Archive for Oktober 2018

ICERD: Pas, UMNO gusar masa depan Melayu, Islam



KOTA BHARU 30 Okt. - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini menyaksikan kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan negeri dan pembangkang berkongsi pandangan sama berkaitan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Kedua-dua belah pihak bersetuju tindakan kerajaan Persekutuan mahu meratifikasi ICERD menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri menjejaskan kedudukan kaum bumiputera dan agama Islam di negara ini.

Timbalan Menteri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan Pas Kelantan akan terus mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

"Secara rasmi kita belum berbincang isu ini dengan Pusat tetapi kita berpegang teguh kepada Perlembagaan negara terutama membabitkan Perkara 152, Perkara 59 dan lain-lain.

"Kita mempertahankan perkara ini sejak dahulu lagi kerana tanah ini milik orang Melayu. Orang India ada benua India, orang Cina ada benua China maka tanah Melayu adalah milik orang Melayu," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berhubung pendirian kerajaan negeri terhadap langkah diambil kerajaan Persekutuan yang dikatakan komited mahu meratifikasi konvensyen berkenaan.

Sementara itu, Md. Alwi yang juga Ketua Pembangkang menggesa kerajaan Pusat supaya tidak tergesa-gesa menandatangani sebarang perjanjian antarabangsa seperti ICERD kerana memberi kesan besar terhadap orang Melayu dan kaum lain.

"Parti-parti seperti UMNO, MCA dan MIC kena haram, malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) iaitu parti Perdana Menteri sendiri pun kena haram sebab berasaskan kaum. Pas juga kena haram sebab ada nama Islam.

"Dari segi implikasinya terhadap insitusi pula, banyak yang akan terjejas seperti Mara, PNB (Permodalan Nasional Berhad), malah mungkin Tabung Haji juga kena haram sebab hanya untuk orang Islam sahaja," katanya.

Tambah beliau, suatu ketika dulu kerajaan Pusat pernah melakukan kesilapan dengan menandatangani satu perjanjian antarabangsa yang mengharamkan penanaman tembakau.

"Akhirnya Kelantan yang menderita paling banyak kerana kita ada ramai penanam tembakau. Walaupun Lembaga Tembakau Negara (LTN) ditukar kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) namun masih tidak dapat membantu penanam tembakau.

"Negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei malah Singapura pun tak tandatangan. Kita pernah buat kesilapan, itu hanya jejaskan penanam tembakau. Tapi ICERD ini besar, melibatkan maruah bangsa dan negara kita," katanya. - UTUSAN ONLINE


Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Harga getah jatuh, penoreh tidak mampu beli barang keperluan



ARAU 30 Okt. - Kadang-kala hendak beli barangan keperluan harian pun tidak mampu dengan pendapatan hanya RM10 sehingga RM15 sehari.

Begitu rungutan golongan penoreh getah di Kampung Katong di sini berikutan kejatuhan harga komoditi tersebut yang sekali gus memberi kesan kepada mereka.

Malah terdapat dalam kalangan mereka yang terpaksa melakukan pekerjaan sampingan bagi membantu menambah pendapatan.

Penoreh getah, Mat Dali Saad, 66, berkata, dia yang mengambil upah menoreh getah hanya mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM15 sehari, malah kadang-kala keluar awal pagi tetapi pulang tangan kosong.

Katanya, kejatuhan harga getah ketika ini merumitkan mereka apatah lagi jika kerajaan tidak mencari jalan penyelesaian.

"Pernah satu ketika dahulu hasil torehan (getah sekerap) yang ditolak kepada peraih mencecah RM10 sekilogram. Namun sejak akhir-akhir ini harga yang dibeli oleh peraih hanya RM2.30 sekilogram.

"Akibatnya, saya kadang-kala terpaksa mengikat perut kerana tidak mampu membeli barangan keperluan.

"Itu hakikat yang bukan sahaja dihadapi oleh saya, malah penoreh-penoreh getah yang lain. Jika dahulu, ada juga bantuan daripada kerajaan, sekarang sudah tiada," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rakannya, Hazmi Isa, 34, berkata, dia terpaksa melakukan beberapa pekerjaan lain selepas hasil daripada menoreh getah tidak cukup bagi menampung kehidupannya sekeluarga.

Katanya yang mempunyai dua orang anak kecil, pendapatan yang rendah itu tidak cukup menampung kos sara hidup.

"Saya harap kerajaan dapat buat sesuatu bagi membantu para penoreh getah ini. Dahulu janji hendak membela nasib golongan ini, namun apabila berkuasa, keadaan berlaku sebaliknya.

"Setiap hari hanya sebut pasal hutang negara sehingga banyak perkara lain seperti golongan penoreh getah dan pekebun kecil ini diabaikan. Sememangnya hutang negara penting untuk diberi keutamaan, tetapi kami penoreh ini juga mempunyai hutang yang perlu diselesaikan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penoreh, Amirul Muslimin Azizan, 32, pula berharap belanjawan yang akan dibentangkan pada Jumaat ini akan turut memberi fokus kepada nasib penoreh getah ini. - UTUSAN ONLINE

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

UMNO hanya "Wujud" diatas Kertas?




UMNO mencatit rekod tersendiri, bahawa parti itu dilemahkan hanya oleh seorang pemimpin, iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad.

Dr Mahathir juga mencatit rekod, tiga kali di luar parti, 2 kali keluar sendiri dan sekali dipecat.

Tahun 1987, Umno terpecah dua, iaitu antara Team A dan Team B. Team B menubuhkan parti S-46 yang diketuai Tengku Razalegh Hamzah.

Tahun 1998, Umno bergolak lagi, apabila Datuk Seri Anwar dipecat dan seterusnya menubukan Parti KeAdilan (ADIL) kemudian menjadi Parti KeAdilan Rakyat (PKR) selepas bergabung dengan Parti Sosialis pimpinan Syed Hussein Ali.

Pada 8 September, 2016 Tun Dr Mahathir menubuhkan PPBM bersama Tan Sri Muhiyiddin Yassin dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Ekoran penubuhan PPBM dan bergabung dengan PKR, DAP dan Amanah selain berkolaborasi dengan Parti Warisan Sabah, maka telah menumbangkan Bn yang diterajui Umno pada PRU-14.

Pada PRU itu, Umno hanya menang 54 kerusi daripada 88 yang dimenangi pada PRU-13. Kini MP Umno hanya berbaki 49, kerana 6 telah keluar daripada parti, 5 masih MP bebas, manakala seorang masuk PPBM.

Pukulan terakhir Tun Mahathir supaya Umno hilang tanpa nisan adalah menangkap para pemimpinnya dengan tuduhan rasuah. Pada masa yang sama beliau mendesak sekurang-kurangnya semua MP parti itu menyertai PPBM, kecuali Datuk Seri Najib Razak, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Tajuddin Rahman dan Datuk Azeez Rahim dan Khairy Jamlauddin Abu Bakar.

Tun Mahathir sebelum meninggalkan dunia ini, mahu memastikan, bahawa Umno akan musnah, seperti musnahnya Usno selepas ketiadaan Tun Mustpaha. Beliau tidak rela Umno akan terus wujud sepeninggalan beliau.

Berasaskan senario semasa, kehadiran Umno hanya di atas kertas. Keadaan itu berlaku, bukan sahaja tindakan Tun Dr Mahathir secara berterusan, akan tetapi juga dibantu oleh para pemimpin Umno sendiri, kecuali pemimpin Umno yang tidak dikehendaki dalam PPBM.

Datuk Hishamuddin yang dikenali dengan mencium keris semasa Ketua Pemuda, adalah pemimpin pertama yang hilang semangat, selepas PRU-14. Kini, MP Semberong itu, dikatakan mempengaruhi para MP Umno secara enblok menyertai PPBM. Kenyataan beliau, berkaitan kesanggupannya membawa Jho Low balik ke Malaysia, adalah indikasi, bahawa beliau sanggup bertindak apa sahaja untuk memastikan Umno terkubur.

Di Sabah pula, Umno yang dikenali sebagai Umno Sabah, hanya membawa nama Umno sahaja, namun semangat parti itu yang mula bertapak di negeri di bawah bayu itu atas permintaan Tun Mustpaha bagi mengambil alih peranan parti Usno, hanya kenangan, apabila para pemimpin "umno Sabah" mahukan autonomi dalam erti kata, tidak lagi terikat dengan Umno Induk.

Apa kah senario yang sedang berlaku akan mendorong Umno wujud di atas kertas sahaja dan seterusnya pada PRU-15 akan terkubur selamanya? Keadaan ini hanya dapat diautakan oleh para pejuang parti.. kata peribahasa.. patah tumbuh hilang berganti. Para pemimpin yang bakal bersama parti, dengan semangat luar biasa, pasti dapat menidakkan tindakan Tun Dr Mahathir dan para pemimpin yang dikira intan, rupanya hanya kaca.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Najib sindir Maszlee isu pendidikan 'hampir percuma'



Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyindir Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung kenyataannya tentang isu pendidikan.

Najib merujuk kenyataan Maszlee di parlimen hari ini yang menyifatkan pendidikan di Malaysia "hampir percuma" dan kerajaan akan mengekalkan yuran universiti.

"Apabila ditanya mengenai janji mereka di Dewan Rakyat petang ini, menteri pendidikan menjawab bahawa tiada rancangan untuk pendidikan percuma kerana pendidikan sudah hampir percuma.

"Bukankah itu yang kerajaan BN dahulu melakukan juga?" kata Najib di Facebook.

Jelas Najib, pendidikan rendah dan menengah yang kini percuma adalah kerana kerajaan BN yang mansuhkan semua bentuk bayaran dan yuran bermula tahun 2012.

"Dulu kata kerajaan BN zalim terhadap anak muda. Pendidikan dilaungkan sepatutnya percuma, PTPTN patut dihapuskan.

"Malah turut diumumkan sebagai janji mereka untuk mengatasi inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerajaan BN yang begitu meluas dan terancang.

"Bak kata orang lencun terus, mereka yang sebelum ini berharapan apabila mendengar jawapan rasmi menteri pendidikan HARAPAN hari ini mengenai janji-janji dan hasutan HARAPAN dahulu," katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) berhubung janji kerajaan untuk melaksanakan pendidikan percuma, Maszlee berkata pendidikan peringkat rendah dan menengah kerajaan adalah percuma.

"Pengajian tinggi juga hampir percuma yang mana pelajar hanya perlu membayar 10 peratus daripada kos operasi. Ini bermakna semua pelajar universiti awam menerima subsidi 90 peratus dari kerajaan.

"Kos 10 peratus itu juga ditanggung kerajaan menerusi biasiswa dan secara tidak langsung menerusi PTPTN. Pembayaran balik juga boleh dirunding mengikut kemampuan peminjam," katanya.

Untuk rekod, dalam Buku Harapan, antara janji yang dinyatakan adalah memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma dan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Setakat ini, HARAPAN belum melaksanakan mana-mana janji berkenaan.

Bagaimanapun, janji untuk meringankan beban peminjam PTPTN melalui penstrukturan semula syarat pembayaran sudah dilaksanakan. - Mkini 

1 Comment
Jom komen di Facebook!

UMNO bakal diharamkan - Zahid



(Watan Online) – UMNO mendedahkan parti itu sudah menerima surat tunjuk sebab daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang mungkin akan dijadikan alasan bagi mengharamkan parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan UMNO bakal diharamkan.

"Kita harus ingat parti kita mahu diharamkan dengan tujuan supaya parti kita dibubarkan. Daripada 21,000 cawangan yang telah diminta mengadakan mesyuarat bagi tahun 2018, hanya 19,000 cawangan yang buat mesyuarat.

"Seharusnya 19,000 cawangan hantar borang 9 ke Bahagian dan dihantar ke Perhubungan Negeri sebelum ke Pusat. Yang sampai kira-kira 8,000 sahaja.

"Ros guna alasan ini untuk mengharamkan dan surat tunjuk sebab telah kita terima. Kalau kita mahu salahkan ROS seratus peratus, bagaimana kesalahan yang kita lakukan?," katanya ketika berucap pada majlis penutup Program Pemukiman (Retreat) Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Latihan UMNO, Janda Baik, Ahad.

Dalam ucapan sama beliau turut menjelaskan soal masalah kewangan yang dihadapi parti selepas akaun UMNO dibekukan.

"Harus diketahui semua dana yang didepositkan ke akaun UMNO Malaysia dibekukan 100 peratus. RM116.7 juta yang dirampas di bawah Amla (Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram) masih lagi dibekukan.

"Tidak ada akaun lain yang boleh membiayai aktiviti ibu pejabat, perhubungan dan bahagian-bahagian apatah lagi di peringkat sayap kerana kita tak ada dana. Itu hakikatnya," katanya.

Malah katanya, parti juga berdepan masalah untuk membayar gaji pegawai dan kakitangan parti hingga terpaksa meminjam.

"Bukan sahaja pembekuan dilakukan terhadap kita malah untuk membayar gaji pegawai dan kakitangan pun saya terpaksa meminjam wang daripada Bendahari UMNO Malaysia. Itu hakikat.
 
"Kita terpaksa kurangkan sehingga 40 peratus jumlah kakitangan kerana kita tak mampu dan bayaran gaji pun kurang 40 peratus. Gambaran diberikan seolah aset UMNO berbilion," katanya.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Sesiapa boleh sertai BERSATU kecuali Najib, Zahid, Azeez dan Nazri



ALOR SETAR: Ahli Parlimen UMNO dari Parlimen Pekan, Bagan Datuk, Baling dan Padang Rengas adalah antara yang tidak akan dipertimbangkan sama sekali untuk dibenarkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) jika pihak berkenaan mempunyai hasrat untuk menyertai parti itu.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, BERSATU kini sudah pun mempunyai 14 wakil dalam parlimen dan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pun menyatakan kesediaan untuk menerima sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai parti itu namun perlu memenuhi beberapa syarat tertentu.

"Kita tidaklah terlalu terbuka sehingga individu seperti Ahli Parlimen Pekan (Datuk Seri Najib Razak), Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) dan Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) nak masuk..itu tak bolehlah dan tak payahlah…kerana mereka ini dalam senarai yang tidak akan kami pertimbangkan (untuk sertai BERSATU).

"Jadi, bagi yang lain-lain (Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) jika berminat untuk menyertai kita adalah amat dialu-alukan dengan syarat mereka harus meninggalkan amalan yang tidak baik dan sihat ketika berada dalam UMNO dan mendukung budaya politik baru mengikut Pakatan Harapan (PH) terutama BERSATU," katanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (berdiri tengah belakang) bergambar bersama pasukan bola sepak wanita Kedah selepas di Majlis penyerahan Jersi kepada Pasukan Bola Sepak Wanita Kedah Piala Tun Sharifah Rodziah di Wisma Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Jersi kepada Pasukan Bola Sepak Wanita Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Katanya, bagi memastikan BERSATU terus berintegriti dan relevan dalam kalangan masyarakat, parti itu sendiri sering mengadakan saringan terlebih dahulu bagi memastikan individu yang menyertai parti itu bebas daripada sebarang amalan tidak baik yang dibawa daripada parti lama mereka.

"Kita masih kekalkan keterbukaan untuk menerima ahli baru termasuk ahli parlimen dan juga ADUN namun ia masih bersyarat kerana kita juga pun akan meneliti terlebih dahulu individu yang bakal menyertai parti ini menerusi saringan yang dilakukan.

"Seperti juga bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed di mana kita melihatnya seorang teknokrat yang terkenal, berwibawa dan professional di mana saya sendiri pernah berkhidmat sebagai timbalannya (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri)…saya tahu cara kerjanya dan tanpa berfikir panjang, kami menerima permohonannya untuk menerimanya sebagai ahli BERSATU sama seperti ahli yang lain," katanya.

Dua hari lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin berkata, terdapat 40 Ahli Parlimen UMNO kini sedang membuat pertimbangan dengan teliti untuk menyertai BERSATU.

Perkembangan berkenaan berlaku selepas penarikan diri Datuk Seri Mustapa yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan untuk menjadi Ahli Parlimen dan ADUN Bebas sebelum menyertai BERSATU.

Terdahulu, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah menyerahkan set jersi kepada pasukan bola sepak wanita Kedah yang bakal bersaing pada Piala Tun Sharifah Rodziah 2018 yang dijadualkan berlangsung November ini di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) menyasarkan pasukan negeri itu menjadi juara kali ini selepas hanya muncul naib juara pada edisi tahun lalu selepas tewas kepada Sarawak pada perlawanan akhir.

Pewaris Melayu : Hahahahaha lawak! 

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Najib: Saya tinggalkan wawancara kerana Al Jazeera tak adil pada saya



PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak bertindak meninggalkan wawancara bersama Al Jazeera semalam kerana stesen televisyen itu tidak berlaku adil terhadapnya dengan melanggar skop kandungan yang dipersetujui.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau tetap menjawab soalan tambahan dikemukakan wartawan Mary Ann Jolley, walaupun wawancara itu melangkaui masa dan skop soalan yang dipersetujui.

Katanya, Jolley yang bertanggungjawab bagi sebuah program mengenai kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu bertegas menyoalnya berhubung isu itu, selepas pelbagai penafiannya.

"Di sebalik kes pembunuhan itu sudah melalui prosiding mahkamah terperinci, malah 2 minggu lalu, atas permintaan saya, pegawai saya telahpun membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat semula bagi membersihkan nama saya," tulisnya di Facebook sambil memberi pautan wawancara Al Jazeera.

Dalam wawancara semalam, Jolley yang merupakan pengacara program 101 East tanya pelbagai soalan mengenai 1MDB, berlian merah jambu yang didakwa milik isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan kes pembunuhan Altantuya, timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais serta pengasas Ambank Hussain Najadi.

Najib kemudiannya meminta maaf kepada Al Jazeera kerana hilang kesabaran ketika wawancara selama sejam itu.

Hari ini, Najib yang juga ahli Parlimen Pekan berkata, Jolley enggan kembali kepada topik asal mengenai ekonomi negara dan legasinya, selepas beliau menjawab banyak soalan mengenai Altantuya dan 1MDB yang tiada dalam skop dipersetujui.

"Malahan, dia terus menekan tentang isu Altantuya dan 1MDB yang dalam proses pengadilan di mahkamah dan mencelah semasa saya sedang menjawab serta berulang kali mengaitkan nama Jho Low kepada saya, walaupun saya sudah jawab peranan Jho Low kepada dia di permulaan wawancara ini.

"Saya berpendirian tidak mahu mereka melanjutkan fitnah mengenai dua-dua isu itu terhadap saya, yang sudah berkali-kali dijawab dan terlalu banyak kali diberi penjelasan.

"Saya diberitahu bahawa pihak Al-Jazeera sedang cuba mengatur satu lagi wawancara dengan saya supaya matlamat asal dua-dua pihak dapat dicapai." - FMT

1 Comment
Jom komen di Facebook!

Annuar akui PPBM lamar Ahli Parlimen Umno



KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa hari ini mengakui terdapat lamaran daripada PPBM kepada sebilangan Ahli Parlimen Umno untuk menyertai parti itu.

Kata Annuar, lamaran itu dibuat secara lansung (direct) dan terdapat juga Ahli Parlimen Umno yang dilamar menggunakan perantara.

"Ada Ahli Parlimen kita yang dipanggil berunding. Ada yang tidak dipanggil, yang dipanggil dan tidak pergi pun ada.

"Pokoknya, idea untuk memperkuatkan PPBM itu datang daripada pihak tertentu. Kita mempertimbangkan perkara itu kerana kita paham PPBM terlalu lemah dengan 13 kerusi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk A Kadir Jasin dilaporkan berkata, kira-kira 40 Ahli Parlimen Umno mungkin meninggalkan parti itu dan menyertai PPBM kerana mereka sudah beberapa kali menemui Dr Mahathir dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan tertinggi parti itu, secara berseorangan atau berkumpulan.

Apabila disoal sama ada beliau turut menerima lamaran daripada PPBM, Annuar menafikannya.

"Saya tidak dilamar oleh sesiapa. Saham saya tidak tinggi," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, adalah tidak penting bagi seseorang Ahli Parlimen untuk berada dalam komponen parti politik kerajaan ataupun tidak.

"Tidak kisahlah anda berada dalam kerajaan atau tidak, belum tentu dapat menjamin anda berkhidmat dan berbakti dengan baik," katanya.

Pewaris Melayu : Dalam dok kata orang UMNO tu penyangak, penyamun, hat tu la yang depa cari. Maklumlahkan, 13 kerusi jeeee

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Najib sekolahkan menteri-menteri PH pula



KUALA LUMPUR 29 Okt. - "RM900 sebulan, wahai Menteri-menteri PH," kata Najib yang mahukan menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) memahami apa yang dirai oleh rakyat.

"Selesa dengan kerusi empuk di Putrajaya dan gembira terbang bersama pegawai ke hulu ke hilir atas perbelanjaan rakyat?

"Kita mahu Kerajaan dengar, faham dan merasai denyut nadi rakyat, seperti golongan pekebun kecil," katanya dalam hantaran Facebook peribadinya.

Apa yang berlaku kini, kata Najib, rakyat semakin hari semakin tertekan.

Sejak PRU tempoh hari, katanya, harga komoditi jatuh mendadak. Misalnya harga sawit, hari ini pekebun kecil ada yang hanya mendapat serendah RM300-RM400 setiap tan.

Dahulu, katanya, kerajaan Barisan Nasional sentiasa berusaha membantu para pekebun kecil.

"Misalnya dalam kunjungan ke luar negara, saya telah meyakinkan negara besar dan rakan pelaburan kita seperti China dan India untuk terus membeli minyak sawit daripada Malaysia.

"Malah di dalam Bajet tahunan, kita umumkan juga bantuan khusus buat golongan pekebun kecil dan peneroka supaya dapat meringankan beban mereka yang terkesan akibat perubahan harga komoditi.

"Saya bimbang dengan trend Kerajaan hari ini yang bersifat antagonistik terhadap rakan-rakan pelaburan kita yang secara tidak langsung mengganggu-gugat kebajikan pekebun kecil.

"Saya bimbang dengan Menteri Kewangan Terbaik Dunia yang telah mula mencari alasan dan mengeluarkan hint meminta rakyat berkorban kononnya Kerajaan tak ada wang, bahawa banyak bantuan akan dipotong," katanya. - UTUSAN ONLINE

10 Comments
Jom komen di Facebook!

Terkulainya Al Jazeera di tangan Pendekar Najib



ULASAN | Silap besar dan sesat yang nyatalah untuk sesiapa yang menganggap politik negara ini semudah mentafsir bidalan Abdul Hadi Awang atau kepintaran Nazri Aziz.

Memanglah di permukaannya politik Malaysia agak mudah dan polos. Di mata awam, ada sifir politik yang lebih rumit dan mendebarkan berbanding Malaysia.

Nah, di situlah titik permulaan kesilapan orang yang tidak mengetahui. Ketika hal ehwal negara dilihat laksana lebuh raya yang lurus, siasah sebenar umpama jalan-jalan kampung yang berselirat dan serba menduga.

Justeru apabila anda mentertawakan Najib Razak yang kelihatan tenggelam punca atau hilang sabar, saya sebenarnya mengagumi langkah strategik bekas perdana menteri itu.

Pedulilah apa pun anda kata, namun di mata saya Najib berjaya menempuhi sesi temu bual dengan Cik Mary Ann Jolley dengan jayanya.

Pujian yang melangit juga wajar dirafakkan kepada pasukan pemikir, perencana dan pelaksana langkah politik kontemporari Najib.

Sebagaimana lincah dan lihainya Najib mengutarakan pemikiran dan hujah di media sosial, begitu jugalah kepintaran yang ditunjukkan beliau di depan kamera Al Jazeera beberapa hari lalu.

Tanda sahabat sejati

Kerana kepintaran Najib maka boleh dikatakan semua orang - terutama anggota Umno - lupa kepada isu desakan bercuti kepada Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru itulah yang diperlukan oleh Umno, atau sekurang-kurangnya Ahmad Zahid, Lokman Noor Adam dan ratusan ribu penyokong parti berkenaan.

Maka satu daripada masalah Umno dapat diselesaikan dengan penuh bergaya oleh salah seorang pemimpin teragung mereka. Najib namanya.

Mungkin ada yang sudah terlupa bagaimana hubungan persahabatan di antara Najib dan Ahmad Zahid sudah terbina sejak puluhan tahun silam.

Dan pada setahun silam - atau tepatnya 27 Okt 2017 - Najib sekali lagi menegaskan betapa bertuahnya beliau memiliki seorang sahabat sejati dari Bagan Datuk. 

Ahmad Zahid namanya.

Ketika bekas timbalan perdana menteri itu didesak oleh orang yang ada di sekelilingnya untuk bercuti, tidak ada orang yang lebih tepat tampil untuk mempertahankan beliau kecuali Najib.

Jika ada pun orang yang mungkin lebih sesuai membela Ahmad Zahid lebih gigih daripada Najib, tentulah individu tersebut bernama Lokman.

Nak berharap kepada Jamal Md Yunos, ada sedikit risiko juga. Bimbang pada masa diperlukan beliau sukar dikesan pula.

Dan di sebalik kecaman masyarakat kita jangan sesekali menolak kemungkinan bahawa bakal pemimpin terhebat masa depan Umno - Lokman namanya - mengadakan pakatan dengan Al Jazeera.

Justeru temu bual 101 East itu konon-kononnnya memerangkap Najib.

Jolley kena belajar lagi

Mana mungkin seorang pejuang rakyat sehebat Najib boleh tersasul dan tersilap langkah di depan Cik Jolley?

Najib bukan sekadar pejuang. Beliau ialah seorang panglima. Jika tidak cukup menggerunkan, beliau juga bertaraf pendekar. 

Selain ada senjata yang berbisa beliau juga ada armada laut yang bersedia digerakkan menerjah badai tanpa mempedulikan sama ada sauh sudah dilabuh atau belum. Asalkan layar sudah dikembangkan, hanya ada satu kata: maju terus! 

Sekali lagi ditegaskan, susah untuk diterima akal Najib boleh tergelincir kata-katanya di depan Cik Jolley. Siapa sangatlah wartawan asing yang mewakili media asing itu berbanding pengarang-pengarang media Malaysia, kan?

Secara jujur kita wajar mencari seseorang yang dapat menyampaikan pesanan kepada wartawan Al Jazeera itu supaya dia belajar lebih mendalam lagi bagaimana cara untuk berdepan dengan Najib.

Cik Jolley wajib berguru dengan ketua-ketua pengarang akhbar negara cara-cara untuk mengajukan soalan yang benar-benar mencabar Najib. Setakat wartawan bernama Cik Jolley, ia umpama lebihan makanan di celah gigi saja.

Kalau Al Jazeera mahu mengenakan orang lain, bolehlah.

Mereka mungkin berjaya memberi tekanan kepada pemimpin lain dalam dunia seperti Donald Trump, Vladimir Putin malah Raja Salman di Saudi itu.

Namun mereka melakukan silap yang terlalu besar apabila menggunakan taktik yang sama ke atas Najib.

Apabila beliau kemudiannya mengakui gagal mengawal perasaan semasa temu bual itu berlangsung, sebenarnya tindakan tersebut mesti difahami dengan betul.

Najib tidak mengaku salah, tetapi sekadar berbudi bahasa selayaknya orang Timur yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan.

Penegasan terbaik Najib kepada Al Jazeera itu dapat dilihat ketika beliau berkata: "Because as far as I am concerned, making lies, fabricating lies is not something we want to tolerate in this country."

Dan 'pukulan maut' terakhir untuk Najib menafikan perangkap Cik Jolley dan Al Jazeera itu ialah apabila beliau dengan penuh bergaya dan segak bangkit dari kerusinya dan berkata: "I'm going to walk out. No more... no more... I'm done."

Dalam konteks politik Malaysia, apakah maksud kenyataan Najib yang dilihat ramai sebagai 'mengelak' atau 'mengalah' itu?

Bagi ahli politik aksi tersebut sebenarnya membawa mesej yang jelas lagi terang dan menawan, bak permata disinari cahaya. Pernyataan itu wajib difahami sebagai soalan padu daripada beliau, iaitu: "Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?"

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Saya takkan berundur - Zahid Hamidi



KUALA TERENGGANU 26 Okt. - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini me­negaskan yang beliau tidak akan berganjak daripada menggalas tanggungjawabnya sebagai Presiden UMNO.

Tegas bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau juga tidak akan tunduk kepada desakan atau gesaan mana-mana pihak supaya beliau mengambil cuti seketika sehingga kes pertuduhan terhadapnya di mahkamah selesai.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak akan mengalah, malah menganggapnya sebagai bukan satu pilihan, sebaliknya mengambil keputusan untuk meneruskan tugas sebagai Presiden UMNO bersama-sama barisan kepe­mimpinan tertinggi parti.

Beliau telah meneliti ke­nyataan akhbar yang dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan berpendapat perkara itu tidak sepatutnya dibuat menerusi media, sebaliknya perlu dibawa berbincang terlebih dahulu.

"Saya reda dengan apa yang sedang dilakukan, tetapi bila keadaan ini berlaku dan ada cadangan untuk saya ambil cuti, dalam erti kata lain untuk berundur, saya tidak anggap ia adalah satu option (pilihan).

"Mengalah bukan satu option dan saya ambil keputusan untuk teruskan tugas sebagai Presiden UMNO bersama-sama dengan Timbalan Presiden, Naib Pre­siden, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan lain-lain serta kepemimpinan sayap parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selepas mengadakan perjumpaan khas bersama kepemimpinan UMNO Terengganu di Bangunan UMNO Kuala Terengganu sempena lawatan sehari beliau ke negeri ini hari ini.

Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa serta kepemimpinan UMNO Pusat dan negeri.

Ahmad Zahid berkata, hala tuju politik UMNO menentukan perpaduan dalam kalangan pemimpin parti itu dan daripada mandat yang diberi, beliau berjanji untuk meneruskan khidmatnya sebagai Presiden UMNO sehingga tamat penggal.

Ini kerana jelasnya, wujud pemilihan dalam parti itu yang lazimnya ditentukan dalam Perhimpunan Agung UMNO me­ngenai kedudukan seseorang pe­mimpin yang memegang sesuatu jawatan dalam parti.

Pewaris Melayu : Bagi pendapat penulis, saya setuju dengan Pemuda, Puteri dan Wanita akan Zahid harus beri keutamaan kepada UMNO untuk terus releven dan berubah. Pergilah bercuti sehingga habis perbicaraan. Macam mana UMNO nak pulih kalau presiden kalut nak kena naik turun mahkamah?

2 Comments
Jom komen di Facebook!

Ahli Parlimen Jeli sertai Bersatu



PETALING JAYA 26 Okt. - Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menepati jangkaan beberapa pihak sebelum ini.

Beliau hadir ke ibu pejabat parti itu di Menara Yayasan Selangor, di sini malam ini untuk menyerahkan borang penyertaan tersebut kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Penyertaan itu dibuat selepas sebulan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu isytihar keluar UMNO setelah 40 tahun bersama parti berkenaan.

"Saya ingin rakamkan ucapan terima kasih kerana menerima kemasukan saya. Ini membolehkan saya memainkan peranan yang lebih berkesan bagi membela kepentingan pengundi saya di Jeli dan rakyat Kelantan.

"Saya sokong segala usaha Tun yang memberikan penekanan terhadap integriti dan ketelusan dalam tadbir urus dalam kerajaan. Saya juga sokong langkah kerajaan untuk memperkukuhkan kewangan negara dan memastikan ekonomi kita dibangunkan dengan baik," katanya.

Turut hadir semasa penyerahan borang itu ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mustapa pernah berada dalam Kabinet Dr. Mahathir sebagai Menteri Pembangunan Usahawan serta menjadi Menteri Kewangan II pertama yang dilantik ketika Malaysia berdepan Krisis Kewangan Asia kira-kira 20 tahun lalu.

Penyertaan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dilihat penting bagi Bersatu yang dilihat ketandusan barisan kepimpinan yang berpengalaman.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, Bersatu berasa sukacita apabila seorang bekas tokoh UMNO menyertai partinya dan mendapati Mustapa layak untuk bersama dengan Bersatu setelah menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Tindakan Mustapa akan membolehkan Bersatu memiliki 14 ahli Parlimen berbanding 13 orang sebelum ini.

Ditanya sama ada akan terdapat lagi pemimpin kanan UMNO mengikut jejak langkah Mustapa, Dr. Mahathir hanya menjawab pihaknya akan melihat perkembangan yang berlaku.

Terdahulu Bersatu mengadakan Mesyuarat Pimpinan Tertingginya untuk membincangkan hal ehwal semasa parti termasuk menetapkan tarikh Persidangan Tahunan Kedua parti itu pada hujung Disember ini. - UTUSAN ONLINE

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Anwar angkat sumpah ahli Dewan Rakya



KUALA LUMPUR 15 Okt. – Setelah dilambung gelombang politik selama 20 tahun termasuk keluar masuk penjara, akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali semula ke Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Presiden PKR, mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat pada Persidangan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

Dalam pada itu, Mohamad Ariff mengucapkan tahniah kepada Anwar atas kemenangan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, kelmarin.

Beliau yakin Anwar akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan terhormat seperti yang dituntut keluhuran institusi tersebut terutama dalam usaha membawa perubahan untuk meningkatkan kewibawaan Parlimen.

"Oleh yang demikian, saya berharap ahli Yang Berhormat (YB) dapat memberi sumbangan yang berguna dan faedah kepada dewan ini dan negara seterusnya dan semoga dapat berkhidmat dengan cemerlang, tahniah sekali lagi YB," katanya dalam upacara mengangkat sumpah di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Gandingan Anwar bersama isterinya yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta anak mereka, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mencatat sejarah baharu dalam arena politik tanah air dengan menyaksikan tiga wakil rakyat dalam sebuah keluarga berada di Dewan Rakyat dalam penggal yang sama.

Sabtu lalu, Anwar memenangi PRK Parlimen Port Dickson dengan menerima sebanyak 31,016 undi.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu memperoleh majoriti yang lebih besar iaitu 23,560 undi berbanding 17,710 undi yang dicatatkan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada Mei lalu, Anwar dibebaskan dari penjara selepas rayuan pengampunan penuhnya yang diputuskan Lembaga Pengampunan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari pada 2008. – UTUSAN ONLINE

Pewaris Melayu : Tahniah DS Anwar, semoga dapat mencapai impian sebagai Perdana Menteri ke 8 dengan kadar segera menggantikan Perdana Menteri ke 7

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Najib: Pakatan’s manifesto aims to fool the rakyat



PETALING JAYA: Pakatan Harapan's manifesto was written to fool the rakyat, without any intention of implementing its promises, says Datuk Seri Najib Tun Razak.

The former prime minister said there was a lot of fuss yesterday (Oct 12), when Pakatan's chairman admitted that they did not think they would win in GE14 when they wrote the manifesto.

"Let me translate it. The real meaning behind it (what the chairman said) is that they had no intention of fulfilling the pledges in the manifesto.

"It is akin to a man who would promise the stars and the moon when wooing a woman, but after marriage, he would have nothing to show for it," he said in a Facebook post on Saturday (Oct 13).

Pakatan's manifesto is a direct contrast to that of Barisan Nasional, he added.

"When we unveiled a manifesto, we had every intention of fulfilling it.

"Behind the insult of "Janji Dicapati" (broken promises) by the then opposition, our records show that most of our promises have been fulfilled," he said.

The Pekan MP said the Pakatan government did not even try to fulfil the pledges written in their manifesto, but instead they came up with excuses.

"'Membina Negara Memenuhi Harapan dah jadi Membinasakan Negara Memusnahkan Harapan' (Building the country and fulfilling all hopes have become destroying the country and hopes)," he said.

Najib said he discussed with almost all Mentri Besars and chief ministers, as well as ministries when preparing Barisan's manifesto.

"This is because we want to see what we can give the rakyat, based on the country's financial means.

"Up to a few hours before the announcement (of the manifesto), I was still scrutinising and correcting a few aspects, including adding more BR1M at the last minute," he said, adding that even his ministers were shocked over the last minute additions.

Similar to the year budget announcement, I always stay true to "firman Allah" in Surah Al-Maidah, verse 1, when preparing the manifesto: "Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian." (To the faithful, fulfil and carry out all promises).

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Najib: Kroni sebenar saya ialah rakyat


Saya lihat ada yang mengkritik saya apabila saya meluahkan kesedihan pakej MRT2 yang diperolehi Gamuda-MMC secara tender terbuka ditarik balik di mana 20,000 pekerja dan 600 lagi syarikat tempatan akan hilang punca pendapatan begitu sahaja.

Mereka menuduh Gamuda ini kroni saya atau kroni Umno.

Ini ialah senarai 30 pemegang saham terbesar Gamuda. Adakah kroni saya KWSP, PNB, KWAP, unit amanah swasta ataupun syarikat insuran hayat?

Tidak. Semua ini akhirnya dipegang oleh rakyat dan manfaat dipulangkan kepada rakyat sendiri.

Ketika pentadbiran saya, saya telah memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan dan tumpuan diberikan kepada rakyat dalam memastikan dividen lebih tinggi bagi KWSP, PNB, Tabung Haji dan dana lain berbanding pada akhir 1990 dan awal 2000.

Kebanyakan projek-projek besar di Malaysia diberi kepada syarikat-syarikat berkebolehan yang sahamnya banyak dipegang oleh tabung-tabung simpanan rakyat.

Berbanding akhir tahun 2008, iaitu sebelum saya menjadi menteri kewangan dan perdana menteri sehingga saya berhenti, aset KWSP naik dari RM341 bilion kepada RM841 bilion.

Aset PNB naik dari RM120 bilion kepada RM280 bilion, aset Tabung Haji naik dari RM20.8 bilion kepada RM73 bilion manakala aset KWAP naik dari RM52 bilion kepada RM140.8 bilion.

Untuk makluman, pakej MRT2 Gamuda-MMC yang dibatalkan ini telah dianugerahkan kepada mereka pada tahun 2016 di dalam tender terbuka antarabangsa di mana syarikat ini antara senarai pendek lima ssyarikat dan Gamuda-MMC berjaya mengatasi saingan dari dua syarikat gergasi China, Hyundai Engineering dari Korea dan Taisei Corp dari Jepun.

Gamuda menang dari segi teknikal yang terbaik dan harga yang termurah.

Belum tentu harga akan menjadi lebih murah jika pakej MRT2 ini ditender semula.

Amat mudah saya lihat rakyat diperdaya untuk memfitnah saya kononnya Gamuda adalah kroni saya.

Adakah kroni sebenar saya ialah rakyat?

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Anwar dan Mahathir BERSATU di PRK Port Dickson



Perkembangan yang menarik. Mai kita tengok apa nak jadi lepas ni :) 

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Duta AS & Britain lawat Pembangkang Pas dan UMNO

Kenapa Duta AS dan Britain berjumpa dengan pembangkang?



6 Comments
Jom komen di Facebook!

Sudahlah bekas Ketua Pemuda UMNO!……



(ISMA Web) SAYA begitu teruja untuk mengulas gelagat dan telatah bekas Menteri Belia dan Sukan, yang terlalu banyak cakap semenjak dua menjak ini, seolah-olah beliau adalah presiden UMNO, gara-gara Barisan Nasional (BN) telah menjadi pembangkang dan beliau kalah dalam pemilihan jawatan presiden parti.

Beliau terlalu yakin, ahli-ahli UMNO memilihnya. Tetapi telahan beliau silap. Apabila kalah, heboh satu Malaysia mengatakan berlaku politik wang.

Ketika berjawatan menteri, tidak pula berani dan lantang bersuara menegur presidennya dan politik wang yang berlaku. Malah, kementerian yang beliau pegang penuh dengan rasuah. Sukan negara pun tidak sehebat mana ketika beliau memegang jawatan.

Selepas kalah dalam merebut jawatan presiden UMNO, beliau seolah-olah mahu menjadi juara. Mahu dilihat sebagai orang hebat, kawan dan lawan. Sanggup duduk berseorangan di dalam Parlimen ketika pasukannya yang lain keluar. Mahu dilihat hebat konon.

Walhal tidak hebat manapun. Bolehlah berlagak sikit dengan 'slang' dan 'accent' omputihnya.

Beliau masih bertahan dalam UMNO dek kerana pak mentuanya. Ditakdirkan mentuanya sudah tiada lagi, sudah lama orang sebegini angkat kaki.

Kenyataan beliau ketika menjadi ketua pemuda UMNO dan memegang jawatan menteri, penuh dengan kontroversi dan melukakan.

Beliau juga pernah mengkritik saya dan meminta saya diam, ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan, hanya kerana komen sedikit saya mengenai sukan dan kaitan dengan perpaduan. Ada aku kisah!

Saya masih ingat, beliau yang mahu sekolah agama dihapuskan jika mahukan sekolah vernakular dihapuskan sudah cukup melukakan. Ternyata beliau begitu jahil Perlembagaan.

Membandingkan antara sekolah agama dengan sekolah vernakular adalah seperti ibarat langit dengan bumi. Kewujudan sekolah agama adalah berperlembagaan. Sama sekali berbeza dengan sekolah vernakular.

Saya fikir, adalah satu kesilapan keputusan presiden UMNO melantik beliau sebagai menteri ekonomi dalam Babinet bayangan. Kenyataan demi kenyataan beliau tidak melayakkan beliau memegang jawatan itu walaupun berbentuk bayangan.

Beliau juga pernah berkata, bahawa tongkat orang Melayu seperti hak istimewa yang terdapat dalam Dasar Ekonomi Baharu (DEB) perlu dihentikan. Apakah orang sebegini layak menjadi menteri ekonomi.

DEB tidak pernah salah, malah ia berperlembagaan. Yang salah orang yang melaksanakan dan menyelewengkan DEB itu.

Lagi satu, sasaran DEB bukan hanya orang Melayu, tetapi juga bukan Melayu yang memerlukan. Matlamat DEB bersifat serampang dua mata, membasmi kemiskinan dan menyatu padukan masyarakat, tidak kira siapa.

Janganlah kerana seekor kerbau membawa lumpur, akhirnya semua terpalit.

Sebelum ini, beliau ada berkata, lebih ramai pemimpin UMNO akan meninggalkan parti itu. Sebenarnya, termasuk beliau. Hanya kerana mentua masih hidup, maka niat itu ditangguhkan.

Semua yang dilakukan presiden UMNO kini, salah di mata beliau. Beliau sahaja yang betul, seolah-olah beliau mewakili generasi muda meskipun beliau tidak terlalu muda lagi.

UMNO tidak perlu bimbang tanpa beliau. Ramai lagi orang lain dalam UMNO yang lebih baik daripada beliau. Satu lagi perkara, tidak semua yang keluar daripada Oxford atau Cambridge itu bagus. Jika begitulah keadaan, sudah tentu semua yang keluar daripada sana, menjadi orang hebat dan berguna hari ini. Tidak nampak juga.

Mark Zukerberg, gagal di Havard, tetapi beliau jauh lebih hebat daripada beliau. Justeru, saya menyeru kepada pimpinan UMNO tidak perlulah melukut ditepi gantang, seolah-olah beliau terlalu berguna kepada UMNO. Tanpa beliau, UMNO akan terus hidup jika tidak lari daripada landasan Islam. Percayalah.

Lantik mereka yang kental jiwa Islam dan Melayunya. Presiden UMNO berkata, UMNO tidak masalah dengan moto PAS iaitu Islam memimpin. Ya, saya sangat bersetuju. Islamlah nescaya kamu selamat. Masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya. Ini kata-kata Allah, bukan saya.

Sudah tiba masanya, presiden mengotakan apa yang dikatakan ketika menutup perhimpunan agung UMNO semalam, bahawa keterbukaan beliau ada batasnya. Tidak perlu lagi menyimpan duri dalam daging.

Tidak perlu meletakkan kepercayaan lagi kepada beliau. Beliau bukan siapa-siapa lagi masa kini. Pergi ke masjid pun belum tentu orang pandang. Semua orang tahu latar belakang beliau.

Sedap sahaja beliau berkata, ucapan presiden UMNO tiada hala tuju. Saya begitu teruja untuk mendengar apa pula hala tuju beliau. Sudahlah… nasihat saya, perdalamkan jati diri Melayu dan agama Islam kamu.

Kamu bukan siapa siapa lagi. Hadirnya kamu tidak menguntungkan, perginya kamu tidak juga merugikan.

Saya sarankan beliau keluarlah UMNO daripada sekarang. Tidak perlu lagi segan dan silu dengan mentuanya. Berbincanglah secara baik dengan pak mentua untuk menunaikan hasrat kamu itu.

Saya begitu teruja untuk melihat parti manakah yang sudi menerima beliau. Apakah beliau akan menggariskan hala tuju yang begitu hebat ada pada dirinya.

Dengan kekalahan beliau dalam pertandingan presiden sepatutnya menjadikan beliau lebih 'low profile' seperti yang berlaku ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saya amat yakin, Najib sudah banyak melakukan muhasabah diri selepas BN tewas dalam PRU14 lalu. Air matanya yang tumpah ketika menyanyikan lagu 'teman sejati' sudah menampakkan sedikit.

Cuma air mata beliau belum tumpah lagi kerana beliau masih yakin boleh pergi lebih jauh. Sejauh mana, Tuhan sahaja yang tahu. Realitinya, beliau telah kalah. Tidak pasti, apakah boleh timbul kembali atau hilang selama-lamanya.

Dahulu, ketika menjadi pelajar sains politik, saya diajar bahawa politik itu adalah berkait rapat dengan kuasa. Kini, tidak lagi, politik adalah ilmu serba jadi. Jika kamu hari ini menteri, tidak mustahil esok, kamu hilang segala-galanya. Kawan boleh menjadi lawan. Bersedialah. Hanya Islam sahaja yang boleh menyelamatkan kamu.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .