua catatan

Zaid Ibrahim : Dah kalah tu kalahlah!

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim tidak hadir di mahkamah tinggi Rabu lalu untuk mendengar keputusan petisyennya mencabar keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor kerana telah menjangka permohonannya itu akan ditolak.

Menulis dalam blognya, Zaid berkata apabila seorang hakim membenarkan masa yang secukupnya iaitu tiga hari kepada pihak yang mahu petisyen itu ditolak atas alasan teknikal (supaya kes itu tidak dapat peluang ke peringkat perbicaraan sepenuhnya, di mana segala butiran dan keterangan yang ada dan saksi akan dikemukakan), ini bermakna permohonan itu tidak akan berjaya.

"Alasan yang diberi ialah saya tidak menyenaraikan nama mereka yang telah menerima rasuah ataupun “bribe” tersebut. Nama mereka ada, dan kita akan ketengahkan saksi yang kita ada semasa perbicaraan.

"Tetapi mulakanlah perbicaraan itu. Mengapa takut sangat didengar keterangan pihak kami? Kalau pihak kami tak berjaya membuktikan selepas perbicaraan barulah sepatutnya permohonan ditolak.

"Apa perlu tolak awal-awal lagi? Alasan sebenar ialah mereka perlu melindungi 'The Great PM' daripada disoal oleh peguam kami. Pada mereka mana boleh PM datang ke mahkamah," kata Zaid.

Kata beliau lagi, terdapat pelbagai macam rasuah pilihan raya umpamanya apabila aduan dibuat secara spesifik bahawa calon A menawarkan wang kepada B dan C untuk mengundinya, memang akan disenaraikan dalam petisyen nama B dan C.

"Tetapi inilah kali pertama kita ada PM yang membuat tawaran rasuah secara terbuka kepada orang ramai. Inilah kes 'general bribery' yang mustahil dapat kita senarai semua nama mereka yang ditawarkan wang tersebut.

"Mengikut keputusan ini, katakanlah kalau Perdana Menteri memberi ucapan melalui RTM1 pada kempen pilihan raya Sarawak nanti, dua hari sebelum mengundi, beliau berucap kepada semua rakyat Sarawak bahawa mereka akan diberi Amanah Saham percuma sebanyak 1000 unit kalau BN menang, siapa yang mahu membawa kes itu ke mahkamah mestilah menyenaraikan nama 2 juta penduduk Sarawak!" kata Zaid.

Menurut beliau mahkamah mahu pihak yang membawa permohonan mesti membuktikan mereka yang menerima rasuah ini, dalam kes ini rasuah yang ditawarkan meyakinkan mereka mengundi BN.

"Ini satu lagi syarat yang paling luar biasa dalam dunia ini. Bagaimanakah kami akan buktikan niat pengundi sebelum perbicaraan bermula? Lagipun soalan seperti 'Kamu undi siapa semasa pilihan raya?' tidak dapat disoal semasa perbicaraan kerana undi itu sulit.

"Akta Kesalahan Pilihan Raya tidak membenarkan kita bertanya soalan itu tetapi hakim terus menetapkan syarat sedemikian," ujar beliau.

Tambahnya, pihak beliau juga telah dipersalahkan kerana tidak mengeluarkan ucapan Najib sepenuhnya dalam petisyen.

"Kami bercadang untuk membentang rakaman ucapan itu semasa perbicaraan tetapi peluang tidak diberi. Inilah cara BN menang dalam segala hal," kata Zaid.

Pihaknya juga tidak bercadang untuk membuat rayuan ke peringkat Mahkamah Rayuan memandangkan keputusan sama akan diberikan.

Beliau juga tidak berniat meneruskan tindakan susulan kerana tidak tidak mahu membuang masa peguam-peguamnya - Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun dan Ang Hean Leng yang menawarkan khidmat guaman mereka secara percuma.

Mahkamah Tinggi menolak petisyen pilihan raya Zaid dan mengesahkan bahawa, P Kamalanathan dipilih secara sah sebagai ahli parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil April lalu.

Keputusan dibuat oleh hakim Datuk Azhar Mohamed selepas membenarkan bantahan awal Kamalanathan bagi membatalkan petisyen Zaid.

Posted in , , , | 1 Comment
Jom komen di Facebook!

JAIS larang Nik Aziz berceramah di masjid Hulu Selangor

23/04/2010 1:17pm

SHAH ALAM 23 April - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan tidak akan membenarkan mana-mana pihak termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menyampaikan ceramah atau kuliah Maghrib di mana-mana masjid dan surau di Hulu Selangor.

Pengarahnya, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, arahan itu dikeluarkan sebagai menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang pengunaan masjid oleh individu-individu berkepentingan politik menggunakan institusi umat Islam itu untuk tujuan berkenaan sebelum ini. - Utusan

Posted in , , , , , | 6 Comments
Jom komen di Facebook!

Satu lagi tamparan untuk PKR, dua lagi anggota keluar parti

22/04/2010 7:02pm

HULU SELANGOR 22 April – Krisis kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus meruncing apabila Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Ahmad dan setiausahanya, Ezri Zainal Abidin bertindak keluar parti dan menyertai UMNO hari ini.

Wan Khairul berkata, tindakan yang diambil adalah disebabkan hilangnya keyakinan dan kepercayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami lihat perjuangan PKR hanyalah tertumpu pada sebatang tubuh manusia bernama Anwar Ibrahim. Prinsip perjuangan PKR telah berubah. Perjuangan PKR hanyalah untuk menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya di sini hari ini.

Ditanya mengapa beliau memilih untuk membuat keputusan itu ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor Wan Khairul berkata, beliau sedar tindakannya itu akan dimanipulasi pembangkang sebagai mencari tumpuan atau sekadar gimik politik.
"Ini bukan gimik politik. Masa juga bukan persoalan utama, yang penting kesedaran untuk tampil membetulkan keadaan kerana rakyat di Hulu Selangor perlu tahu cerita sebenarnya,” kata beliau selepas menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Bernama

Posted in , , | Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Halili keluar PKR sertai umno


GAMBAR menunjukkan Anwar dan isterinya bersama pakar bedah, Thomas Hoogland (dua dari kiri), Azmin Ali dan Halili (kanan) ketika Anwar mendapatkan rawatan tulang belakang di Hospital Munich, Jerman pada September 2004.


PETALING JAYA - Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor, Datuk Dr. Halili Rahmat, antara pengasas parti itu, mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO.

Halili, 58, seorang pakar bedah yang pernah menjadi doktor peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat kerana PKR telah terpesong jauh daripada perjuangan di mana beliau turut terlibat secara langsung semasa mengasaskan parti itu pada 1999.

Menurut beliau, PKR kini dikuasai kumpulan kecil pemimpin yang berfikiran sempit dan memajukan ideologi berhaluan kiri yang tidak disenangi orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

"Sudah nyata lagi jelas PKR bukan lagi sebuah wadah parti politik perjuangan tetapi lebih condong kepada sebuah parti yang pentingkan kuasa sehingga tidak mempedulikan kepada kesejahteraan rakyat walaupun sudah diberi mandat untuk mentadbir di beberapa buah negeri," katanya kepada pemberita di sebuah hotel di sini semalam.

Halili berkata, beliau tertarik dengan kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa perubahan politik UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Ini membuatkan saya mengambil keputusan untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dengan memberi sokongan penuh kepada usaha beliau dan pemimpin kerajaan yang lain," katanya.

Halili menafikan kecewa kerana tidak terpilih sebagai calon PKR untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
Beliau pernah bertanding sebagai calon PKR bagi kerusi itu pada pilihan raya umum 1999 dan kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Kali pada 2004 tetapi tewas.

Anak jati Ulu Yam itu berkata, kredibiliti PKR kini sukar dipertahankan memandangkan tidak ada apa yang dibuat oleh parti itu untuk kesejahteraan rakyat selepas dua tahun memerintah Selangor. SUMBER

Posted in , , , | 1 Comment
Jom komen di Facebook!

PKR calon Zaid Ibrahim

HULU SELANGOR: Pakatan Rakyat (PR) mencalonkan Zaid Ibrahim, 59, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, 25 April ini.
Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan nama Zaid yang juga penyelaras parti dalam PR di Dewan Komuniti Serendah di sini, jam 11 malam tadi.
Hadir sama, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan beberapa pemimpin parti itu dan dihadiri lebih 3,000 penyokong.

Menurut Anwar, Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri diyakini mampu meraih kemenangan besar mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor. "Saya yakin pengundi Hulu Selangor akan memilih Zaid dalam pilihan raya kecil itu nanti. Bersama-samalah kita nanti keputusan yang berpihak kepada Pakatan Rakyat,” katanya. Zaid dilahirkan di kampung Cat, Bachok, Kelantan. Beliau berkelulusan dalam bidang undang-undang menubuhkan firma guaman Zaid & Co.

Beliau kini adalah penyelaras parti dalam komponen PR.  SUMBER

Posted in , , , , | Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Anak tempatan calon PRK Hulu Selangor - Muhyiddin


12/04/2010 1:43pm

RAWANG 12 April - Calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini adalah anak tempatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Menurut beliau, senarai calon sudah hampir disenarai pendek tetapi enggan mengulas mengenai bilangan calon BN itu.
"Kita ada beribu tokoh di Hulu Selangor, hampir-hampir nak shortlist. Dalam tempoh tiga hari lagi, akan tahulah (calon) dari Hulu Selangor.


“Insya allah daripada orang tempatanlah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran permulaan prasekolah swasta Kementerian Pelajaran di Bandar Sungai Buaya di sini hari ini.


Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN berkata, banyak faktor yang diambil kira dalam menentukan calon termasuk latar belakang, kelayakan dan boleh bekerjasama dengan pemimpin.


"Mana yang rakyat mahukan, yang difikirkan boleh menjalankan amanah sebagai wakil mereka, tidak ada skandal, latar belakang yang berkelayakan dan berkelulusan tinggi, yang boleh bekerjasama dengan pemimpin di bawah apa lagi melaksanakan program-program pembangunan sosio ekonomi,” katanya. - Bernama SUMBER

Posted in , , | Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Zaid Ibrahim pilihan PKR jika BN calonkan Palanivel

11/04/2010 6:52pm

SHAH ALAM 11 April - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka meletakkan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon mereka pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor hanya jika Barisan Nasional (BN) menamakan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel sebagai calonnya.

Menurut sumber dalaman parti sekalipun Zaid dilihat calon pilihan PKR, parti itu mungkin menukar beliau kepada orang lain pada saat-saat akhir jika BN tidak mencalonkan Palanivel.

PKR menjangkakan pertandingan antara dua calon yang berkaliber sekiranya BN meletakkan Palanivel, kata sumber itu kepada Bernama di sini.

Beliau bagaimanapun tetap melihat Zaid sebagai calon terbaik bagi PKR untuk mempertahankan kerusi itu sekalipun pucuk pimpinan parti mempunyai percaturan lain jika ramalan Zaid dan Palanivel tidak menjadi kenyataan. - UTUSAN

Pewaris Melayu kata : Masa ni baru kita dapat tahu macam mana PKR, parti yang selalu dabik dada mereka kuat dan diterima rakyat. Nak letak calon pun takut - takut!

Posted in , | Leave a comment
Jom komen di Facebook!

PRK Hulu Selangor : Ahmad Maslan cabar PKR letak calon bukan Melayu

HULU BERNAM: Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, mencabar Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan calon bukan Melayu bagi mewakili pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) parti yang adil di mana pada pilihanraya lalu, empat Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Hulu Selangor diagihkan kepada dua calon Umno, MIC dan MCA masing-masing diwakili seorang calon daripada parti berkenaan

“Difahamkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan tiga calon Melayu dan seorang calon India. Ia menunjukkan parti itu tidak adil,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian kepada selepas menghadiri program ramah mesra bersama penduduk kilang sawit Felda Sungai Tengi, sebentar tadi

Sumber : Berita Harian

Pewaris Melayu kata : Dia cabar pihak lawan sebab nak cover BN letak calon bukan Melayu. 

Posted in , , | 4 Comments
Jom komen di Facebook!

Calon MIC akan tanding di Hulu Selangor: Najib

2010/04/07

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengesahkan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini adalah dari MIC.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, nama calon akan dipilihnya selaku Pengerusi BN. Berita Harian

PRK Hulu Selangor Ujian Besar Bagi BN Negeri

SHAH ALAM, 7 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, merupakan ujian besar kepada Barisan Nasional (BN) Selangor.

Sehubungan itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata beliau mahukan semua jentera BN di negeri ini bertindak secara muafakat dan bekerja kuat untuk memenangi pilihan raya kecil itu.

Semangat setiakawan dan kerjasama di kalangan parti komponen BN perlu dikukuhkan sebagaimana Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman membina Parti Perikatan pada tahun 1955, katanya semasa menyampaikan amanat pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor sehari di sini Rabu.

"Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Perikatan diperkukuhkan lagi oleh penggantinya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang menubuhkan BN bagi menggantikan Perikatan dan Umno tidak merampas kuasa pada ketika kekecohan itu kerana percaya dengan struktur parti seperti BN akan memberi lebih kejayaan pada Malaysia," kata beliau.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lepas akibat barah otak. Penamaan calon ialah pada 17 April.

Beliau berkata apabila menjadi anggota BN, ini tidak bermakna parti-parti komponen akan sentiasa mendapat apa yang dihajati.

Bagaimanapun, bagi menawan semula Selangor daripada pembangkang, Najib berkata BN perlukan kerjasama semua parti dan tidak ada parti boleh melakukannya berseorangan bagi meraih sokongan dan undi daripada kaum lain termasuk Orang Asli.

Kekalahan BN Selangor dalam pilihan raya umum 2008 sudah tentu menjadi waktu yang amat mencabar, amat menguji ketahanan dan daya juang untuk menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, katanya.

"BN Selangor masih kuat dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan malah keazaman, iltizam politik kita bukan sekadar meneruskan perjuangan tetapi untuk kita memahami, menginsafi dan menghayati bahawa rakyat Selangor telah menolak BN pada pilihan raya umum yang lepas," katanya.

Namun, Najib berkata penolakan pengundi Selangor terhadap BN diangap sebagai sementara sahaja dan sebagai mesej dan peringatan bahawa sebenarnya mereka tidak mahu pembangkang tetapi mahu BN berubah.

Beliau berkata: "Mesej yang berikan pada kita pada 2008, jalan dibuai dengan keseronokan, jangan dibuai dengan slogan, faham dengan kuasa rakyat, mereka boleh mengubah.

Kalau kita berubah, InsyaAllah, mereka tak suka pembangkang, hari ni saya diberitahu (seseorang) saya bukan nak pembangkang tetapi nak BN berubah."

Ada pengundi yang sedar dan tahu bahawa pembangkang itu indah khabar dari rupa dan masalah mereka lebih berat daripada apa yang dialami oleh parti komponen BN di mana ada di kalangan pemimpin-pemimpin kanan mereka meninggalkan parti kerana tidak sefahaman lagi dengan pucuk pimpinan, katanya.

Oleh kerana itulah, Najib berkata sentimen, kesedaran rakyat dan angin sedang bertiup kencang ke arah BN.

Pada konvensyen itu, Najib bersama pemimpin BN pusat dan negeri membacakan ikrar yang dipanggil Deklarasi Darul Ehsan yang antaranya ialah berubah dan melakukan tranformasi untuk menjadi barisan hadapan dalam menjuarai isu rakyat.

Mereka juga berikrar antaranya untuk bersungguh dan ikhlas berkhidmat demi membela nasib rakyat dan mengembalikan maruah dan peranan negeri Selangor sebagai pemangkin kemakmuran ekonomi negara agar nikmat kemajuannya dapat dirasa oleh semua bangsa.

Turut hadir pada konvensyen itu ialah Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Naib Presiden MCA dan juga Pengerusi MCA Selangor Datuk Seri Ir Donald Lim Siang Chai, Presiden PPP, Datuk M.Kayveas, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Pengerusi Konvensyen BN Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed.

-- BERNAMA
 

Posted in , , , | 5 Comments
Jom komen di Facebook!

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .